Manusia sering terkesima dengan harta dunia. Tidak hairanlah di media sosial kita sering melihat betapa ramai yang kagum saat melihat ada individu memiliki wang dan harta yang banyak dan kemudian kita akan memujanya dan mengharapkan satu hari nanti kita juga dikurniakan rezeki sebegitu juga. Jika membaca laporan akhbar pula, banyak kes-kes penipuan dilaporkan di mana mangsa kehilangan wang bukan sedikit malah ada mencecah hingga ratus ribu ringgit selepas membuat pelbagai jenis pelaburan atau terpedaya dengan janji-janji indah love scam yang mahu memberikan kita duit dan hadiah. Terkini, akhbar melaporkan pelabur matawang kripto kerugian RM191 juta selepas membuat pelaburan.
Sudah jelas, manusia sering melihat harta kemewahan yang banyak sebagai simbol kebanggaan di dunia. Al-Quran yang diturunkan 1400 tahun dahulu sebagai panduan kehidupan kita agar beruntung di akhirat kelak, sudah menceritakan perihal manusia yang tamak dan kedekut. Ada 11 ayat dari pelbagai surah menceritakan perilaku manusia hari ini.
Dipetik dari say@hafiz, dikongsikan 11 surah yang menceritakan perilaku manusia. Semoga kita terus istiqomah dalam mengejar dunia dan akhirat agar tidak berasa rugi di Padang Masyhar nanti apabila menerima buku catatan di tangan kiri (golongan yang masuk syurga akan menerimanya dari tangan kanan).
1. QS AN NISA:32
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
2. QS AN NISA:128
Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
3. QS AL ISRA:100
Katakanlah: “Kalau seandainya kamu menguasai perbendaharaan-perbendaharaan rahmat Tuhanku, niscaya perbendaharaan itu kamu tahan, karena takut membelanjakannya“. Dan adalah manusia itu sangat kikir.
4. QS AT TAGHABUN:16
Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.
5. QS AL MAARIJ:18
serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya.
6. QS AL MAARIJ:21
dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir,
7. QS AL MUDDATSTSIR:15
kemudian dia ingin sekali supaya Aku menambahnya.
8. QS AL FAJR:19
dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan yang bathil),
9. QS AL FAJR:20
dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.
10. QS AL ADIYAT:8
dan sesungguhnya dia sangat bakhil karena cintanya kepada harta.
11. QS AT TAKATSUR:1
Bermegah-megahan telah melalaikan kamu,
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Isteri Mengidam Perkara Pelik-Pelik, Wajarkah Suami Tunaikan
Situasi biasa bila seorang isteri hamil teringin atau mengidam makan sesuatu. Kalau makanan biasa mungkin tiada masalah tapi ada juga yang mengidam minum alkohol, makan sabun atau teringin hidu minyak petrol.
Jika mengidam perkara begini bagaimana pula, wajarkah suami tunaikan? Berikut adalah penjelasan yang dipetik daripada Mufti Wilayah Persekutuan
Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan
Mengidam merupakan keinginan yang tinggi bagi wanita hamil terhadap makanan. Oleh itu, suami wajib menunaikan apa-apa keinginan isteri hamil (mengidam) terhadap makanan yang menjadi kebiasaannya kerana termasuk dalam konteks nafkah.
Walau bagaimanapun keinginan wanita hamil yang bertunjangkan hawa nafsu semata-mata serta perkara haram adalah dilarang. Hal ini kerana mengidam bukanlah sesuatu darurat yang boleh menghalalkan perkara yang haram. Oleh itu, suami sewajarnya menapis agar setiap kemahuan tersebut tidak menjatuhkan maruah suami serta apa-apa keinginan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Huraian
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Mengidam Semasa Hamil
Mengidam ialah keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung.[1] Namun punca mengidam masih lagi tidak dapat ditemui.
Sementara, dakwaan air liur bayi akan meleleh kerana kemahuan ibunya ketika hamil tidak dipenuhi masih belum dapat dibuktikan secara saintifik. Sementara, sesetengah saintis menyatakan mengidam makanan pelik mahupun melakukan sesuatu yang luar biasa mungkin disebabkan perubahan hormon wanita semasa hamil. [2]
Tanggungjawab Nafkah Suami Bagi Wanita Yang Mengidam Makanan
Fuqaha mazhab Syafi‘i telah membahaskan berkaitan nafkah yang perlu diberikan oleh suami untuk perbelanjaan isteri hamil yang mengidam makanan. Perkara ini disebut dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi:
يَنْبَغِي أَنْ يَجِبَ مَا تَطْلُبُهُ الْمَرْأَةُ عِنْدَ مَا يُسَمَّى بِالْوَحَمِ مِنْ نَحْوِ مَا يُسَمَّى بِالْمُلُوحَةِ إذَا اُعْتِيدَ ذَلِكَ. وَأَنَّهُ حَيْثُ وَجَبَتْ الْفَاكِهَةُ وَالْقَهْوَةُ وَنَحْوُ مَا يُطْلَبُ عِنْدَ الْوَحَمِ، يَكُونُ عَلَى وَجْهِ التَّمْلِيكِ فَلَوْ فَوَّتَهُ اسْتَقَرَّ لَهَا وَلَهَا الْمُطَالَبَةُ بِهِ وَلَوْ اعْتَادَتْ نَحْوَ الْأَفْيُونِ بِحَيْثُ تَخْشَى بِتَرْكِهِ مَحْذُورًا مِنْ تَلَفِ نَفْسٍ وَنَحْوِهِ لَمْ يَلْزَمْ الزَّوْجَ لِأَنَّ هَذَا مِنْ بَابِ التَّدَاوِي
Maksudnya: “ sepatutnya menjadi kewajiban apa -apa yang diinginkan isteri ketika mengalami apa yang disebut mengidam iaitu kemasinan sekiranya menjadi kebiasaan. Begitu juga wajib memberi buah-buahan, kopi dan apa-apa yang diinginkan isteri semasa mengidam yang dinyatakan sebagai nafkah yang bersifat pemilikan (tamlik).
Sekiranya suami lambat menunaikan, maka si isteri berhak menuntutnya agar suami dapat melangsaikan. Jika isteri terbiasa dengan makan candu/dadah dan apabila dikhuatiri meninggalkannya menyebabkan kerosakan fungsi badan, maka suami tidak wajib memenuhi permintaan tersebut kerana ia termasuk dalam bab perbahasan perubatan bukannya nafkah.”[3]
Berdasarkan kenyataan berikut, makanan yang memang menjadi kebiasaan isteri dan apabila isteri mengidam ketika hamil, maka wajib suami tunaikannya. Sebagai contoh apabila isteri suka makan benda-benda masin, maka apabila isteri hamil dan kemudian mengidam ikan masin dan ia termasuk tanggungjawab nafkah suami.
Tambahan lagi, jika makanan yang diidamkan itu memberi khasiat dan nutrien kepada ibu dan anak yang dikandung. Walau bagaimanapun, suami tidak diwajibkan memenuhi keinginan isteri sekiranya makanan yang diidamkan di luar kemampuan suami untuk memenuhinya atau bukan makanan yang biasa dimakan oleh isteri.
Adapun, isteri yang mengidam atau berkehendak sesuatu yang di luar kebiasaan dan ditegah oleh syarak serta tidak memberi sebarang kebaikan kepada isteri mahupun kandungannya seperti mengidam minum arak, makan daging khinzir, memegang badan lelaki ajnabi dan sebagainya, maka suami bertanggungjawab menghalang dan haram memenuhi keinginan tersebut. Perkara ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
Surah al-Nisa’ (34)
Oleh yang demikian, dalam keadaan mengidam, isteri hamil yang mengalami perubahan hormon dan beremosi hendaklah sedaya upaya mengawal keinginan dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata. Suami juga perlu mengambil langkah yang lebih proaktif bagi mengalihkan perhatian dan keinginan tersebut dengan perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak.
Selain itu, pasangan suami isteri juga boleh merujuk ahli perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat serta tip bagi mengawal rasa mengidam selain membantu wanita hamil tersebut agar tidak terlalu melayan perasaan terhadap keinginan yang tidak syarii.
Penutup
i. Suami diharuskan memenuhi permintaan dan keinginan isteri lebih-lebih lagi dalam keadaan isteri yang sedang hamil, selagi mana permintaan isteri tersebut dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak. Hal ini kerana permintaan isteri ketika hamil juga merupakan sebahagian daripada nafkah isteri.
ii. Menjadi kewajipan seorang suami mendidik isteri sekiranya kelakuan melebihi batas syarak atau keinginannya pada sesuatu yang telah diharamkan.
iii. Wanita hamil sepatutnya memperbanyakkan amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT agar dapat mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi saat perit getir bersalin.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
[1] http://www.myhealth.gov.my/mengidam-semasa-mengandung/
الوَحَمُ: شِدَّةُ شَهْوَةِ الحُبْلَى لِمَأْكَلٍ
[2]https://hsaas.upm.edu.my/akhbar/mengidam_petanda_ibu_kurang_zat_perubahan_deria-19402?L=en
[3] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad, Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib :Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib ( Dar al-Fikr, 1995) J4: P89
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kajian Terbaru Dapati COVID-19 Boleh Tersebar Melalui Asap Vape, Ini Hukum Hisap Vape Dari Sudut Agama
Kala ini satu dunia diuji dengan musibah COVID-19. Jumlah jangkitan mencecah jutaan orang dengan kadar kematian yang tinggi. Ia jelas satu angka cukup menakutkan di mana dunia diuji dengan virus ini.
Di saat dunia masih bergelut dengan pandemic ini selain isu vaksin, kajian terbaru dibuat oleh beberapa doktor pakar mendapati penghisap vape yang dijangkiti Covid-19 berupaya menjangkiti individu lain yang sihat melalui hembusan asap vape.
Astro Awani dalam laporan berita berkata, satu kajian terbaharu mendapati pengguna vape yang dijangkiti COVID-19 lebih mudah menyebarkan virus itu kepada orang sekeliling dengan cara hembusan.
Portal Daily Mail UK yang memetik kajian oleh pakar dari Mexico, Itali dan New Zealand dipetik sebagai berkata hembusan asap vape boleh menyebarkan ribuan partikel virus ke arah individu berhampiran.
Ia juga mampu menyebarkan virus COVID-19 sehingga 2 meter jaraknya, melepasi peraturan penjarakan fizikal United Kingdom (UK) iaitu 1 meter.
“Pakar tersebut menggesa pengguna vape agar tidak melakukan aktiviti berkenaan ketika beratur, di perhentian bas, atau mana-mana kawasan awam yang orang ramai mempunyai risiko berada dalam kepulan asap alat berkenaan.
“Mereka berkata walaupun sukar menghentikan aktiviti itu di rumah, tetapi ia sesuatu yang masuk akal untuk melarang penggunaan alat berkenaan di tempat-tempat awam,” menurut portal itu lagi.
Kajian tersebut telah dimuat naik di portal kesihatan MedRxiv, tetapi masih belum dikaji semula dan disahkan oleh saintis lain.
Bagaimanapun kajian Kesihatan Awam Ontario mendapati individu yang menggunakan vape mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap COVID-19.
Menurut kajian mereka, bukti sebelum ini telah menunjukkan kesan negatif vaping ke atas paru-paru, sekali gus meningkatkan risiko pengguna.
Selain itu, kajian tersebut turut menyebut aerosol yang terhasil oleh produk vape boleh menyebabkan penyebaran virus apabila individu itu berada dalam jarak dekat dengan pesakit COVID-19.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah pun mengenal pasti tindakan dari tangan ke mulut melalui penggunaan vape boleh meningkatkan risiko jangkitan.
"Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit British Columbia juga menyarankan agar pengguna vape menjarakkan diri sejauh 2 meter daripada orang lain, selain tidak menggunakan vape di kawasan awam,” menurut laporan itu lagi.
Sementara itu, portal itu turut melaporkan sekumpulan saintis yang memghasilkan model bagaimana virus itu boleh tersebar dalam kepulan asap nipis vape, bagaimana ia masuk ke dalam paru-paru, seterusnya ke mulut, dan dihembuskan semula.
Mereka turut membuat model yang sama menggunakan kepulan asap tebal vape yang meningkatkan risiko sekitar 5 hingga 17 peratus.
Dr Roberto Sussman dari Universidad Nacional Autonoma de Mexicor dalam artikel yang sama berkata bahan kimia dalam asap vape didapati tidak mampu membunuh virus berkenaan.
Berikut adalah penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum hisap vape
Apakah hukum menghisap rokok elektronik dan vapor?
JAWAPAN
Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan masyarakat termasuk daripada kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah alat ini sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj. Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa. Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.
Alhamdulillah, pada tanggal 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape ini adalah haram.
Definisi Rokok Elektrik
Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masa kini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor. Perkataan 'vape' berasal daripada perkataan Inggeris daripada perkataan ‘vaporization’ yang membawa maksud proses pengewapan, dan juga merujuk kepada 'vaporizer' iaitu alat yang digunakan untuk menghisap ganja, tembakau dan campuran rokok lain. Kamus Oxford telah menambah perkataan vape sebagai kata nama baru dalam kamus itu pada Ogos 2014.[1] Kamus tersebut mendefinisikan vape sebagai “an act of inhaling and exhaling the vapour produced by an electronic cigarette or similar device” (perbuatan menyedut dan menghembuskan wap yang dihasilkan oleh rokok elektronik atau peranti yang seumpamanya). Perkataan vape juga boleh merujuk kepada alat peranti elektronik yang digunakan.[2]
Pendapat Pakar
Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :-
- Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok elektronik ini berbeza bergantung kenyataan tertulis pada labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
- Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nikotin dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
- Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “Tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian niklotin. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”. [3]
- Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh American Lung Association (ALA), pihak ALA menyatakan kegusaran mereka terhadap penggunaan rokok elektronik kerana kajian awal telah mendapati bahawa rokok elektronik bukan sahaja mengandungi nikotin bahkan terdapat juga bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti carcinogens [4]. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa rokok elektronik yang menggunakan voltage yang tinggi dan mempunyai kandungan formaldehyde yang tinggi. Formaldehyde juga merupakan bahan kimia yang merbahaya kepada tubuh manusia. [5]
- Pihak FDA (Food and Drug Administration) Amerika Syarikat telah menjalankan uji kaji makmal terhadap kandungan rokok elektronik dan di dalam satu sampel kajian, mereka telah mendapati bahan diethylene glycol iaitu bahan yang digunakan di dalam proses anti-beku dan ianya sangat berbahaya kepada tubuh manusia. [6]
- Menurut Dr. Daniel Lee, Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil dari rokok elektronik adalah dari cecair biasa dan bukannya dari nikotin adalah salah sama sekali. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang mana boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf. Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.
- Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin ketika dihubungi mengatakan proses pengewapan cecair nikotin yang dihasilkan oleh rokok elektronik, akan disedut oleh pengguna, dan wap nikotin ini mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik. Tambah beliau lagi, asid nitrik merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia. Selain itu, cecair nikotin, walaupun sukatannya sedikit, dikhuatiri resapannya ke dalam saluran darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin. [7]
- Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Ashok Zachariah Philip juga berpendapat bahawa rokok elektronik boleh membawa kemudharatan kepada penggunanya. Tambah beliau lagi, kebanyakan bahan kimia yang terkandung di dalam asap rokok kenvesional juga terdapat di dalam rokok elektronik walaupun kadarnya lebih rendah. Beliau juga melalui persatuan menggesa agar Kementerian Kesihatan mempertimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. [8]
- Pakar Bedah Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Khairulfaizi Haron berkata, walaupun peratusan untuk pengguna vape mendapat penyakit tersebut terlalu rendah, mereka perlu berwaspada dan berhati-hati. Beliau juga menegaskan bahawa sangkaan menggunakan rokok elektronik adalah lebih selamat berbanding rokok adalah tidak benar. [9]
- Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahya dalam satu kenyataan mengatakan bahawa di dalam rokok elektronik terdapat nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet. Bahan pengawet inilah yang meningkatkan kemungkinan kanser dalam tubuh badan. [10]
- Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), fenomena penggunaan vape ini bertentangan dengan dasar dan polisi KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan rokok. Ia juga tidak selari dengan perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005. KKM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bagi Mengkai Kesan Rokok Elektronik Dan Shisha Terhadap Kesihatan pada bulan Ogos tahun 2013. Jawatankuasa ini mengambil masa selama setahun empat bulan untuk membuat penetapan kerana ketika itu kurang kajian-kajian saintifik berkaitan rokok elektronik dan vape. Jawatankuasa ini telah meneliti beberapa kertas kajian saintifik dan laporan-laporan terutama daripada WHO FCTC dan International Union Against Tubercolosis and Lung Disease.
- Negara-negara yang telah mengharamkan penjualan peranti alat rokok elektronik mengandungi nikotin ialah:
- Australia
- Belgium
- Canada
- Finland
- Hong Kong
- Japan
- New Zealand
- Norway
- Afrika Selatan
- Negara-negara yang telah mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik dan vape adalah:
- Argentina
- Brazil
- Thailand
- Singapura
- Brunei
- Oman
- Panama
- Jordan
- Mexico
- Qatar
- China Taipei
- Turki
- Emiriah Arab Bersatu
Dalil Pengharaman Perkara yang Memudaratkan
Pertama: Firman Allah Ta`ala:
وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
(Surah al-Baqarah, 2:195)
Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infāq fī sabīlillāh tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh al-Shawkani:
وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ
Maksudnya: “Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Maka setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dala umum ayat ini. Dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.
Rujuk Fathul Qadir (1/222)
Kedua: Firman Allah Ta`ala:
وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا
Maksudnya: Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.
(Surah al-Nisa’, 4:29)
Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. Rujuk Ahkam al-Quran (3/127).
Ketiga: Sabda Rasulullah SAW:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak harus mengenakan kemudaratan (tanpa hak)”
Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)
Hadis ini juga menunjukkan pengharaman melakukan kemudaratan secara umum sehingga nas hadis ini dijadikan salah satu kaedah fiqh.
Keempat: Sabda Nabi SAW:
وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً
Maksudnya: “Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambal meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)
Hadis ini menjadi ancaman balasan neraka dan siksaan yang dahsyat bagi orang yang melakukan tindakan yang membinasakan diri sendiri. Secara umumnya, dalil tersebut mengharamkan segala bentuk tindakan yang membunuh dirinya.
Hukum
Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah HARAM. Ini kerana seperti yang kami‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:
- Qiyas kepada rokok sebenar. [11] Antaranya:
- Memudaratkan agama nyawa, akal, harta dan keturunan;
- Mengandungi bahan-bahan beracun seperti nikotin cecair tulen, propylene glycol, vegetable glycerin dan alkohol;
- Membawa kepada ketagihan dan mengkhayalkan;
- Membawa kepada pelbagai penyakit seperti kanser, kecacatan janin, dan lain-lain;
- Memudaratkan kesihatan orang sekeliling dan mencemarkan alam sekitar.
- Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
- Pembaziran yang berlaku sama ada pada alat vape itu sendiri mahupun bahan cecair yang menjadi hisapannya. Dikatakan bahawa harga alat tersebut berharga sekitar ratusan ringgit dan bagi sesetengah jenis, ianya mampu mencecah hingga ribuan ringgit.
- Meniru budaya yang bukan Islam.
- Dilihat tidak bermaruah.
- Sad al-Zari’ah (menutup jalan menuju kerosakan). Pihak polis kini sedang menggiatkan tinjauan dan siasatan terhadap lokasi-lokasi yang dikesan cuba mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir pengguna rokok elektronik.[12] Laporan dari pihak berkuasa juga menunjukkan bahawa penggunaan dadah sintetik di kalangan remaja sedang meningkat dan ini akan lebih memburukkan keadaan jika penggunaan rokok elektronik juga terdapat unsur-unsur dadah di dalamnya.[13] Langkah-langkah pencegahan perlulah dilakukan agar masalah ini tidak membarah di kalangan masyarakat Malaysia terutamanya buat para remaja.
Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18.[14]
Fatwa Ulama’& Pendapat Ilmuan Islam
Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah HARAM.[15]
- Sheikh Muhammad Saalih al-Munajjid di dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan dari pakar.[16]
- Sheikh Uthman al-Khamis juga berpendapat bahawa rokok elektronik adalah haram kerana ianya memudaratkan.[17] Setiap yang memudaratkan, maka Islam terlebih dahulu akan menolaknya demi menjaga maslahah sekalian umat.
Penggunaan Vape daripada Sudut Maslahah Ammah
Pihak berkuasa juga hendaklah mengambil keputusan pengharaman vape jika terdapat maslahah ammah. Ini berdasarkan epada tanggungjawab pemerintah yang terungkap dalam kaedah fiqh:
تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah bergantung kepada maslahah.”
Rujuk Bahr al-Muhit fi Usul a-Fiqh (1/309)
Jika sekiranya wujud maslahah ammah yang sebenar dalam pengharaman vape, maka adalah menjadi kewajipan semua rakyat untuk mematuhinya, sebagaimana sesetengah pemerintah pada zaman dahulu pernah membuat larangan rokok berdasarkan kepada maslahah ammah dan ulama mewajibkan rakyat mematuhinya.
Al-Syarwani seorang ulama dalam mazhab Syafie ketika membicarakan berkenaan kewajipan mentaati pemerintah dalam perkara yang melibatkan maslahah ammah telah memberi contoh larangan merokok berdasarkan maslahah ammah, “Jika pemerintah membuat arahan supaya tidak menghisap rokok yang dikenali pada zaman ini, maka wajib ke atas mereka (rakyat) untuk mentaatinya. Pada waktu yang lalu, Timbalan Pemerintah pernah mengeluarkan arahan di Mesir supaya tidak merokok di jalan-jalan dan kafe-kafe, lalu ramai yang menginkarinya, maka mereka adalah pelaku maksiat”. Rujuk Hashiah al-Syarwani (3/69)
Sejarah tersebut menunjukkan bahawa pengharaman rokok berdasarkan kepada maslahah ammah adalah suatu yang pernah berlaku pada masa lalu, dan ulama mengiktiraf ia sebagai larangan yang wajib dipatuhi. Justeru, pengharaman rokok elektronik atau vape boleh dikuatkan dengan kewujuduan elemen maslahah ammah.
Penentuan seseuatu itu sebagai maslahah ammah dalam perkara yang melibatkan hukum-hakam adalah peranan para ulama dan mujtahid, sebagaimana Abdussalam al-`Abbad menjelaskan ketika membicarakan berkenaan maslahah ammah, “kepastian wujudnya syarat-syarat ini pada setiap maslahah secara kes demi kes adalah tugas para mujtahidin yang mempunyai kelayakan berijtihad dan memenuhi syarat-syaratnya” . Rujuk Nas` al-Milkiyyah al-Khassah li al-Manfa`ah al-`Ammah (2/995)
Penutup
Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok agar berhenti daripada merokok. Justeru itu, mereka menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan mudarat kepada kesihatan manusia. Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.
Akhukum fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Dikemaskini pada 22 Disember 2015 bersamaan 10 Rabiulawal 1437H
Nota hujung:
[1] http://blog.oxforddictionaries.com/2014/11/oxford-dictionaries-word-year-vape/
[2] http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/vape
[3] http://www.who.int/mediacentre/news/releases/2008/pr34/en/index.html
[4] Carcinogens merupakan bahan pemangkin berlakunya kanser dalam tubuh manusia
[5] http://www.lung.org/stop-smoking/tobacco-control-advocacy/federal/e-cigarettes.html
[6] http://ukhealthcare.uky.edu/Claims-of-e-cigarette-safety-unproven-at-best-experts-say/
[7] http://www.astroawani.com/gaya-hidup/rokok-elektronik-vapor-dikhuatiri-penyebab-kanser-69773
[8] http://www.bharian.com.my/node/75419
[9] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kandungan-cecair-vape-bahaya-1.124146
[10] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1181415
[11] Qiyas digunakan kerana terdapat persamaan sebab (ittihad ‘illah) di dalam pengharaman merokok
[12] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/siasat-seluruh-negara-1.124151
[13] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penggunaan-dadah-sintetik-meningkat-1.125191
[14] http://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=266
[15] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=129680
[16] http://islamqa.info/en/201512 & http://islamqa.info/ar/170999
[17] http://www.almanhaj.com/vb/showthread.php?t=23522
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Syukur Berjaya Kumpul RM20K Dalam Masa 2 Jam.’ Akhirnya Pesara Dapat Tunai Haji Enam Beranak
‘Syukur berjaya kumpul RM20K dalam masa 2 jam.’ Akhirnya pesara dapat tunai haji enam beranak. Tiada kata yang dapat diungkap melainkan Alhamdulillah setelah impian mereka untuk tunaikan haji bersama tercapai.
Biarpun agak kelam-kabut kerana diberitahu saat akhir, tetapi momen dapat tunaikan haji sekeluarga pasti bakal diingati sampai bila-bila.
Syukur Berjaya Kumpul
Malah, dalam masa yang sama pesara enam beranak ini bagaikan tidak percaya apabila mereka berjaya mengumpul baki wang sebanyak RM20,000 dalam tempoh dua jam sebelum membolehkan mereka berangkat ke Tanah Suci bersama-sama, tahun ini.
Menurut Abdul Halim Mohamed Dalib, 60, sebagai ketua keluarga sudah tentu dia jadi kelam kabut apabila menerima khidmat pesanan ringkas daripada Tabung Haji (TH) mengatakan dia, isteri, Masrinah Mat Johar, 53, dan empat anaknya dipilih untuk menunaikan haji.
Mereka ialah Nur Haziqah, 25, Nur Afiqah, 23, Nur Thaqifah, 19, dan Nur Balighah, 18.
Artikel Berkaitan:
RM20K Dalam Masa 2 Jam
Katanya, dia dikehendaki melengkapkan pelbagai perkara dalam tempoh empat hari seperti pembayaran, bio visa dan beberapa dokumen yang diperlukan selepas pergi ke TH Cawangan Bangi, Selangor untuk mendapatkan keterangan lanjut.
“Kebetulan saya belum tukar lagi Mykid anak bongsu saya berusia 18 tahun. Jadi saya kena pergi Jabatan Pendaftaran Negara untuk tukar kepada Mykad.
Akhirnya Pesara Dapat Tunai Haji Enam Beranak
“Dalam masa semakin suntuk, duit pula tidak cukup lagi RM20,000. Saya ikhtiar macam-macam dan akhirnya dalam tempoh dua jam dapat juga lengkapkan bakinya,” katanya lagi.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai dugaan dan ujian, ia dapat diselesaikan dengan mudah dan penuh dengan hikmah.
“Haji memerlukan pemahaman dan ilmu. Walaupun saya sudah tiga kali pergi kursus, tetapi masih merasakan ia tidak cukup dan ingin belajar lagi,” katanya yang bersyukur menjadi tetamu Allah bersama keluarganya.
Kashoorga: Semoga mereka mendapatkan haji yang mabrur.
Sumber: Kosmo Online
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI