Mawar Karim Dikecam Keluar Rumah Dalam Tempoh Iddah Sebab Itu Kita Kena Tahu Pengertian Iddah

Share

Menerusi Instagram, Mawar memuat naik sekeping gambar bermain bersama anaknya di pusat beli belah. Gambar berkenaan merupakan gambar pertama Mawar berada di luar rumah selepas bercerai dengan Fizo Omar.

Namun kelibat Mawar keluar di pusat membeli belah bersama anaknya, Wan Maryam mengundang kritikan apabila dia keluar dalam tempoh masih iddah serta bersolek cantik.

Dakwa netizen, Mawar sepatutnya menjaga tempoh iddah, tidak boleh keluar rumah selama tiga bulan serta tidak dibenarkan tampil cantik dengan solekan di depan khalayak ramai.

 

Ternyata gambar Mawar itu telah menimbulkan perbalahan dikalangan netizen yang mempunyai berbeza pandangan mengenai edah. Bagaimanapun sesetengah mereka pula berpendapat iddah bercerai hidup berbeza dengan iddah bercerai mati. Menurut mereka, iddah bercerai hidup tidak perlu berkabung selama tiga bulan dan boleh bersolek.

Apapun sebaiknya kita rujuk pada yang pakar agar ia tidak jatuh fitnah pula.

PENGERTIAN IDDAH

Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .

Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.

Dalil Berkaitan Dengan Iddah

Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci” (Surah al-Baqarah: 228)

Iddah bagi wanita yang masih didatangi haid yang kematian suami:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.” (Surah al-Baqarah: 234)

Iddah bagi wanita hamil yang dicerai semasa suami hidup atau kematian suami:

وَأُولاَتُ الأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.” (Surah at-Talaq: 4)

Berdasarkan kepada nas al-Quran di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menetapkan kepada iddah bagi wanita sesuai dengan keadaannya selepas penceraian.

BATASAN HUKUM SEMASA DALAM TEMPOH IDDAH TALAK RAJ’IE

Wanita yang sedang menjalani `iddah talak raj`ie mempunyai batas hukum yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam tempoh tersebut. Ini kerana hubungan atau pertalian perkahwinan antara suami isteri yang bercerai secara talak raj`ie masih wujud.

Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi ialah:

i. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

ii. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

iii. Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.

iv. Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud:

…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…

Namun, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.

v. Tidak boleh berkabung. Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.

KESIMPULAN

Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar di sebalik setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia. Begitu juga dengan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah SWT ke atas kaum wanita. Justeru, sebagai hamba-Nya yang beriman, kita wajib patuh dan taat serta mengambil berat terhadap tuntutan tersebut tanpa sebarang persoalan atau menghadapinya dengan perasaan dan jiwa yang berkeluh-kesah. Bahkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT itu merupakan satu tanda pengabdian diri dan kepatuhan hamba-Nya terhadap Pencipta Yang Maha Agung.

Dalam era wanita Malaysia yang berkerjaya, peranan ahli keluarga dan anggota masyarakat juga tidak kurang pentingnya. Mereka perlu sentiasa dididik dan diberi kesedaran supaya dapat menghayati dan menghormati situasi wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung serta membantu mereka agar dapat menjalani tempoh tersebut mengikut landasan syarak. Ini penting kerana dengan pemahaman yang jelas berhubung hal ini, perkara-perkara yang ditegah oleh Islam dapat dihindari seterusnya mengelakkan berlakunya fitnah, tohmahan dan unsur-unsur yang kurang menyenangkan terhadap wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung.

Sumber kredit: Mufti Wilayah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Instagram Mawar Karim

VIDEO KASHOORGA:

Published by
wan erni