Kerohanian

Mereka Tidak Disoal Munkar Nakir Di Alam Barzakh, Ustaz Ahmad Dusuki Kongsikan 7 Golongan Istimewa Ini

Share

Hidup itu pasti. Tidak mengira usia, tua atau muda, setiap manusia pasti akan melalui alam kematian yang memutuskan semua perhubungan dengan orang-orang dikasihinya di dunia ini.

Bahkan selepas melalui kematian, manusia akan melalui alam kubur yang disebut juga sebagai alam barzakh yang sangat panjang masanya sehingga tibanya hari kiamat di mana manusia akan dibangkitkan semula.

Namun di alam barzakh ada tujuh golongan yang terselamat dari  di soal oleh Malaikat Munkar dan Nakir. Doakan agar kita termasuk dalam tujuh golongan ini.

1) Golongan pertama yang beroleh kelebihan itu ialah mereka yang berjaga-jaga terhadap musuh.

Riwayat daripada Salman, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang hidupnya berjaga-jaga terhadap musuh di barisan hadapan (perbatasan) iaitu mereka yang berjuang di jalan Allah (askar-askar). Mereka yang berjaga sepanjang malam itu, orang ini lebih baik daripada dia berpuasa sebulan”.

Pekerjaan sebagai polis, pegawai keselamatan, tentera dan lain-lain yang menjaga keselamatan orang lain daripada pihak musuh atau bahaya dengan niat kerana Allah, amat beruntung kerana berpeluang untuk beroleh keistimewaan ini. Rasulullah juga berkata, jika mereka ini meninggal dunia, segala amalan-amalan dan pahalanya akan datang padanya, dan Allah akan memberinya rezeki terselamat daripada fitnah kubur.

2) Mati syahid di jalan Allah.

Menurut Rasulullah mereka yang mati syahid ini ada enam keistimewaan yang dikurniakan Allah kepadanya iaitu dosanya diampuni bermula daripada saat darahnya menitis ke bumi. Orang yang mati syahid ketika berjuang di jalan Allah ialah syahid dunia dan akhirat.

Kini kita berpeluang untuk beroleh syahid akhirat iaitu bagi mereka yang mati di dalam perjalanan untuk menuntut ilmu, ibu-ibu yang mati ketika dalam proses melahirkan, mereka yang mati lemas di dalam air atau mereka yang mati ketika sedang mencari rezeki yang halal.

Keistimewaan kedua yang dikurniakan kepada mereka yang mati syahid ialah diperlihatkan kepadanya tempatnya disyurga. Seterusnya mereka akan diselamatkan daripada azab kubur, terselamat daripada gelombang yang dahsyat ketika tiba hari kiamat, diberi mahkota kehormatan daripada batu yang paling baik di dunia serta isinya dan dikahwinkan dengan 72 bidadari serta dapat memberi syafaat kepada 70 orang di kalangan ahli keluarganya yang berada di dalam neraka untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Setiap yang hidup pasti akan mati. Selepas melalui alam dunia, manusia akan melalui alam kubur yang amat panjang masanya.

3) Meninggal sakit tenat.

Kata Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani lagi berdasarkan hadis dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa sahaja yang meninggal dunia di dalam keadaan sakit tenat, bererti dia meninggal di dalam keadaan mati syahid.

Dia akan terselamat daripada fitnah kubur serta dibawakan rezeki daripada syurga pada pagi dan petang.” Imam Qurtubi menyifatkan hadis ini bersifat umum, tetapi ia kemudian dikhususkan kepada mereka meninggal dunia akibat sakit tenat yang di akibat penyakit di dalam perut (seperti kanser) (Riwayat Ibn Majah & Al-Baihaqi).

4) Sudah membaca Al-Mulk.

Ibn Abbas RA menceritakan ada seorang sahabat Rasulullah SAW yang sedang berjalan, tiba-tiba dia melihat tanah yang lapang dan mendirikan khemah di situ. Rupa-rupanya khemahnya itu terletak di atas tanah kubur. Ketika berada di situ, dia terdengar seseorang sedang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam.

Lalu dia bertanya kepada Rasulullah tentang peristiwa yang telah dialaminya. Baginda menjawab: “Itulah surah yang menghalang dan menyelamatkan dia daripada azab kubur”. Barang siapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka ia akan membela orang yang membacanya daripada siksa kubur (Riwayat Imam Tarmizi).

Ada riwayat yang menyatakan bukan hanya surah Al-Mulk yang wajar dijadikan amalan, begitu juga dengan surah Al-Kahfi dan surah Al-Baqarah.

5) Rajin amalkan surah As-Sajdah.

Melalui riwayat Siwar Ibn Saad, Abu Ishaq yang diterima daripada al-Barraq, sesiapa yang membaca alif lam mim dan taba rakallazi biya dihil mulk di dalam surah as-Sajdah sebelum tidur, dia akan terselamat daripada azab kubur dan terlindung daripada dua penguji kubur (Mungkar & Nakir).

6) Meninggal dunia pada malam Jumaat atau hari Jumaat.

Ibn Umar menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang muslim yang meninggal pada hari Jumaat ataupun malam Jumaat, melainkan Allah akan melindunginya daripada fitnah kubur padanya”.

Secara lebih lanjut, Al Hakim juga menuturkan, sesiapa sahaja yang meninggal pada hari Jumaat akan tersingkap tabir yang menutupi apa yang menjadi miliknya di sisi Allah, kerana pada hari Jumaat neraka Jahannam tidak dinyalakan untuk orang mukmin.

Semua pintu neraka ditutup kepada orang muslim dan para penguasa di neraka tidak bekerja sebagaimana pada hari-hari lain. Jika Allah mencabut nyawa seorang hamba yang taat mengabdikan diri pada hari Jumaat, yang demikian itu merupakan tanda kebahagiaan dan kebaikan tempat kembali pada dirinya.

7) Para siddiqun atau siddiqin iaitu para sahabat Rasulullah dan mereka yang benar-benar beriman kepada ajaran agama walaupun tidak pernah bertemu dengan Baginda.

Al-Hakim menegaskan bahawa para siddiqin tidak akan disoal di dalam kubur kerana di dalam doa yang dijadikan amalan membuktikan orang yang telah diberi nikmat oleh Allah dikalangan nabi, para siddiqin, para syuhada dan mereka yang salih.

Mudah-mudahan kita tergolong di antara ketujuh-tujuh kalangan mereka yang terselamat di alam kubur kelak.

Sumber : Ustaz Ahmad Dusuki/ IKIM

Published by
almaswa Haji Che Ros