Biasanya apabila setiap orang yang pergi bertemu dengan doktor dan mengadu masalah kesihatan yang dihadapinya, maka doktor akan mendengar setiap aduannya dan mengarahkannya agar menjalani pemeriksaan di atas katil. Selepas dilakukan pemeriksaan tersebut, doktor akan menulis dan merekodkan ubatan yang sesuai dengan kesihatan dirinya. Doktor akan memberikan penjelasan dan panduan terbaik pengambilan ubatan yang dibekalkannya.
“Ubat ini, encik perlu ambil sebelum makan dan pil ini dimakan selepas makan sebanyak dua kali sehari. Ubat ini pula perlu dimakan sebelum tidur pada setiap malam,” jelas doktor.
Biasanya doktor akan memberikan nasihat dan jadual terbaik dalam pengambilan ubat demi kebaikan pesakitnya. Bahkan doktor akan menasihatkannya agar kembali bertemu dengannya jika gejala penyakit masih berterusan pada hari berikutnya. Apabila si pesakit bertemu dengannya buat kali yang berikutnya, biasanya doktor akan bertanya mengenai tahap kesihatannya itu. Sejauh manakah keberkesanan ubat yang diberikannya kepada pesakit dan status kesihatan pesakit tersebut setakat ini.
Ini adalah tujuan asal kedatangan pesakit bertemu dengan doktor yang merawatnya. Ubatan yang dibekalkan kepadanya hanyalah sebagai wasilah untuk mencapai tujuan kedatangannya dalam menghilangkan masalah kesihatan yang dihadapinya. Inilah keputusan yang tidak bercanggah dengan urusan ibadah yang dilakukan pada masa kini. Ia bukan dikira daripada kuantiti yang kita lakukannya, tetapi ia dinilai daripada aspek kualiti yang menjadi tujuannya iaitu maqasid ibadah yang membentuk keperibadian mulia, berakhlak dan mencapai maqam takwa kepada Allah Taala.
Kewajiban Beribadah
Allah SWT berfirman: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat, ayat 56). Berdasarkan ayat ini, penciptaan manusia dan jin di dunia ini bukanlah hanya sia-sia apalagi sekadar untuk bermain-main. Sedangkan tugas utama yang dibebankan pada bahu mereka adalah untuk beribadah dengan memurnikan ketaatan kepada Allah semata-mata.
Ibadah kepada Allah SWT adalah maqasid terbesar yang mewujudkan jalinan dan hubungan antara hamba dengan Penciptanya. Ibadah inilah yang akan menguatkan semangat mereka, menimbulkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi dan juga kegembiraan yang tidak terbendung. Kadangkala manusia leka dengan perkara ini, hinggakan para ahli ilmu terlalai dalam menyampaikan dakwah tentang kepentingan ibadah ini yang perlu diserukan kepada seluruh manusia.
Apabila tibanya bulan Ramadan, ramai manusia yang bernama Muslim melaksanakan ibadah puasa, namun ada segelintirnya yang tidak bersolat tetapi tetap terus berpuasa. Bagaimana mereka boleh meninggalkan ibadah harian seperti solat dan melaksanakan kewajipan ibadah puasa yang timbul setahun sekali? Ini semua adalah disebabkan kelalaian hati daripada maksud sebenar ibadah kerana Allah.
Ads
Begitu juga dengan sebilangan manusia yang hanya mengeluarkan zakat harta semasa bulan Ramadan sahaja, sedangkan jika dikeluarkan pada bulan yang lain sudah pasti ia memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukannya.
Sama juga keadaan para jemaah haji yang berkunjung di Makkah untuk melaksanakan ibadah haji. Sementara tibanya musim haji, segala amal ibadah dilaksanakan dengan sebaiknya. Mereka senantiasa dalam keadaan beribadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, melaksanakan solat malam, mempelajari agama, mendengar kuliah agama, menjaga solat jemaah dan sebagainya.
Semua mereka mengimpikan kebaikan yang dilaksanakan itu tetapi impian hanya tinggal impian sepulangnya mereka ke tanah air. Keadaan kembali seperti sediakala, tiada lagi bacaan al-Quran, mendengar kuliah, bersedekah, berzikir dan solat berjemaah.
Begitu sukar untuk kita mentafsirkan perkara ini dalam realiti kehidupan kita. Pelbagai alasan yang ada pada diri mereka, malah ia tidak mampu diterjemahkan kepada realiti sebenar. Kita seolah-olah terus mencari jawapannya, apakah sebab ia terjadi dan di manakah kepincangannya?
Kembali Kepada Al-Quran & Sunnah
Namun apabila kita kembali membelek makna al-Quran, pasti kita dapat ia memberi petunjuk yang menjadikan jawapan di benak kita terhurai dengan sendirinya. Ibadah yang Allah syariatkan kepada umat manusia yang beriman kepada-Nya mempunyai maqasid yang begitu banyak. Malahan ia mempunyai hubung kait yang tidak terungkai dalam rangkaian nan kukuh, umpama ikatan yang dijalin teguh.
Ads
Allah SWT telah menetapkan ibadah solat yang dilaksanakan oleh kita saban hari sebagai ‘talian hayat’ yang tidak kunjung padam selama nyawa di kandung badan. Ibadah solat ini didatangkan dengan penerangan sunnah yang suci mengenai tata cara solat, syarat-syarat, rukun-rukun dan hukum hakamnya yang luas.
Semua ini adalah berasaskan niat yang tulus ikhlas kerana mengagungkan Allah Taala.
Semoga Allah merahmati Imam Ibn ‘Uyainah yang menyatakan: “Aku berharap agar senantiasa ada orang yang duduk ‘melepak’ dengan manusia dan dia mengajarkan mereka mengenai niat mereka.”
Bagaimana dia perlu mengajar manusia mengenai niat yang menjadi rahsia di dalam ‘dada’ mereka? Inilah pentingnya niat, kerana ia menjadi hukum pada setiap pekerjaan dan amalan mereka. Jika mereka menjelaskan niat sebenar kepada orang alim, pasti ditunjukkan kepada mereka jalan kebaikan agar mereka tidak melakukan kesilapan dan kesalahan sepanjang hidup mereka. Perhatikanlah sebaiknya dan renungkanlah pada diri kita? Adakah kita telah melihat kebaikan itu menyelinap dalam setiap amalan kita seharian?
Perhatikan juga bagaimana syariat menerangkan bahawa manusia itu apabila dihidangkan makanan di hadapannya dan ketika itu masuknya waktu solat. Maka sunnah mengajarkan agar dia terlebih dahulu menjamah makanan yang terhidang di hadapannya, meskipun ia ketinggalan solat berjemaah yang disunatkan kepadanya.
Ads
Jika ia terus sahaja bersolat sedang makanan telah terhidang, pasti solatnya akan berlangsung dalam keadaan sia-sia sahaja. Hilangnya khusyuk dan fokus beribadah kerana teringatkan pada makanan dengan perut yang kian ‘berkeroncong’.
Malah sewaktu datang untuk bersolat jemaah, Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam turut mengarahkan agar mereka yang datang ke masjid tidak perlu dalam keadaan tergopoh gapah. Hendaklah mereka berjalan dalam keadaan tenang dan ini adalah lebih utama dari tergopoh gapah dan terkejar-kejar untuk berjemaah, walaupun hanya mendapat satu atau dua rakaat sahaja. Semua ini perlu dirujuk pada sumber hujah syarak yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Dalam ibadah korban Allah SWT telah menjelaskan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban (atau hadyi itu) tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu”. (Surah al-Hajj, ayat 37)
Jadi dalam hal ibadah ini, wasilah itu jika besar dan berganda pun nilaiannya tidak akan diterima oleh Allah melainkan dengan niat yang ikhlas kepada-Nya. Ia amat bergantung pada maksud hati si pelakunya. Betapa ramai orang yang mempelajari mengenai pengharaman sihir namun dalam masa yang sama dia juga bertemu dengan orang yang mengamalkan sihir untuk mengubati penyakit yang dihadapinya. Akhirnya tidak bermanfaat ilmu yang dipelajarinya selama ini, semua itu hanya sia-sia dan ditolak oleh Allah segala keberkatan padanya.
Renungan
Sesungguhnya manusia hidup di dunia ini tidak lebih daripada kehidupan yang sebentar sahaja. Oleh itu jangan sampai kemewahannya menyilaukan ‘mata’ keimanan, sehingga membuat diri kita lupa tentang hakikat dan tujuan hidup kita ini sebenarnya. Sebagai seorang yang beriman dan bukan setakat bergelar Muslim sahaja, sepatutnya kita selalu bermuhasabah diri dan memohon kepada Allah SWT agar perjalanan hidup yang seketika ini boleh dihiasi dengan banyaknya beribadah kepada Nya sehingga reda dan keampunannya mampu diraih sebanyak-banyaknya.
Tiada jalan lain untuk menggapai kemuliaan di dunia dan akhirat ini kecuali dengan menjalankan segala perintah dan menjauhi semua larangan Nya. Penuhilah jiwa dengan keyakinan bahawa tidak ada satu pun manhaj yang lebih baik kecuali manhaj yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Oleh yang demikian, teruslah beristiqamah dalam mengabdikan diri kepada Allah Taala. Jangan sesekali berhenti ‘melangkah’ walau pun halangan merintang di hadapan mata. Ingatlah bahawa tugas kita di dunia ini tidak lain hanya untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Fitrah wanita yang gemarkan kecantikan terutama dalam soal penampilan diri. Bersolek adalah salah satu cara untuk wanita tampil lebih yakin. Walau bagaimanapun dalam berhias jangan sampai melanggar batas-batas syariat.
Tapi apakah hukum bersolek sebenarnya? Apa pula pandangan Islam terhadap wanita yang gemar bersolek. Amat berat sebenarnya isu solekan dan perhiasan wanita ini. Bukan wanita tidak boleh bersolek langsung tetapi bersoleklah secara sederhana, tidak berlebih-lebihan sehingga menaikkan rasa nafsu bagi kaum lelaki yang memandang sehingga ia boleh mendatangkan fitnah.
TIGA TIP UNTUK MUSLIMAH BERSOLEK:
1. Gunakan warna-warna yang natural
Elakkan lipstik yang berwarna garang dan kelihatan terlalu menarik perhatian seperti warna merah, purple, pink terang, maroon gelap dan sebagainya. Pilih warna-warna yang SESUAI dengan warna kulit dan HAMPIR dengan warna semulajadi bibir kita. Elakkan warna-warna yang terang seperti eye shadow hijau, biru, ungu dan sebagainya. Jika perlu, pilih yang berwarna natural seperti coklat dan perang (bronze). Konsep mekap hanyalah untuk menyerikan dan meningkatkan keterampilan bukannya sehingga menjadi topeng di muka.
2. Jangan gunakan bulu mata palsu
Bulu mata palsu adalah sama hukumnya seperti menyambung rambut dan ianya adalah HARAM. Jika mahu, boleh gunakan sedikit maskara. Pastikan dibersihkan sempurna jika mahu ambil wuduk. Kedua-dua pihak yang terlibat dalam memakai dan memakaikan bulu mata palsu mendapat dosa.
3. Kening tidak dicukur/ dicabut
Antara perkara yang menjadi kelaziman adalah mencukur kening. Tahukah anda bahawa ianya adalah HARAM dan BERDOSA?
“Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (Al Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah”
(Riwayat (Al Bukhari, Muslim, Abu Daud)
Dalam Surah An-Nur; Ayat 31 menerangkan dengan terperinci tentang batas aurat dan penampilan wanita. Ayat ini memang panjang tetapi teramat penting untuk kita benar-benar baca dan faham,
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Di dalam Islam, solekan atau memperlihatkan perhiasan berlebihan itu digelar Tabarruj.
Tabarruj menurut bahasa adalah wanita yang mempamerkan keindahan dan perhiasannya berlebihan kepada lelaki bukan mahram (tafsiran Ibnu Manzhur di Lisanul Arab).
Tabarrajatil mar’ah maksudnya wanita yang menampakkan kecantikannya, lehernya, dan wajahnya. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya, kecantikannya kepada lelaki bukan mahram dengan niat untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.
Dan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda,
“Aku telah melihat di dalam neraka, aku melihat kebanyakan penghuninya wanita. Sebabnya mereka sedikit yang patuh pada Islam dan Rasulnya, kurang taat kepada suaminya dan kuat bersolek.”
Tanya diri, apabila kita berniat bersolek untuk cantik, maka untuk siapakah kecantikan kita itu ditunjukkan? Bagi wanita yang sudah berkahwin, solekan itu buat si suami, mungkin dengan solekan nipis pada wajah, dapat membuatkan pandangan orang lain terhadap suami itu lebih baik.
Jadi cukuplah jika seorang wanita itu berhias secara sederhana demi menjaga nama suami, keluarga dan anak-anak. Kecantikan sebenar seorang wanita itu adalah pada akhlaknya. Jadi bersederhanalah dalam berhias.
Sumber kredit: Elle Zada
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Syeikh Ali Al Khawwas menyatakan bahawa akhlak isteri merupakan gambaran daripada akhlak diri seorang suami. Ini kerana darinyalah isteri ‘diciptakan.’ Barang siapa yang ingin tahu akhlak dirinya, maka hendaklah ia melihat akhlak istrinya. Maka jika engkau ingin akhlak isterimu baik, maka binalah hubungan baik dengan Allah.
Hal ini dibuktikan sendiri oleh Syeikh Abdul Wahhab Asy Sya’rani bersama isterinya Umm Abdurrahman. Syeikh Asy Sya’rani berkata “Aku tidaklah bengkok dalam amalan zahir dan batin kecuali bengkoklah isteriku dalam akhlaknya, padahal sebenarnya ia memiliki akhlak mulia. Terkadang aku berada bersamanya dalam keadaan hubungan yang paling baik, kemudian saat itu dibenakku terlintas untuk melakukan perbuatan berdasarkan syahwat, maka keadaan itu mengubah perangai isteriku tanpa boleh dibentuk. Akhirnya aku memahami sebabnya, hingga aku segera memperbaikinya, maka perangai isteriku pun kembali seperti semula.” (Lawaqih Al Anwar Al Qudsiyyah)
Catatan di Facebook pelakon Mustapha Kamal ada menyebutkan tentang perihal peribadi suami yang boleh dilihat melalui peribadi seorang isteri.
Isteri adalah cerminan suami
Cantik suamimu, cantiklah kamu. Elok suamimu, eloklah kamu. Beriman suamimu maka berimanlah kamu. Ahli syurga suamimu maka kamu jua ahli syurga. Begitu jua sebaliknya.
Wahai sang suami, jika kamu merasa isterimu sangat leceh, menyusahkan, keras kepala atau sebagainya. Maka itulah diri kamu sendiri sebenarnya. Kamu yang telah mengajar, membentuk dan menyebabkan dia menjadi seperti itu.
“Lelaki yang hebat bukan yang dapat mengahwini perempuan solehah, tapi lelaki yang mengahwini wanita biasa dan berjaya bimbingnya menjadi perempuan solehah.”
In sha Allah.
Subhanallah…betapa besar pahala dari Allah kepada setiap suami yang memperlakukan isterinya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Sungguh, betapa besar rahmat Allah Ta’ala yang akan dilimpahkan kepada setiap pasangan suami isteri yang berkahwin kerana mengharapkan reda dan rahmat Allah.
Sudah menjadi tanggungjawab suami untuk memberikan ilmu pengetahuan agama yang cukup kepada isteri, membantu kerja-kerja di rumah, menyimpan rahsia rumah tangga dan sebagainya.
Sumber kredit: @Mustapha Kamal
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Doa ialah satu situasi seorang manusia itu meminta-minta kepada Yang Maha Pencipta. ALLAH SWT menurunkan ujian kepada hamba-NYA kerana mahu mendengar rintihannya. Mintalah kepada ALLAH, mintalah apa-apa sahaja.
Justeru, misalnya anda mempunyai masalah dalam soal jodoh mahupun rumahtangga, berdoalah kepada ALLAH supaya segalanya dipermudahkan. Usahlah pernah jemu untuk berdoa kerana doa mempunyai kuasanya yang tersendiri.
PENGABDIAN
Tidaklah kita dicipta di muka bumi ini selain daripada untuk menyembah ALLAH. Justeru sebagai hamba yang lemah, apa lagi yang hendak kita lakukan selain berdoa dan berusaha memperbaiki keadaan demi kehidupan yang lebih baik.
ALLAH mendengar doa yang kita mohonkan. Terserah kepada ALLAH untuk memakbulkannya atau tidak. Jika doa kita tidak dimakbulkan pada hari ini, percayalah pasti ada sesuatu yang lebih baik untuk kita pada hari kemudian.
MENGUBAH HIDUP
Percaya kepada doa yang dipohonkan membuatkan seseorang itu menjadi lebih positif. Berdoalah dengan kepercayaan yang utuh bahawa ALLAH mendengar apa yang kita minta. Usah sesekali berpaling dan kecewa kepada doa.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Ubah corak pemikiran anda menjadi lebih positif dan lihatlah kesannya. Memanglah tatkala sedang bersedih, kita terarah untuk menjadi seorang yang negatif. Namun, doa yang tulus ikhlas kepada ALLAH, pasti akan dapat membantu anda menjadi lebih positif.
WAKTU MUJARAB BERDOA
1)Ketika sahur atau sepertiga malam.
2)Ketika berbuka puasa.
3)Ketika malam lailatul qadar.
4)Ketika azan berkumandang.
5)Ketika sedang sujud dalam solat.
6)Sebelum memberi salam pada solat fardu.
7)Pada hari Jumaat (penghulu segala hari).
8)Ketika waktu hujan.
9)Pada Hari Arafah.
10)Sewaktu minum air zamzam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?