“Menumpang Tuah Anak Syurga Untuk ‘Diheret’ Sama Ke Syurga,” Perkongsian Lelaki Ini Meruntun Jiwa

Share

Salam takziah buat kak Noor Fadzilah Razak atas pemergian anak syurga beliau, kakak Iman.

Tahun 2018 adalah yang cukup menguji beliau sekeluarga. Baru sahaja kehilangan Bonda tercinta beberapa bulan lepas, hari ini anak syurga beliau pergi buat selama-lamanya.

Anak ini, aku terasa sungguh rapat dan dekat. Banyak kali aku menziarahi mereka dan menghulur bantuan dari Dana Kita.

Salam takziah kak. Tabah dan terus kuat ya!

Kakak Iman ini tempatnya dijamin syurga oleh Allah taala. Jangan risau kak, janji Tuhan janji yang takkan pernah dimungkiri.

Di harap segala ketabahan akak, setiap belaian kasih sayang, setiap kasih yang dicurah itu menjadi asbab akak dan keluarga ditarik tangan oleh Kakak Iman untuk ke syurga juga.

TAK BOLEH ZIARAH KAKAK IMAN LAGI

“Kakak Iman. Cikgu tak boleh ziarah kakak lagi tau. Cikgu tak boleh kucup dahi kakak Iman lagi ya. Cikgu tak boleh urut-urut tangan dan kaki kakak Iman lagi dah lepas pada ini.

Cikgu akan merindui setiap keletah kakak Iman. Cikgu sangat berharap, hubungan kita tidak sekadar di dunia. Kakak Iman beruntung, kakak Iman dah di janji syurga oleh Allah taala.

Jika banyaknya dosa cikgu sehingga berat mizan cikgu ke kiri, kakak Iman tarik tangan cikgu sama ya masuk dalam syurga.

Moga setiap ihsan, kasih dan belaian cikgu itu kakak Iman ingati dan menjadi asbab Tuhan kurniakan syurga juga buat cikgu.

Kakak Iman tunggu cikgu ya! Janji tau akan tarik tangan cikgu sama nanti. Nanti kat sana kakak Iman dah tak sakit. Nanti kita main sama-sama ya!

HANGAT TANGANNYA MASIH TERASA

Gambar ini diambil 3 minggu lepas masa aku ziarah Kakak Iman untuk sampaikan sedikit barang dapur dan sumbangan buat keluarganya.

Hangat tangannya masih aku terasa.

Malam ini, aku pergi lagi. Tiada lagi Kakak Iman setia menunggu aku di atas katilnya. Yang ada, cuma katil tidak berpenghuni.

Aku tidak boleh merenung katil ini lama-lama. Sebak menyerang dada. Sebelum ada hujan di wajah, aku cepat-cepat alihkan pandangan ke tempat lain.

Ibunya erat memeluk bantal yang sebelum ini digunakan oleh Kakak Iman setiap hari. Dipeluk erat, dicium acap. Kerinduan itu sungguh sarat!

Kakak Iman pergi 5 hari lepas. Perginya sungguh indah. Hanya di dalam tidur sahaja.

Aku di Sabah saat menerima berita duka ini. Terus sebak datang menyerang dada mengenangkan anak ini yang sering aku ziarahi.

Tangannya selalu aku pegang, kepalanya selalu aku usap, dan dahinya akan aku kucup sebelum beredar.

Semua itu kini tinggal kenangan dan memori yang dalam.

SENTIASA BERSIH DAN WANGI

Setiap kali aku singgah berziarah, badan kakak Iman sentiasa bersih dan wangi. Dipakaikan bedak, dimandikan dan dijaga dengan penuh teliti oleh ibunya.

Kasih ibu ayahnya pada anak ini tidak tergambar kata-kata. Hari raya, kakak Iman turut berbaju baru. Sambutan hari lahir, ada kek dan lilin untuk meraikannya.

Walau kakak Iman tidak pandai meniup api itu, walau kakak Iman tidak pandai berkata-kata, namun dia dijaga dengan penuh rasa cinta.

Dalam sebak, hikmah Tuhan itu jelas tergambar. Anak ini pergi dengan damai dan tenang. Sudah sampai masanya Tuhan panggil kakak Iman pulang.

Andai kata umurnya panjang sehingga 20-30 tahun lagi, dan ibu ayahnya yang dijemput dahulu, siapa akan menjaga Kakak Iman seperti mana ibu dan ayahnya menjaga penuh rasa cinta?

Takkan sama jagaan orang lain berbanding jaga ibu bapa kandung yang sarat dengan kasih dan sayang. Percaturan Tuhan itu kena dan sempurna. Yakinlah kak Ila, abang Azmi dan anak-anak.

Kakak Iman sedang menunggu kita di syurga sana. Menunggu untuk menarik tangan kita bersama.

‘HERET’ CIKGU BERSAMA KE SYURGA

Nanti kakak Iman tolong tarik tangan cikgu sama ya. Cikgu banyak dosa. Tidak seperti kakak Iman yang terpilih terus tanpa hisab untuk ke syurga penuh nikmat.

Jika ada sedikit kasih cikgu yang Kakak Iman pernah rasai, pulangkanlah kembali dengan menanti cikgu di alam sana.

Kat sana Kakak Iman boleh berjalan, bermain, bercakap dan berlari. Sama macam anak-anak lain yang sihat dan sempurna.

Larilah ke arah cikgu laju-laju. Heretlah tangan cikgu kuat-kuat untuk menyertai kakak Iman di syurga abadi.

Janji ya!

Sumber kredit: FB: Mohd Fadli Salleh

Published by
wan erni