Malam Lailatul Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Seharusnya ini adalah misi kita pada malam-malam terakhir Ramadan kerana ganjaran dan kemuliaan sudah disebut dengan nyata oleh Allah SWT.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Maksudnya: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.”
Malam yang lebih baik dari seribu bulan
Memetik perkongsian bekas mufti Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri para ulamak berpendapat, ibadah dan amal soleh yang dilakukan pada malam al-Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia berdasarkan kepada beberapa nas, antaranya ialah firman Allah SWT:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Ads
Maksudnya: “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.[1]
Ibrahim al-Nakha‘i ketika menafsirkan ayat ini berkata: “Beramal pada malam tersebut (Lailatul Qadar) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun.”[2]
Apa yang berlaku pada malam Lailatul Qadar
Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa Lailatul Qadar mempunyai kelebihan kerana malam tersebut penuh dengan keistimewaan. Ramai ulama’ dan ahli tafsir menyebut malam ini sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam al-Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”
Ads
Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan. Mendapat keselamatan dan kebaikan tanpa sebarang kejahatan hingga terbitnya fajar.
Al-Dhahhak berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan.” Manakala Mujahid pula berpendapat: “Ia merupakan malam yang selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”
Penuhi malam dengan ibadah dan amal soleh
Oleh itu pesan Datuk Dr Zulkifli pada malam ini hendaklah kita melakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh dan tidak mengabaikannya. Penuhilah ia dengan Qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa, khususnya memohon keampunan dan rahmat daripada-Nya.
Paling kurang pastikan solat fardhu dilakukan secara berjemaah. Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa sebahagian ulama’ mazhab Syafi‘i menaqalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh juga secara berjemaah.”
Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: “Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) secara berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperoleh kebaikan malam itu.”
Hendak berniaga kena cukup dengan ilmu. Bukan hanya ‘main’ niaga je. Kenalah ada ilmu dalam diri. Antara perkara yang penting seorang peniaga kena buat ialah murahkan wajah dengan senyuman. Ia merupakan ‘umpan’ untuk menarik pelanggan.
Selain senyuman, tiga perkara berikut pun penting kena buat kalau nak sukses dalam bisnes.
Tak percaya? Cubalah!
1. Murahkan dengan senyuman
Ketika berniaga, murahkan senyuman. Rasulullah saw ketika berniaga amat pemurah dalam memberi senyuman kepada pelanggan dan bakal pelanggan.
Senyuman akan mengundangkan senyuman yang lain. Senyuman akan melembutkan hati prospek dan pelanggan untuk membina kemesraan. Jangan lupa, kalau mereka tidak membeli sekali pun, senyuman anda itu satu sedekah! ?
2. Bantu prospek dan pelanggan
Apabila kita banyak membantu, nanti orang pula akan membantu kita. Setiap perniagaan adalah penyelesaian kepada sesuatu masalah. Apa sahaja penyelesaian, ia merupakan satu bantuan.
Fikirkan bagaimana perniagaan anda dapat membantu orang ramai. Sama ada sebelum mereka menjadi pelanggan anda atau selepas menjadi pelanggan anda. Lebih banyak perniagaan dapat membantu, maka lebih murah rezeki akan datang kepada perniagaan.
3. Kemas dan bersihkan tempat berniaga
Sekiranya mempunyai kedai, pastikan kedai dalam keadaan kemas dan bersih sentiasa. Sekiranya menjalankan perniagaan Internet, sama juga. Pastikan meja tempat anda bekerja adalah sentiasa bersih dan kemas.
Keadaan tempat kerja yang kemas akan memudahkan perniagaan untuk menjadi lebih teratur. Kebersihan sekeliling akan memurahkan rezeki. Jangan lupa, kebersihan diri sendiri sebagai pemilik perniagaan juga perlu diutamakan!
4. Amalkan doa murah rezeki sebelum memulakan kerja atau berniaga
“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada Engkau kebaikan hari ini, kemenangan-Nya, pertolongan-Nya, cahaya-Nya, keberkatan-Nya dan petunjuk-Nya. Dan aku memohon perlindungan kepada Engkau dari kejahatan sesuatu yang ada didalamnya dan kejahatan sesuatusesudahnya”
Kredit: nasgreatidea
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Walau berada di zaman yang serba canggih tapi tak dinafikan masih ada yang mempercayai akan ‘bomoh’ atau dukun. Ada yang terlalu mempercayainya hingga mendatangkan kemudaratan.
Antaranya seperti kematian Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli kerana dituduh mencuri komputer riba.
Kisah menyayat hati Allahyarham bermula apabila namanya antara yang disebut oleh seorang ‘bomoh’ untuk mengesan siapakah pencuri komputer riba (laptop) berkenaan. Akibatnya Allahyarham Zulfarhan bukan sahaja dipukul supaya mengaku mencuri komputer riba berkenaan malah turut juga ditekap menggunakan seterika wap hingga mendatang kecederaan teruk yang juga menyebabkan kematiannya.
Kepercayaan kuat kepada bomoh, dukun atau tukang ramal ini membuatkan golongan ini sanggup mengenepikan hukum agama. Adalah haram hukumnya bagi seseorang mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai sesuatu urusan daripada tukang ramal.
Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dalam satu hantaran di Facebook berkata, hukumnya juga adalah sama bagi seseorang yang pergi kepada tukang ramal (dukun) bagi meminta mengubati sihir yang dihadapi.
Jelasnya, apabila seseorang pergi menemui mereka untuk mengubati sihir yang dihadapi, perbuatan tersebut jelas membawa kepada pergantungan kepada selain Allah.
“Perlakuan-perlakuan ini boleh membawa syirik kepada Allah. Semoga kita dijauhkan daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada-Nya dan mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya,” tulisnya.
Tambah Jakim, mendatangi bomoh, dukun adalah salah satu jenis daripada syrik kepada Allah adalah keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Dia.
“Hadis Riwayat Muslim (5957), Nabi Muhammad SAW bersabda sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.
“Hadis Riwayat Ahmad (9171) pula, sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,” tulisnya.
Menjadi kebiasaan kaum wanita mempunyai koleksi pakaian dan tudung yang banyak. Malah ada juga antara koleksi ini yang tidak lagi dipakai kerana tak muat, tak sesuai. Ada juga yang langsung tak dipakai kerana tersalah beli. Tapi semua ini tetap disimpan.
Namun pesan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang juga seorang pendakwah dalam satu ceramah beliau, pakaian-pakaian yang tidak dipakai, janganlah disimpan kerana semua ini akan dihisab di akhirat kelak.
“Kaum ibu saya ingin pesan kalau ada pakaian yang dah 40 hari tak pakai, jangan simpan. Nanti akan dihisab. Kalau dah 40 hari tak pakai, maksudnya kita dah tak perlukannya.
“Ini termasuklah periuk di dapur. Biasa berlaku periuk lama masih ada, kita beli yang baru. Semua ini akan dihisab. Kalau dah 40 hari tak pakai, berilah pada orang lain untuk digunakan supaya kita tukar barang tersebut jadi pahala.
“Biar kita letakkan dunia ini sebagai alat, dan reda Allah itu sebagai matlamat. Kita jadikan harta yang kita ada sebagai alat untuk meraih pahala dan bukan matlamat hidup,” ujar beliau dalam satu klip video yang dikongsi di media sosial.
Seksaan tidak belanjakan harta ke jalan yang benar
Dalam pada itu, pesanan tersebut juga selaras dengan Surah at-Taubah, ayat 34-35 yang menceritakan seksaan yang akan dialami di akhirat jika seseorang tidak membelanjakan hartanya di jalan yang benar, tetapi menyimpan untuk diri sendiri.
“…Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya di jalan ALLAH, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih, (ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan di dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diselar dengan dahi mereka, rusuk dan punggung mereka (sambil dikatakan) kepada mereka, Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.”
Selain itu, terdapat juga hadis yang memperincikan bahawa lebih baik untuk memberi barang yang tidak digunakan kepada orang yang lebih memerlukan.
“Sesiapa yang memakai pakaian yang baru, hendaklah dia mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang dapat menutup auratku dengannya dan telah memperindahkan diriku di dalam kehidupan ini. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaan-Nya dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.” – Hadis Riwayat Umar Al-Khattab, 3/134
Berdasarkan penerangan tentang hisab ke atas harta di atas, jelas bahawa barang yang tidak digunakan tidak elok disimpan. Sebaliknya, lebih baik jika barang tersebut diberi kepada orang yang memerlukan sekaligus memberikan ganjaran bersedekah.