Kerohanian

Menipu Untuk Bergurau, Buat Orang Ketawa, Perkara Haram Selalu Diambil Mudah

Share

“Wey, ada awek cantik nak jumpa kau kat luar!”

“Mad, Motor baru kau hilang!”

“Eh ulat apa kat kepala kau, besar tu!”

Ini mungkin lawak biasa yang kita tujukan kepada rakan untuk ‘mengenakan’ mereka walaupun hakikatnya tiada pun.

Walau niat kebanyakan kita sekadar bergurau dengan kawan-kawan tapi hakikatnya ia sebenarnya tetap menipu. Inilah juga antara perkara haram yang selalu kita ambil mudah.

Begitu juga dengan perbuatan menceritakan semua perkara yang kita dengar tanpa menyelidik kebenaran cerita tersebut. Tanpa sedar ada perkara tak benar yang telah kita ceritakan. Ini juga termasuk dalam dusta atau menipu.

Perkara ini dijelaskan oleh Dr Kamilin Jamilin yang juga  Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis.

“Antara perkara haram yang orang ramai selalu ambil mudah, bahkan ia termasuk dalam kalangan dosa besar adalah menipu untuk buat orang tertawa atau sekadar bergurau.

“Antara yang membawa ke arah berdusta juga, iaitu kita menceritakan semua yang kita dengar tanpa kita semak kebenarannya.

“Sebabnya kita mungkin dengar cerita yang betul dan tak betul. Tapi kita cerita semua yang kita dengar maka pastinya ada benda yang kita cerita itu tak betul. Dan itu juga termasuk dalam dusta,”jelasnya.

Tambah beliau Nabi SAW berpesan dalam hadis Bahz bin Hakim RA seperti dalam Riwayat Abu Daud dan al Tirmidzi;

“Celakah orang yang menipu untuk buat orang ketawa. Celakalah dia! Celakalah dia!”

Baginda juga bersabda;

“Cukuplah seseorang itu mendapat dosa dusta bila dia menceritakan semua yang didengar.” Hadis Riwayat Muslim.

Dr Kamilin turut menceritakan satu kisah yang disebut dalam hadis oleh Abdullah bin Amir RA.

Dia berkata; “Masa aku kecil dulu ibuku pernah memanggil aku, waktu itu Rasulullah SAW ada di rumah kami.

Ibuku memanggilku; “Mari sini ibu mahu memberimu sesuatu.”

Rasulullah SAW pun bertanya kepada ibuku “Apa yang kamu mahu berikan kepada anakmu?

Ibuku menjawab; “Aku ingin memberikannya kurma”

Rasulullah SAW pun berkata kepada ibuku; “Ingat jika kamu tidak memberinya apa-apa kamu akan mendapat dosa menipu!” Hadis sahih Riwayat Abu Dawud.

Seharusnya kita hendakkah berhati-hati dalam tutur kata meskipun dalam bergurau. Jangan kerana ingin membuat orang tertawa atau mahu orang mendengar cerita kita, maka kita telah membuat dosa besar.

Sumber: Dr Kamilin Jamilin

 

Published by
Team Kashoorga