Bertunang bermaksud mengikat janji untuk menjadi suami isteri (berkahwin). Meminang pula bermaksud meminta anak gadis supaya menjadi isteri, melamar, meminang. Contohnya seseorang berkata: “Orang muda yang kaya itu datang meminang engkau.”
Dapat difahami bahawa pertunangan ialah sebagai satu tanda persetujuan oleh kedua-dua pihak dalam rangka membina rumah tangga menjadi suami isteri.
Pertunangan Menurut Islam
Pertunangan dalam Islam bertujuan bagi mengenal akhlak dan sifat pasangan sebelum diadakan akad nikah. Ia dapat membantu dalam menguatkan hubungan cinta serta mempersiapkan diri masing-masing sebelum berkahwin. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat yang ingin bertunang:
Maksudnya: “Seorang menemui Rasulullah SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku datang menyerahkan diriku kepadamu! Lalu Rasulullah SAW memerhatikan perempuan itu ke atas dan ke bawah dan kemudian Baginda menundukkan kepalanya.” Riwayat al-Bukhari (4833)
Aku menyerahkan diriku kepadamu bermaksud menyerahkan dirinya kepada Rasulullah SAW agar mengahwininya tanpa mas kahwin atau mengahwinkannya dengan orang yang sesuai.
Hadis yang seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, katanya:
كُنْتُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا ». قَالَ لاَ. قَالَ « فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِى أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا ».
Ads
Maksudnya: “Ketika aku bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki telah menemui Baginda, lalu memberitahu bahawa dia akan mengahwini seorang perempuan Ansar. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau melihatnya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Pergilah lihat perempuan itu kerana pada mata Ansar terdapat suatu kelainan daripada mata perempuan lain, yang mungkin tidak menarik hatimu.” Riwayat Muslim (3550)
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Humayd al-Sa’idi RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seorang perempuan, tidaklah salah melihatnya dahulu, jika tujuan melihat itu untuk meminang walaupun tidak diketahui oleh perempuan.” Riwayat Ahmad (23602)
Ads
Seorang perempuan juga berhak melihat lelaki yang ingin dikahwininya bagi memastikan keadaan lelaki tersebut supaya tidak menyesal selepas perkahwinan. Hal ini adalah kerana perempuan juga tertarik hati dengan lelaki, sepertimana lelaki tertarik hati dengan perempuan.
Hukum Adakan Majlis Pertunangan Secara Besar-besaran
Menjawab persoalan, tidak digalakkan untuk mengadakan majis bertunang secara besar-besaran. Namun, jika mampu dibolehkan. Jika tidak mampu, maka tidak perlu. Walaupun begitu, kami lebih cenderung supaya tidak dilakukan secara berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran.
Apa yang penting dan lebih utama adalah barakah dan doa dalam apa jua perkara. Itulah yang lebih utama untuk dicapai. Jika hanya sekadar jamuan dan makan makanan dan serta niat menunjuk-nunjuk, maka itu tidak memberi banyak manfaat.
Begitu juga, kami cadangkan agar pertunangan yang dilangsungkan sebaik-baiknya dipendekkan tempoh masanya hanya beberapa minggu atau sebulan dua sahaja. Ini kerana, matlamat asal adalah perkahwinan dan mengelak sebarang bentuk dan pintu yang membawa kepada maksiat.
Semoga Allah jauhkan kita daripada perkara tersebut.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati.
Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah srikandi rumahtangga baginda Nabi SAW.
Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah ini tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya.
Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
SUAMI TAK SEPATUTNYA GARANG/BENGIS
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluangkan masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW.
Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati.
Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
SUKA BERGURAU SENDA DAN ROMANTIS
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber: Imam Muda Asyraf Redzuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Nak kahwin tapi duit tak cukup lagi. Alahai. Susah juga ya. Tidak dapat dinafikan antara halangan utama untuk mendirikan rumah tangga ialah masalah kewangan.
Oleh itu jika merancang untuk mendirikan rumah tangga, adalah lebih baik jika tabungan dimulakan seawal mungkin.
Ia bagi memudahkan anda untuk merancang majlis perkahwinan serta menyusun kehidupan selepas berumah tangga.
Berikut perkongsian daripada Harith Faisal ini.
Assalamualaikum En. Harith Faisal. Maaf mengganggu dengan mesej saya ni. Kalau ada masa bolehlah reply. Saya sekarang tengah buntu. Sebenarnya saya dan pasangan bakal berkahwin. InshaAllah tahun depan.
Pasangan sekarang tengah kumpul duit untuk majlis dan hantaran. Masalahnya kitorang tak rasa duit simpnan boleh cukup sampai tarikh majlis nanti. So, dia ada cakap nak buat pinjaman bank untuk persediaan nanti.
Kami memang kurang ilmu nak buat pinjaman peribadi ni. Pendapat Encik HF macam mana? Maksudnya boleh ke kalau kami teruskn rancangan ni atau kami cuba alternatif lain. Sebab memang dah dekat sangat ni dengan majlisnya iaitu bulan Februari tahun depan.
Kami perlukan RM20,000 untuk majlis nanti. Sekarang kami hanya ada RM5,000. Saya boleh saving RM500 sebulan. Bakal suami saya ada juga saving setiap bulan. Tapi sikitlah. Sebab komitmen dia tinggi.
Kami pun silap juga sebab tak rancang kewangan awal-awal lagi. Itu sahaja soalan saya. Just minta pendapat En HF. Terima kasih banyak. Semoga Allah merahmati En HF sekeluarga. – Cik NH
NAK KAHWIN TAHUN DEPAN. TAPI TAK CUKUP DUIT LAGI? JOM BACA NI. LELAKI PALING SUKA POIN NOMBOR 3.
1. Buatlah tabung kahwin walaupun belum ada calonnya. Dengan harapan, bila muncul saja putera idaman atau puteri kayangan, boleh terus kahwin selepas berkenalan.
2. Terlalu ramai yang menyesal sebab tak buat tabung kahwin awal-awal. Ambil iktibar, jangan ulangi kesilapan mereka. Pelik sungguh kalau couple sampai 10 tahun, tapi tabung kahwin RM5,000 pun tak pernah wujud. Contoh.
3. Lelaki atau perempuan, dua-dua kena mulakannya sekarang. Kalau majlis yang anda rancang perlukan RM20,000, setiap seorang kena sediakan RM10,000. Berani? Ajak pasangan baca posting ni sama-sama. Lagi seronok, ajak mertua sekali.
4. Barulah adil, saksama dan sekufu. Dua-dua bijak merancang kewangan. Yang lelaki kumpul duit kahwin untuk membuktikan yang dia mampu dan kuat berusaha. Lepas kahwin nak jadi ketua keluarga kan.
5. Yang perempuan, untuk buktikan yang dia sudi susah senang bersama lelaki tu. Ini kalau sebelum kahwin pun sanggup tengok lelaki bergolok gadai seorang diri, macam mana pula selepas kahwin nanti.
6. Kalau kita terpaksa ambil pembiayaan peribadi untuk beli sesuatu, sebenarnya kita belum mampu memilikinya. Apatah lagi tujuannya untuk berkahwin. Berkahwinlah guna mana-mana duit yang ada saja.
7. Sebelum kahwin kita dah kata yang komitmen kita tinggi, dan tak mampu buat simpanan. Jangan ingat lepas kahwin hidup akan jadi lebih mudah. Baru sebulan kahwin, isteri dah start morning sickness. Faham-fahamlah.
8. Jika sebelum kahwin tak mampu menyimpan RM500 sebulan, jangan pula ambil pembiayaan peribadi dengan ansuran bulanan RM500. Senak nak bayar nanti. Lupakanlah pembiayaan peribadi tu.
9. Jenis yang lepas kahwin baru sedar nak beli rumah, jenuhlah nak kumpul deposit. Hutang kahwin tak habis-habis, bayangan rumah sendiri langsung tak kelihatan. Jauh dan semakin menjauh.
10. Orang kahwin, murah rezekinya insyaAllah. Tapi kita tetap perlu merancang dengan baik. Sama ada yang kita rancang tu menjadi atau tidak, itu rahsia Allah. Kita merancang, Allah jua sebaik-baik perancang.
11. Jom bantu Cik NH. Lagi 7 bulan nak kahwin, tapi belum cukup duit. Cadangan saya, nak tak nak, buatlah simpanan RM1,000 setiap bulan bersama pasangan. Atau kurangkan kos lain yang tak wajib dan tak perlu.
12. Jangan bergantung kepada satu pendapatan yang sedia ada. Buat jualan online yang memerlukan modal kecil atau yang tanpa modal, dropship, affiliate, Uber, Grabcar dan lain lain.
13. Pelamin DIY, kurangkan jenis lauk, tapis jemputan, fotografer tak perlu sampai 3 orang, kalau tak mampu buat 2 majlis asing, buat 1 majlis sekali pun boleh, jimat 50% belanja. Bridesmaid tak payah wujud langsung kalau kita yang kena tanggung.
14. Ada cadangan lain? Saya juga sudah buntu. Saya bukanlah pakar sangat bab kahwin ni. Kalau ikut pengalaman sendiri, baru sekali saja pernah kahwin. Haha. – HF
Sumber Kredit: Harith Faisal
VIDEO:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
“Kami bercinta dahulu untuk kenali si dia lebih mendalam. Tahu hati budinya. Nak kenal luar dalam dulu. Kemudian baru buat keputusan sesuai atau tidak untuk terus ke alam perkahwinan.”
Sebenarnya untuk apa anda dan si dia bercinta dalam tempoh lama? Bagaimana tempoh percintaan yang lama itu boleh membuktikan bahawa anda kenal si dia dengan sebaik-baiknya?
Selagi anda belum bergelar suami isteri, selagi itulah anda tidak akan kenal si dia dengan sepenuhnya. Senang cerita, the true colour itu anda masih belum nampak.
Satu lagi keburukannya, apabila terlalu banyak manis yang dikecapi sepanjang tempoh bercinta, maka semakin kuranglah manisnya apabila anda bernikah nanti.
3 manfaat bercinta selepas nikah:
KASIH SAYANG SEBENAR
Ungkapan ‘I love you’ sebenarnya lebih bergetar di jiwa jika disebut ketika anda sudah bergelar suami isteri. Ketika itu barulah ungkapan itu dinyatakan dengan bukti cinta yang sebenar. Jika tiada ikatan nikah, ungkapan itu boleh disebut kepada sesiapa sahaja. Yalah, tiada komitmen. Bukankah pernikahan itu merupakan bukti kasih sayang dan cinta daripada seseorang?
Betapa besarnya kuasa lafaz akad nikah, walaupun anda hanya diperkenalkan oleh orang tua, namun apabila sudah bernikah, perasaan cinta dan sayang itu akan wujud dalam hati. Ini menunjukkan bahawa orang yang bernikah memang diredai oleh ALLAH. Perasaan itu bukanlah sesuatu yang dibuat-buat.
LEBIH MESRA
Bercinta selepas nikah membuatkan anda lebih mesra. Anda boleh berpimpin tangan dan duduk berdekatan kala di luar rumah. Hal ini mendatangkan pahala. Bukannya mendatangkan dosa sebagaimana yang dilakukan oleh pasangan kekasih.
Bergelar isteri atau suami yang sah sudah tentu tidak perlu membatasi pergaulan. Apabila bergelar kekasih, mana mungkin anda boleh keluar berdua apatah lagi menunjukkan kemesraan seperti orang yang sudah berkahwin.
TIDAK RUGI
Apabila anda bercinta bagi nak rak, tiba-tiba putus di tengah jalan. Kebanyakan orang akan menyalahkan takdir mahupun diri sendiri. Lebih teruk lagi, ada yang gagal menerima kenyataan lalu membuat keputusan yang tidak sepatutnya seperti serik untuk berkenalan dengan orang baru, menutup pintu hati untuk menerima cinta baru atau berikrar untuk terus hidup membujang.
Walau sekuat mana pun rasa cinta yang ingin ditunjukkan, cinta suci yang didorong rasa takut adalah lebih baik dan lebih kekal berbanding cinta yang berlandaskan nafsu. Ingatlah bahawa cinta yang agung hanyalah untuk Allah SWT.
Jika kita hanya mengenali pasangan selepas berkahwin, jangan rasa gusar. Dengan izin Allah mungkin kita akan merasai manisnya hubungan itu lebih daripada mereka yang telah bercinta bertahun-tahun lamanya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?