Kesihatan

Masalah Kelenjar Tiroid Ketika Hamil, Apakah Bahaya Kepada Ibu Dan Bayi Dalam Kandungan

Share

Tiroid ialah kelenjar di bahagian depan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan. Penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir semua bahagian badan dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan apatahlagi kepada wanita hamil.

Penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki dan ia juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Apabila penyakit tiroid dihidapi ketika hamil, bolehkah ia menjejaskan kehamilan. 

Sebenarnya masalah kelenjar tiroid yang tidak dirawat dengan baik sudah pasti akan menjejaskan proses kehamilan dan mungkin akan mendatangkan kemudaratan pada bayi dalam rahim.

Oleh itu sangat penting bagi wanita yang merancang untuk hamil agar melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

Ini kerana beberapa faktor berikut:

1. Rawatan semasa hamil lebih sukar berbandingkan rawatan sebelum hamil.

2. Masalah kelenjar tiroid ini (sama ada kekurangan hormon atau berlebihan hormon) akan menjejaskan kehamilan. Ini bermakna kesihatan ibu dan kesihatan bayi akan terganggu. Malah mereka mungkin mengalami masalah yang serius sehingga menyebabkan kematian.

Kelenjar tiroid adalah kelenjar yang berada pada leher kita yang berfungsi mengeluarkan hormon yang bertanggungjawab mengawal metabolisme kita dan beberapa organ dalam tubuh kita.

Masalah tiroid berlaku apabila daya tahan kita melakukan kesilapan menyerang sel-sel dalam kelenjar tiroid. Dan banyak lagi punca yang menyebabkan kelenjar thyroid tidak berfungsi dengan baik.

Akhirnya kelenjar akan mengeluarkan hormon tiroid berlebihan (hyperthyroidism) atau tidak mengeluarkan hormon tiroid yang mencukupi (hypothyroidism).

Sesetengah wanita mengalami masalah ini sebelum mereka hamil. Ada yang mendapatkan rawatan dan ada yang tidak mendapatkan rawatan. Tetapi mereka sedar bahawa mereka mengalami masalah tiroid.

Yang malang ialah ada sebahagian wanita yang tidak menyedari bahawa mereka mengalami masalah ini. Keadaan ini dinamakan ‘subclinical hyper/hypo thyroidism”

Mereka mengalami masalah ini tetapi tiada tanda yang menunjukkan masalah ini, kecuali pemeriksaan darah menunjukkan sama ada kekurangan atau berlebihan hormon dalam darah. Tubuh mereka bekerja keras untuk mengatasi masalah ini agar tubuh kekal sihat.

Kehamilan adalah proses semula jadi pada wanita tetapi ia menyebabkan tekanan emosi dan fizikal. Apabila mereka hamil, tubuh tidak mampu lagi bertahan, maka timbullah tanda-tanda masalah kelenjar tiroid. Ramai wanita yang mengalami masalah ini ketika sejak kehamilan pertama.

Jika seorang wanita hamil mengalami masalah hypothyroidism, bayi juga akan berisiko mendapat kecacatan otak atau sekurang-kuranganya mempunyai tahap IQ yang rendah. Ini kerana hormon tiroid sangat penting bagi perkembangan otak dan saraf sejak dari dalam alam rahim lagi.

Jika penghidap tiroid mengalami masalah hyperthyroidism, mereka lebih mudah untuk mendapat masalah seperti tekanan darah tinggi ketika hamil dan preeclampsia. Kebanyakan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor adalah selamat. Namun pemeriksaan berjadual dengan pihak doktor amat penting untuk tujuan rawatan yang sepatutnya.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Published by
wan erni