Satu petisen yang mahukan selebriti Neelofa di penjara yang dilancarkan semalam mendapat respon luar biasa dari masyarakat.
Menerusi laman web change.org, seorang individu yang menggunakan nama Hentikan Double Standard mendakwa selebriti berusia 32 tahun itu berulang kali melanggar SOP dengan menyenaraikan beberapa kesalahan dan menuntut tindakan wajar dikenakan.
Petisyen bertajuk Langgar SOP: PDRM, Penjarakan Neelofa Segera itu membuatkan netizen bersatu hati apabila sejumlah tandatangan diterima sejak semalam.
“Neelofa adalah seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.
“Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang ‘double standard’ (pilih kasih) dikenakan terhadap beliau,” tulis keterangan pada petisyen berkenaan dan ia telah ditandatangani oleh hampir 20,000 orang.
Antara kesalahan yang disenaraikan dalam petisyen itu adalah majlis perkahwinannya di ibu negara; rentas negeri ke Langkawi, Kedah; rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan dan terbaharu tular video Neelofa dan ahli keluarga melanggar SOP sambutan Aidilfitri lalu. (sumber Harian Metro).
Di sebalik dakwaan dan petisen ini, sebagai rakyat berada di bawah arahan pemerintah, agama telah mengajarkan kita agar taat kepada pemerintah seperti dituntut oleh syarak.
Dalam satu perkongsian dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dinyatakan kepada kita perlu taat pada ulul amri.
Mentaati pemerintah merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh syarak. Banyak nas baik dari Al-Quran mahupun Al-Sunnah yang jelas menunjukkan kepada perkara ini. Antaranya adalah firman Allah S.W.T :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya : Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu. Surah Al-Nisa’ (59)
Sebahagian ulama tafsir dalam kupasan mereka terhadap ayat di atas ini menyatakan bahawa ketaatan kepada ulil amri hanyalah terikat dengan ketaatan mereka kepada Allah S.W.T serta Rasul-Nya S.A.W. Justeru, ketaatan kepada arahan para pemerintah adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang makruf sahaja. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya : Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut). Riwayat Al-Bukhari (2955)
Oleh yang demikian, sekiranya sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah itu merupakan suatu kemakrufan, kebaikan, serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan tersebut disukai oleh kita atau tidak, namun sekiranya ia bukan maksiat maka wajib hukumnya arahan tersebut untuk dipatuhi. Ini bertepatan dengan kaedah fekah yang masyhur :
تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya : Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.
Syaikh Syihabuddin Al-Qasthallani dalam syarahan beliau ke atas hadis Ibn Umar tersebut menyatakan : ‘’Ketaatan terhadap arahan-arahan mereka (pemerintah) adalah wajib, dan ini meliputi para pemerintah umat Islam sama ada di zaman Rasulullah S.A.W dan juga selepas baginda selama mana suruhan tersebut bukan terhadap perkara maksiat’’. Rujuk Irsyad al-Sari li Syarh al-Bukhari, Al-Qasthallani (5/119).
Mentaati arahan pemerintah adalah wajib. Arahan yang tidak wajib adalah sekiranya ia sesuatu yang haram. Sebagai contoh, sekiranya pemerintah mengarahkan untuk meninggalkan solat, maka ini adalah arahan yang haram dipatuhi.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
وَإِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ
Maksudnya : Mengalihkan sesuatu yang menyakiti dari jalanan adalah sedekah. Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (422)
Maka sebarang usaha untuk mengelakkan sebarang kesakitan dan gangguan penyakit berjangkit kepada umat Islam juga turut termasuk dalam perbuatan sedekah.
Demikian juga kaedah fekah yang menyebut :
دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَولَى مِن جَلب المصَالِح
Maksudnya : Menolah mafsadah (keburukan) adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan.
Justeru, arahan yang dikeluarkan adalah bersifat menolak sedaya mungkin faktor-faktor yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar meskipun terpaksa mengenepikan beberapa maslahah-maslahah yang tertentu.
Perlu juga ditambah bahawa ulil amri itu meliputi para umara serta para ulama’. Maka jika kedua-dua pihak ini telah bersetuju dengan sesuatu arahan yang padanya kebaikan kepada masyarakat, maka adalah wajib untuk diikuti arahan yang telah dikeluarkan tersebut. Wallahu A’lam.
.