Dalam solat pastinya kita tak lupa mendoakan ibu bapa, pasangan dan anak-anak kita. Tapi adakah kita turut sekali mendoakan adik beradik kita? Jika tiada, mulakan untuk menyelitkan sekali doa untuk mereka.
Dikongsi oleh Dr. Ahmad Sanusi Azmi kisah Nabi Musa yang sentiasa mendoakan abangnya Nabi Harun mungkin antara sebab untuk kita mula mendoakan saudara kandung kita dalam setiap solat.
Kisah Nabi Musa dan abangnya
1. Salah satu perkara yang boleh kita pelajari dari kisah-kisah al-Quran adalah mendoakan adik beradik sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Nabi Musa mendoakan abangnya Nabi Harun.
2. Hubungan antara abang dan adik ini adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai. Mereka digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik-beradik yang saling membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah.
3. Nabi Musa dan Nabi Harun memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran. Nabi Musa orangnya keras, sedang Nabi Harun itu sikapnya lembut. Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam, Musa memarahi abangnya Harun dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya. Sedang Harun membalas dengan baik dengan katanya:-
قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي إِنِّي خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي
“Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!” Surah Taha: 94.
4. Nabi Harun orangnya fasih sedang Nabi Musa barangkali tuturnya tidak berapa lancar. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa ketika meminta bantuan daripada Allah supaya Allah mengutuskan Harun sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur.
Kata Nabi Musa:-
وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا
“Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku” (Surah al-Qasas: 34).
4.1 Menurut al-Imam Ibn Kathir, Musa mempunya sejarah yang menyebabkan beliau menjadi sedemikian. Ketika kecil, beliau diberikan pilihan antara tamar dan bara api oleh Firaun untuk menguji anak kecil ini. Musa telah memilih bara lalu diletakkan pada lidahnya yang menyebabkan terdapat gangguan kepada lisan beliau. (Ibn Kathir, Tafsir, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1419H, 6/212)
5. Walaupun memiliki karakter yang berbeza, dua beradik ini adalah pasangan yang ideal dalam dakwah. Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya Allah melantik Harun, abangnya sebagai pembantu.
Perlantikan Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa ini disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran. Ia menggambarkan betapa besar peranan Harun sebagai pembantu misi dakwah tersebut. Allah menceritakan dialog Musa ini di dalam al-Quran. Firman Allah:
وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي (29) هَارُونَ أَخِي (30) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (31) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (32) كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا
“Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34] – Surah Taha: 30-34.
6. Bukan sahaja sahaja saling membantu, Nabi Musa juga direkodkan sebagai mendoakan keampunan buat abangnya. Berapa ramai di kalangan kita yang mendoakan sesama adik beradik sendiri?
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلأَخِي وَأَدْخِلْنَا فِي رَحْمَتِك
“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.” (Surah al-A’raf:151)
7. Melihatkan kepada doa ini, alangkah baiknya andai sesama adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka agar mereka semua sentiasa berada di dalam rahmat Allah.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI