
Rupanya senang sangat nak set Tabung Haji (TH) kat ATM Maybank. Mudah dan praktikal.
Sebelum ni rasa lecehhnye la hai kalau each time nak deposit duit ke TH kena pi bank. Kalau ada anak berderet nak follow, kau rasa?
Lepas ni boleh direct transfer ke tabung haji guna maybank2u je. Nak set akaun Tabung Haji untuk anak sekali pun boleh. Dah jom tengok step kat bawah.
Tapi sebelum tu tolong ambil gambar muka surat buku akaun TH yang ada no akaun dan no siri tu tau! (Kalau buku baru, no siri tu kat belakanggg sekali)
#1 Masukkan kad atm
Mesti bawa kad atm maybank. Tu macam kunci rumah. Takde kunci macam mana nak masuk rumah kannn. Pastu picit la password mcm biasa.
#2 Cari menu Tabung Haji (TH)
Paling bawah. Belah kiri. Senang je jumpa kan?
#3 Pastu cari menu Daftar TH ke Kad ATM
Paling atas. Belah kanan.
#4 Masukkan no akaun TH
Uuuuui panjang nombor dia. Ada 15 digit semuanya. Kalau tersilap, kau taip la balik.
#5 Masukkan no siri buku akaun
Tengok kat hujung sudut buku tu. Belah kanan. Ha, yang tu la.
#6 Pastu SAH kan.
Klik je Ya.
Dah tu je. settle.
Nota: Tolong share kat mak-mak yang paling susah nak pi bank bila anak dah berderet. Online kan hado.
Moga perkongsian ini memudahkan kita semua membuat simpanan di akaun Tabung Haji.
Sumber kredit: FB: Athirah Sharif
https://www.youtube.com/watch?v=2GUkdRmPYJE
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Penting Jemaah Umrah Kena Tahu, Pakej Umrah Paling Murah Di Malaysia RM4900

Allahuakbar. Sedihnya bila hajat hendak menjejakkan kaki ke Baitullah tidak kesampaian. Sudah bertahun-tahun menanam impian dan mengumpul duit akhirnya kecundang. Sudah acapkali kita mendengar berita tentang jemaah umrah yang ditipu. Paling sedih apabila penipuan tersebut melibatkan golongan tua yang tentunya bukanlah orang berada.
Berikut perkongsian Najmi Farisham tentang sindeket yang mengambil kesempatan ke atas bakal-bakal jemaah umrah. Moga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua.
Hampir setiap tahun kita dengar berita dan kes penipuan sindiket umrah. Melibatkan orang bisnes dan juga golongan agama. Mangsanya bukan sedikit dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan, memang itu target yang mudah mengena.
Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, sejak 2012 hingga Oktober 2017, seramai 3,714 umat Islam di negara kita menjadi mangsa penipuan sebegini. Dan dianggarkan sebanyak RM30.8 juta kerugian dilaporkan kepada pihak polis dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Kesian jugalah kita yang membaca beritanya. Dah bergadai habis tanah pusaka, intan berlian untuk mencapai hajat ke Tanah Suci. Sampai ada yang siap membuat pinjaman lagi. Kenduri dan solat hajat dah dibuat. Alih-alih sangkut di KLIA, katanya tiket belum beli lagi, urusan visa juga langsung tak dibuat. Petugas agensi travel lesap hilang tanpa khabar berita.
TAWAR HARGA RENDAH DARIPADA BIASA
Ada juga yang tawarkan harga rendah. Kita ini punyalah teruja, katanya rezeki. Alih-alih nak terbang dari KLIA, kena kutip lagi seribu. Tiba di Madinah, tak dapat kunci bilik hotel melainkan buat bayaran lagi seribu. Nak keluar ziarah tempat bersejarah, kena tambah lagi 200 riyal. Dah kalau begitu, murah tang mana woih? Kesianlah dekat makcik pakcik ini. Namun itulah, umpan sudah mengena.
Untuk pengetahuan semua, kita di Malaysia ada satu badan khas di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama beberapa institusi lain yang mengawal selia urusan agensi pengelola umrah. Ia dikenali dengan nama Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).
Mereka telah menetapkan bahawa harga pakej umrah yang paling murah di Malaysia adalah RM4900. Tidak kurang dari itu. Oleh itu, jika terserempak dengan mana-mana pakej yang menawarkan bawah pada itu, mesti ada ‘udang di sebalik batu.’ Begitulah bahasa lembutnya.
Selain itu, agensi travel yang menguruskan umrah juga mestilah didaftarkan di bawah kementerian ini. Ada syarat-syaratnya yang harus pihak agensi patuhi. Kiranya lagi meyakinkan para jemaah untuk berurusan. Jika ada apa-apa masalah, kita sudah ada saluran yang betul untuk dipanjangkan.
Kalian boleh semaknya di sini ya:
1. Syarikat yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) berstatus Muasassah:
http://www.motac.gov.my/semakan/umrah
2. Syarikat yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) berstatus bukan Muasassah:
http://www.motac.gov.my/semakan/umrah-sub
Penting jugalah status agensi yang berdaftar ini. Kalau kena tipu sekalipun, paling kurang kementerian ada segala maklumat berkenaannya. Memudahkan urusan nanti. Jika sebaliknya, susah-susah. Moga dijauhkan dari anak cucu kita.
Oleh itu, berlaku bijaklah dalam memilih agensi travel untuk menguruskan gerak kerja umrah kita dari Malaysia sehingga selesai semuanya. Moga dipermudahkan segalanya.
Sumber kredit: FB: Najmi Farisham
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Catatan Kembara ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ Kongsi Pengalaman Pernah ‘Diserbu’ Di India

Kembara tiga orang sahabat dari Kelantan dengan menunggang motosikal untuk menunaikan umrah akhirnya tercapai. Trio penunggang ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ selamat tiba di Madinah pada 19 Januari 2019 dalam usaha melengkapkan misi mereka ke Tanah Suci Makkah.
Diami Yusoff,58 bersama dua rakannya, Mohd Zalani Zulkifli,64 dan Mohamad Fadhli Ab.Rashid,40 ahli grup ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ memilih ke Makkah dengan menaiki motosikal di bawah kuasa 150 cc.
Rancangan perjalanan ini telah dirancang kira-kira setahun yang lalu. Gi Mekoh Nga Mutor memulakan perjalanan November tahun lalu dengan merentas lapan buah negara dengan jarak perjalanan sejauh 14,000 kilometer.
Berikut catatan perjalanan ketiga-tiga sahabat ini seperti yang ditulis oleh Najmi Farisham di dalam Facebooknya. Najmi Farisham telah bertemu dengan ketiga-tiga sahabat ini dan mereka berkongis pengalaman kembara paling indah dalam ini.
Tular berkenaan 3 orang lelaki dari Kelantan merancang ke Tanah Suci Mekah dengan cuma menunggang motosikal kapcai. Berita ini bukan hanya meniti di bibir-bibir orang kita sahaja, bahkan turut mendapat perhatian dada-dada akhbar negara jiran. Sangat mencuri tumpuan.
Perjalanan mereka bermula 3 November 2018 dari Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Setelah dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Kelantan, mereka bertolak ke Thailand diiringi konvoi rakan bikers sejauh 600 kilometer.

Dengan hanya menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, mereka merentasi 6 buah negara seperti Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Arab Saudi. Kira-kira 8 buah negara semuanya dengan jarak sejauh 14,000 kilometer lebih. Fuh, sangat jauh woih. Mereka membuat jangkaan memakan masa selama 60 hari.
TERSADAI DI DUBAI SELAMA DUA MINGGU
Namun rintangan sentiasa ada walaupun rancangan sudah diperkemas. Bak kata pak imam ketika kuliah maghrib, “Kita merancang, Allah juga merancang. Dan semestinya perancangan Tuhanlah yang terbaik.” Ada sesetengah kawasan yang mereka lalui tersangatlah teruk sehingga mengganggu perjalanan.
“Bayangkan jalan raya sepanjang 40 kilometer, kami terpaksa redah selama 8 jam. Fuh!” ujar salah seorang daripada mereka ketika kami makan bersama.
Mereka juga tersadai di sempadan Dubai selama 2 minggu bagi menunggu keputusan visa untuk membolehkan menunggang masuk ke Arab Saudi. Kalau tak memang kena patah balik ke Malaysia dan masuk melalui kapal terbanglah jawabnya. Begitulah yang dilalui oleh kebanyakan konvoi sebelum ini.

Akhirnya pada hari ke-80, mereka berjaya sampai ke Bumi Madinah. Terus ke Masjid Quba untuk tunaikan solat dan menyantap hilangkan rasa lapar. Selesai saja, mereka langsung ke Masjid Nabawi. Seterusnya check-in hotel yang berdekatan untuk rehatkan diri.
MULANYA AJAK-AJAK AYAM
“Macam mana abang boleh terfikir nak datang ke mari dengan motosikal?” soal aku.
“Asalnya kami duk main ajak-ajak ayam ja. Lama-kelamaan semua pakat bersungguh-sungguh nak buat. Jadi kita rancanglah, setahun juga ambil masa. Kita memang dah main motor di Kelantan. Terdetik dalam hati nak datang ke Mekah ini dengan apa yang kita minat, hobi kita,” jawab Abe Li sambil meneguk teh adunan orang Yaman.
Mereka ada cerita betapa banyaknya cabaran dan dugaan sepanjang 80 hari perjalanan. Motor rosak, terbalik, eksiden. Kena redah ribut pasir di padang sahara. Sampaikan pernah sekali mereka terpaksa tidur dalam balai polis ketika di Pakistan.
“Namun syukur, Allah tolong kami. Saat tengah susah, ada masyarakat sekitar yang datang hulurkan bantuan. Hulurkan lampu spotlight masa nak baiki motosikal di malam hari. Ada yang jemput ke rumah untuk tidur rehatkan badan. Ada yang hulurkan air dan makanan untuk disantap. Padahal berlainan agama, bahasa pertuturan dan budaya,” sambung Abe Mat di hujung meja sana.
MOTOSIKAL ROSAK DI TEPI JALAN
“Pernah sekali masa dah masuk Arab Saudi, motosikal kami rosak di tepi jalan. Tengah nak baiki, terdetiklah dalam hati yang hari ini tak makan apa lagi. Minum kopi Radix ja awal pagi.
Tiba-tiba datang sebuah kereta parkir sebelah kami. Keluar seorang Arab bersama karpet. Dihamparnya di tanah, disusunnya beberapa bantal dan meja. Dikeluarkannya seteko teh dan kopi Arab bersama kurma. Lalu pak Arab itu ajak kami makan sekali. Allahu Akbar, betul-betul Tuhan dengar rintihan kita…”
Belum sempat Abe Li habiskan ceritanya, Abe Lani segera menyampuk dengan mimik muka, “Rupanya pak Arab itu bergaduh dengan bini. Hihihi.”
Kami semua ketawa. Syukurlah Tuhan mudahkan semuanya.
Abe Li duk cerita antara pengalaman menarik ketika di India, mereka baru ja sampai di stesen minyak usang di sebuah kampung. Masa parkir motosikal tak ada orang pun. Tiba-tiba ramai betul rakyat depa keluar dari kedai-kedai di sekitar, berlari menyerbu ke arah mereka bertiga.
Punyalah takut ingatkan ada rusuhan apa dah, nak pukul ke apa kan. Rupanya mereka teruja dengan kedatangan orang asing. Nasib baik tak lari, kalau tak memang tak cukup tanah dah. Kahkah. Sampaikan masa kita tengah jalan pun, mereka masih lagi duk kejar dari belakang.
“Penat tak?” tanya aku spontan. Masih tak dapat nak bayangkan 80 hari perjalanan woih. Kita yang naik kapal terbang 8 jam pun dah sakit-sakit badan.
“Penat memang penat, cuma kita seronok buat. Dalam kepala nak sampai ke Mekah ja. Masa tengok papan tanda Madinah lagi 600 kilometer, lagilah kami bersemangat nak pulas minyak. Lagipun kita tak bawa laju, dalam 90 ja. Malam hari kita tidur, rehat kena cukup. Siang sajalah kami pulun,” balas Abe Li ringkas.
NASI PUTIH LAUK IKAN CICAH BUDU
Sudahlah perjalanan ambil masa 80 hari. Umur mereka bertiga juga buatkan aku termenung sejenak. Abe Li umurnya 40 tahun. Abe Mat, 60 dan Abe Lani 64. Yang Abe Li itu aku fikir okeylah dengan kudrat orang muda lagi. Ini yang sudah masuk 6-series ini woih. Masih gagah perkasa. Haih.
Namun walaupun merentas 7 buah negara, makanan yang paling sedap apabila ditanya adalah, nasi putih lauk ikan cicah budu. Masak sendiri dekat bilik, makan dekat bilik. Fuh. Mereka memang bawa bekal tumis dan alat masak lain. Periuk nasi elektrik pun ada woih, disangkut atas motor.

Pada hari ke-83 perjalanan, barulah mereka bertolak ke Mekah dengan menaiki teksi. Ramai yang ternanti-nanti macam mana rupa mereka menunggang dengan memakai ihram. Mesti jadi sangat rare nanti. Kahkah.
“Haa ikutkan hati, nok gi Mekoh naik motosikal terus, doh 400 kilometer jah lagi. Kito larat lagi. Tapi risau ko ihram lah. Namo kea nya cabut, geger habislah,” kata Abe Li setelah selesai membuat urusan pos motosikal ke Jeddah melalui lori.
Cekal betul mereka ini. Hampir 3 bulan lamanya merentas negara berbeza untuk sampai ke Mekah. Mungkin orang kata, alah naik kapal terbang sajalah mudah. Namun sebenarnya, Tuhan dah aturkan cantik perjalanan ini. Dan mereka telah membawa kelainan yang tersendiri.
“Habis tu nanti balik Malaysia naik motosikal juga ke?” tanya aku sebelum kami meninggalkan kedai.
“Eh tak dah. Balik dengan kapal terbanglah, kang nak sampai rumah makan masa 80 hari lagi. Sebab itu page kami namanya GI MEKOH NGA MUTOR ja. Bukannya Gi Balik Mekoh Nga Mutor. Haha,” balas Abe Li sambil ketawa.
Teringat kata-kata Abe Lani yang akan aku pegang, “Pengalame ni kito keno cari. Buke dio hok mari sendiri.”
Sumber kredit: FB: Najmi Farisham
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tujuh Persiapan Rohani Sebelum Pergi Umrah Antaranya ‘Jaga Mulut’

Tanah Suci Makkah adalah tempat yang memperlihatkan peribadi yang sebenar. Sebelum menjadi tetamu Allah, hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat dihati.
Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, panas baran, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.
Melalui satu perkongsian di Facebooknya, Hairolnizam Mat Erol berkongsi persediaan-persediaan rohani yang perlu dilakukan sebelum menjadi tetamu Allah.
Di sini saya ingin kongsikan persediaan-persediaan rohani untuk bakal-bakal tetamu Allah. Mungkin anda juga seperti saya yang masih merasakan diri dan jiwa masih jauh dari Allah dan Rasulullah SAW beberapa bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Apa yang saya dapat dan praktikkan ini adalah daripada tips-tip daripada sahabat-sahabat yang telah menjadi tetamu di Baitullah.
Insya Allah… semoga bermanfaat.
1. Perbaiki Kualiti Solat & Mencintai Masjid
Mulai dengan jaga solat 5 waktu dan kerap hadir ke masjid. Latih diri solat awal waktu, berjemaah dengan hadir ke masjid atau surau. Boleh berlatih dengan mulakan dengan berjemaah Maghrib dan Isyak dahulu (balik kerja) kemudian upgrade kepada Zohor dan Asar berjemaah (jika ada peluang) serta Subuh berjemaah (ini yang paling mencabar).
2. Biasakan Solat-solat Sunat & Berdoa
Mulakan berlatih perbanyakkan solat-solat sunat Qobliyah dan Baa’diyah.
Juga biasakan solat Taubat, Dhuha, solat hajat dan solat Tahajjud jika mampu. Juga biasakan diri banyak berdoa dengan yakin di antara azan dan iqamah serta selepas solat.
Apabila kita berada di Madinah dan Mekah nanti, perkara utama dan yang paling banyak untuk kita lakukan ialah berulang-alik ke masjid untuk solat 5 waktu. Di sanalah nanti peluang untuk kita merebut ganjaran pahala 1,000 kali ganda solat di Masjidil Nabawi dan 100,000 kali ganda di Masjidil Haram.
Apabila sudah biasa dengan amalan solat awal waktu dan solat-solat sunat, insyaAllah, ia menjadi perkara yang paling dekat dan paling dicintai di hati kita untuk bangun awal sebelum Subuh, dan diikuti datang awal ke Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram setiap kali masuk waktu solat dan melakukan solat-solat sunat serta berdoa mohon kebaikan daripada Allah.
3. Belajar Bersabar Dan Reda
Mulakan berlatih bersabar dan reda dengan setiap apa yang berlaku dalam aktiviti harian kita. Didik hati bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah, merupakan ujian dari Allah dan Rasulullah SAW pun menyuruh kita menjadi orang yang sabar dan menahan kemarahan.
Apabila hati dah mula biasa bersabar, insyaAllah, bila sampai di Tanah Suci nanti, segala macam dugaan seperti kelewatan imigresen, masalah hotel, masalah makanan, masalah bas atau sikap-sikap jemaah lain serta kerenah pasangan pun dapat kita hadapi dengan baik.
4. Belajar Jaga Tutur Kata
Mulakan latih diri bercakap perkara yang baik-baik sahaja sama ada dalam perbualan atau media sosial. Elakkan bercakap hal-hal buruk, hal orang lain atau bergurau menyebut seolah-olah akan jadi perkara tidak elok seperti “Jauh berjalan macam ni, boleh patah kaki…!”
Setiap tutur kita adalah doa. Dan di Tanah Haram, insyaAllah… akan dimakbulkan segera apa yang kita tuturkan atau detikkan dalam hati sama ada yang baik atau yang buruk.
Apabila sudah biasa mendidik lidah kita, insyaAllah, hanya perkataaan-perkataan baik sahaja yang akan keluar dalam bicara kita di sana.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2673419746009025&set=pb.100000230771213.-2207520000.1547698410.&type=3&theater
5. Belajar Berbaik Sangka
Didik hati untuk berbaik sangka dengan orang lain terutamanya dengan orang minta derma, minta sedekah atau mohon bantuan.
Di Tanah Haram nanti kita akan bertemu dengan macam-macam peminta sedekah. Bila hati sudah dididik berbaik sangka, jika kita menolak untuk tidak memberi sedekah pun, kita akan tolak dengan baik dan dengan senyuman.
6. Banyakkan Membaca Sirah Nabi dan Berselawat
Timbulkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan banyak membaca sirah-sirah nabi, kisah-kisah pengorbanan nabi berdakwah menyebarkan agama Islam.
Di Masjidil Nabawi nanti, itulah peluang terbaik kita untuk berziarah makam Rasulullah SAW setiap hari selepas solat dan memberi salam kepada baginda Rasulullah SAW.
Apabila hati sudah ditanam dengan kecintaan yang tinggi kepada baginda, insyaAllah…akan menitis air mata bila berziarah ke makam baginda.
7. Rendahkan Hati, Rasa Diri Banyak Dosa
Kedatangan kita ke Baitullah adalah atas jemputan Allah. Kita ini hamba yang banyak berdosa. Namun atas kasih sayang Allah, kita masih dijemputnya untuk ke sana.
Inilah peluang terbaik kita bertawaf depan Kaabah, solat taubat, solat sunat dan mohon keampunan kepada Allah, banyakkan berdoa, membersihkan diri menjadi hambaNya dan umat nabi Muhammad yang lebih baik.
Semoga persiapan rohani kita dari awal sebelum berangkat ke Tanah Suci akan menjadikan kita benar-benar hamba-Nya yang berserah sepenuhnya kepada Allah sepanjang berada di Tanah Suci.
Tiada lain yang kita harapkan, hanyalah umrah yang mabrur serta dapat kita istiqamah dalam perkara ibadah-ibadah dan akhlak baik kita apabila kembali ke tanah air, insyaAllah…
Dan kepada sahabat-sahabat yang masih belum berpeluang ke sana, lakukanlah juga persiapan rohani seperti di atas.
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, amalan dan istiqamah kita boleh menjadi asbab untuk kita dijemput ke Baitullah. Sesungguhnya Allah itu maha kaya. Dia boleh jemput kita dengan pelbagai cara dan jalan yang tidak disangka-sangka.
Sumber kredit: FB: Hairolnizam Mat Erol via Kenangan Haji & Umrah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI