Maqasid? Apa kaitannya dengan ibadah

Share

Biasanya apabila setiap orang yang pergi bertemu dengan doktor dan mengadu masalah kesihatan yang dihadapinya, maka doktor akan mendengar setiap aduannya dan mengarahkannya agar menjalani pemeriksaan di atas katil. Selepas dilakukan pemeriksaan tersebut, doktor akan menulis dan merekodkan ubatan yang sesuai dengan kesihatan dirinya. Doktor akan memberikan penjelasan dan panduan terbaik pengambilan ubatan yang dibekalkannya.

“Ubat ini, encik perlu ambil sebelum makan dan pil ini dimakan selepas makan sebanyak dua kali sehari. Ubat ini pula perlu dimakan sebelum tidur pada setiap malam,” jelas doktor.

Biasanya doktor akan memberikan nasihat dan jadual terbaik dalam pengambilan ubat demi kebaikan pesakitnya. Bahkan doktor akan menasihatkannya agar kembali bertemu dengannya jika gejala penyakit masih berterusan pada hari berikutnya. Apabila si pesakit bertemu dengannya buat kali yang berikutnya, biasanya doktor akan bertanya mengenai tahap kesihatannya itu. Sejauh manakah keberkesanan ubat yang diberikannya kepada pesakit dan status kesihatan pesakit tersebut setakat ini.

Ini adalah tujuan asal kedatangan pesakit bertemu dengan doktor yang merawatnya. Ubatan yang dibekalkan kepadanya hanyalah sebagai wasilah untuk mencapai tujuan kedatangannya dalam menghilangkan masalah kesihatan yang dihadapinya. Inilah keputusan yang tidak bercanggah dengan urusan ibadah yang dilakukan pada masa kini. Ia bukan dikira daripada kuantiti yang kita lakukannya, tetapi ia dinilai daripada aspek kualiti yang menjadi tujuannya iaitu maqasid ibadah yang membentuk keperibadian mulia, berakhlak dan mencapai maqam takwa kepada Allah Taala.

Kewajiban Beribadah
Allah SWT berfirman: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat, ayat 56). Berdasarkan ayat ini, penciptaan manusia dan jin di dunia ini bukanlah hanya sia-sia apalagi sekadar untuk bermain-main. Sedangkan tugas utama yang dibebankan pada bahu mereka adalah untuk beribadah dengan memurnikan ketaatan kepada Allah semata-mata.

Ibadah kepada Allah SWT adalah maqasid terbesar yang mewujudkan jalinan dan hubungan antara hamba dengan Penciptanya. Ibadah inilah yang akan menguatkan semangat mereka, menimbulkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi dan juga kegembiraan yang tidak terbendung. Kadangkala manusia leka dengan perkara ini, hinggakan para ahli ilmu terlalai dalam menyampaikan dakwah tentang kepentingan ibadah ini yang perlu diserukan kepada seluruh manusia.

Apabila tibanya bulan Ramadan, ramai manusia yang bernama Muslim melaksanakan ibadah puasa, namun ada segelintirnya yang tidak bersolat tetapi tetap terus berpuasa. Bagaimana mereka boleh meninggalkan ibadah harian seperti solat dan melaksanakan kewajipan ibadah puasa yang timbul setahun sekali? Ini semua adalah disebabkan kelalaian hati daripada maksud sebenar ibadah kerana Allah.

Begitu juga dengan sebilangan manusia yang hanya mengeluarkan zakat harta semasa bulan Ramadan sahaja, sedangkan jika dikeluarkan pada bulan yang lain sudah pasti ia memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukannya.

Sama juga keadaan para jemaah haji yang berkunjung di Makkah untuk melaksanakan ibadah haji. Sementara tibanya musim haji, segala amal ibadah dilaksanakan dengan sebaiknya. Mereka senantiasa dalam keadaan beribadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, melaksanakan solat malam, mempelajari agama, mendengar kuliah agama, menjaga solat jemaah dan sebagainya.

Semua mereka mengimpikan kebaikan yang dilaksanakan itu tetapi impian hanya tinggal impian sepulangnya mereka ke tanah air. Keadaan kembali seperti sediakala, tiada lagi bacaan al-Quran, mendengar kuliah, bersedekah, berzikir dan solat berjemaah.

Begitu sukar untuk kita mentafsirkan perkara ini dalam realiti kehidupan kita. Pelbagai alasan yang ada pada diri mereka, malah ia tidak mampu diterjemahkan kepada realiti sebenar. Kita seolah-olah terus mencari jawapannya, apakah sebab ia terjadi dan di manakah kepincangannya?

Kembali Kepada Al-Quran & Sunnah
Namun apabila kita kembali membelek makna al-Quran, pasti kita dapat ia memberi petunjuk yang menjadikan jawapan di benak kita terhurai dengan sendirinya. Ibadah yang Allah syariatkan kepada umat manusia yang beriman kepada-Nya mempunyai maqasid yang begitu banyak. Malahan ia mempunyai hubung kait yang tidak terungkai dalam rangkaian nan kukuh, umpama ikatan yang dijalin teguh.

Allah SWT telah menetapkan ibadah solat yang dilaksanakan oleh kita saban hari sebagai ‘talian hayat’ yang tidak kunjung padam selama nyawa di kandung badan. Ibadah solat ini didatangkan dengan penerangan sunnah yang suci mengenai tata cara solat, syarat-syarat, rukun-rukun dan hukum hakamnya yang luas.

Semua ini adalah berasaskan niat yang tulus ikhlas kerana mengagungkan Allah Taala.
Semoga Allah merahmati Imam Ibn ‘Uyainah yang menyatakan: “Aku berharap agar senantiasa ada orang yang duduk ‘melepak’ dengan manusia dan dia mengajarkan mereka mengenai niat mereka.”

Bagaimana dia perlu mengajar manusia mengenai niat yang menjadi rahsia di dalam ‘dada’ mereka? Inilah pentingnya niat, kerana ia menjadi hukum pada setiap pekerjaan dan amalan mereka. Jika mereka menjelaskan niat sebenar kepada orang alim, pasti ditunjukkan kepada mereka jalan kebaikan agar mereka tidak melakukan kesilapan dan kesalahan sepanjang hidup mereka. Perhatikanlah sebaiknya dan renungkanlah pada diri kita? Adakah kita telah melihat kebaikan itu menyelinap dalam setiap amalan kita seharian?

Perhatikan juga bagaimana syariat menerangkan bahawa manusia itu apabila dihidangkan makanan di hadapannya dan ketika itu masuknya waktu solat. Maka sunnah mengajarkan agar dia terlebih dahulu menjamah makanan yang terhidang di hadapannya, meskipun ia ketinggalan solat berjemaah yang disunatkan kepadanya.

Jika ia terus sahaja bersolat sedang makanan telah terhidang, pasti solatnya akan berlangsung dalam keadaan sia-sia sahaja. Hilangnya khusyuk dan fokus beribadah kerana teringatkan pada makanan dengan perut yang kian ‘berkeroncong’.

Malah sewaktu datang untuk bersolat jemaah, Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam turut mengarahkan agar mereka yang datang ke masjid tidak perlu dalam keadaan tergopoh gapah. Hendaklah mereka berjalan dalam keadaan tenang dan ini adalah lebih utama dari tergopoh gapah dan terkejar-kejar untuk berjemaah, walaupun hanya mendapat satu atau dua rakaat sahaja. Semua ini perlu dirujuk pada sumber hujah syarak yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam ibadah korban Allah SWT telah menjelaskan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban (atau hadyi itu) tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu”. (Surah al-Hajj, ayat 37)

Jadi dalam hal ibadah ini, wasilah itu jika besar dan berganda pun nilaiannya tidak akan diterima oleh Allah melainkan dengan niat yang ikhlas kepada-Nya. Ia amat bergantung pada maksud hati si pelakunya. Betapa ramai orang yang mempelajari mengenai pengharaman sihir namun dalam masa yang sama dia juga bertemu dengan orang yang mengamalkan sihir untuk mengubati penyakit yang dihadapinya. Akhirnya tidak bermanfaat ilmu yang dipelajarinya selama ini, semua itu hanya sia-sia dan ditolak oleh Allah segala keberkatan padanya.

Renungan
Sesungguhnya manusia hidup di dunia ini tidak lebih daripada kehidupan yang sebentar sahaja. Oleh itu jangan sampai kemewahannya menyilaukan ‘mata’ keimanan, sehingga membuat diri kita lupa tentang hakikat dan tujuan hidup kita ini sebenarnya. Sebagai seorang yang beriman dan bukan setakat bergelar Muslim sahaja, sepatutnya kita selalu bermuhasabah diri dan memohon kepada Allah SWT agar perjalanan hidup yang seketika ini boleh dihiasi dengan banyaknya beribadah kepada Nya sehingga reda dan keampunannya mampu diraih sebanyak-banyaknya.

Tiada jalan lain untuk menggapai kemuliaan di dunia dan akhirat ini kecuali dengan menjalankan segala perintah dan menjauhi semua larangan Nya. Penuhilah jiwa dengan keyakinan bahawa tidak ada satu pun manhaj yang lebih baik kecuali manhaj yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Oleh yang demikian, teruslah beristiqamah dalam mengabdikan diri kepada Allah Taala. Jangan sesekali berhenti ‘melangkah’ walau pun halangan merintang di hadapan mata. Ingatlah bahawa tugas kita di dunia ini tidak lain hanya untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.

Published by
wan erni