Ma’radh Wahyi tempat wajib dikunjungi jemaah haji dan umrah tapi jarang diceritakan, mungkin tempatnya yang sarat dengan informasi seperti muzium jadi kurang menarik minat jemaah umrah atau haji yang berpeluang ke sana.
Sebenarnya Jemaah haji yang ingin menambah ilmu boleh mengunjungi ke daerah Budaya Hira, yang terletak berhampiran Gua Hira di pergunungan Makkah.
Artikel Berkaitan:
‘Pergi Mekah Macam Bercuti, Nak Buat Content Semata.’ Sedih Sungguh Ragam Jemaah Umrah Akhir Zaman
Di sini semua jemaah berpeluang melawat muzium dan pameran Al-Quran. Memetik laporan Arab News, kawasan ini dianggap sebagai mercu tanda budaya yang diuruskan oleh Suruhanjaya Diraja untuk Kota Suci Mekah dan Tempat Suci.
Projek ini menyumbang kepada memperkaya pengalaman keagamaan dan budaya untuk jemaah haji dan penduduk Makkah. Ini adalah salah satu matlamat program Wawasan 2030 Arab Saudi.
Ini perkongsian Abdel Rahamanov tentang satu tempat yang wajib dikunjungi oleh jemaah umrah atau haji tetapi jarang diceritakan.
Tempat ini ialah Ma’radh Wahyi atau Pameran Wahyu. Ma’radh ini terletak di kaki Jabal Nur (Bukit Nur) yang adanya Gua Hira’.
Saya pergi ke tempat ini pagi semalam ke Ma’radh Wahyi dengan teksi. Saya booking teksi melalui apps Careem. Tambang 50 riyal.
Ma’Radh Wahyi ini adalah tarikan baharu untuk pengunjung Arab Saudi. Tiket masuk 20 riyal untuk seorang. Jika datang dengan kumpulan (1 hingga 3 orang), tiket masuk jadi 15 Riyal untuk seorang.
Apabila disebut ma’radh atau pameran pasti ramai berasa kurang berminat sebab ia lebih bersifat informasi semata-mata dan bukan infotainment.
Namun Ma’radh Wahyi ini berbeza kerana memaparkan info dengan menggunakan teknik audio visual dan lighting (pencahayaan) yang amat menarik.
Ma’radh Wahyi ini memaparkan kisah perjalanan dakwah Islam di muka bumi bermula dengan Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW.
Dengan kata lain, ia penceritaan tentang kisah para Nabi AS dalam bentuk baharu seolah-olah kita berada dalam kisah tersebut.
Pengunjung Ma’radh Wahyi dibawa ke dalam bilik suram berbentuk gua dan menonton skrin besar tentang kisah para Nabi AS seperti Nabi Adam AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS, Nabi Ibrahim AS dan kemunculan agama Jahiliah di kota Makkah.
Setiap kisah yang dipaparkan di skrin besar dalam bentuk animasi membawa kita berada pada zaman itu.
Jika kita pernah dengar ungkapan “Kembali kepada zaman dahulu”. Nah! Sekarang kita kembali kepada zaman dahulu.
Kemudian pengunjung di bawa ke bilik tontonan lain yang menceritakan tentang Kaabah dan kehidupan Arab jahiliah yang rosak daripada agama tauhid yang sebenar.
Bilik ini juga memaparkan kisah pada skrin lengkung yang lebih panjang. Jika selama ini kita lihat skrin begini dalam iklan, sekarang kita merasainya sendiri. Amat menarik!
Di tengah-tengah bilik tontonan ada peta geografikal kawasan Makkah dan dan Madinah.
Di antara kisah yang dipaparkan ialah kisah Abrahah, yang ingin menghancurkan kaabah dengan tentera bergajah.
Namun dengan kuasa Allah, gajah tidak mahu bergerak ke arah kaabah dan Allah menghantar burung Ababil yang melemparkan batu kecil sebesar kacang Adas (kacang dal) untuk memusnahkan tentera Abrahah. Raja Abrahah mati dalam kehinaan.
Kemudian dipaparkan kisah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu di Gua hira’.
Dipaparkan pada peta geografikal, laluan Nabi SAW berjalan ke Gua Hira yang terletak 4km dari Makkah dan kemudian Baginda SAW mendaki Jabal Nur untuk beruzlah di Gua Hira’.
Di sini kita nampak betapa kuatnya mujahadah Nabi SAW mencari hidayah Allah dan beruzlah di situ sepanjang bulan Ramadhan.
Mungkin selama kita kita berasa Gua hira’ itu bagaikan di belakang Masjid Haram sahaja. Tidak, Gua Hira terletak 4 km dari Masjid Haram.
Kemudian pengunjung di bawa ke bahagian replika Gua Hira’. Ada dua replika Gua Hira’ disediakan. Bentuk Gua Hira dan batu dibina sebijik macam Gua Hira’ yang sebenar. Ia bukan gabus ringan tetapi mungkin campuran konkrit membentuk seperti batu-batu yang berada di Gua Hira.
Dengan kata lain, jemaah tidak perlu untuk mendaki Jabal Nur untuk melihat Gua Hira’. Cukup dengan melawat Ma’radh ini sahaja.
Saya amat menggalakkan jemaah umrah atau haji melawat Ma’radh Wahyi ini agar dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan keimanan kita tentang kisah para Nabi AS dan perjuangan Nabi SAW.
Peminat audio visual juga wajib melawat tempat ini kerana ia memberi pengalaman yang baharu.
Oh ya, bersebelahan Ma’radh Wahyi ada Ma’radh Darb Makkah (Pameran perjalanan Makkah).
Masuk adalah percuma. Pameran ini memaparkan tentang perjalanan jemaah haji dan tentang Masjid Haram Makkah.
Sebelum masuk ke Ma’radh Darb Makkah, penganjur bina khemah orang Badwi. Di situ di sediakan Gahwah Arabi (Kopi Arab) dan buah kurma dengan percuma.
Kita juga boleh bergambar seolah-olah kita berada di khemah orang Badwi. Padu!
Perlu ingat cara minum Kopi Arab yang sebenar ialah dengan minum Kopi Arab sedikit kemudian gigit kurma sedikit. Baharulah sedap!
Jika travel agensi tidak bawa jemaah ke Ma’radh Wahyi ini, jemaah boleh pergi sendiri dengan Uber atau Careem.
Tetapi semasa pulang, bateri handphone habis, jadi saya tahan teksi putih “Ujrah”. Tambang 40 riyal sahaja.
Jangan bimbang sebab dekat sini teksi banyak sebab laluan menuju Masjid Haram.
Maaf Jika saya cakap jemaah yang tidak pergi melawat Ma’radh Wahyi ini adalah satu kerugian.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Jika berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci, singgahlah ke Ma’radh Wahyi atau pameran wahyu ini iya.
Foto/Sumber: Dr. Abdél Rahmanov
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.