Mufti Wilayah Raikan Jiran Cina Dengan Sebiji Kek Sempena Tahun Baru Cina

Share

Kejiranan adalah sebahagian daripada kesyumulan Islam yang boleh membawa kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Rasulullah SAW melarang keras perlakuan menyakiti dan menyusahkan jiran walaupun jiran itu adalah orang bukan Islam.

Untuk memelihara keharmonian dan perpaduan hidup bermasyarakat, maka Islam mengambil berat amalan kejiranan yang sihat. Keindahan hidup berjiran ini sebenarnya cuba dipamerkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila beliau sendiri meraikan jirannya yang berbangsa Cina dengan memberikan sebiji kek sebagai buah tangan.

Semangat kejiranan adalah unsur penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Memiliki jiran yang baik akan membawa kepada kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Inilah yang cuba disampaikan oleh Mufti Wilayah dalam perkongsian di laman Facebooknya. Moga ia mampu membuka minda kita untuk lebih menghargai jiran tetangga.

RAIKAN JIRAN BERBANGSA CINA DENGAN SEBIJI KEK

Hidup beragama ini sebenarnya indah dan mudah jika kita memahami kehendak agama, juga batasannya. Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa. Betapa sejarah kehidupan Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa tembok bangsa dan agama boleh diketepikan dengan akhlak dan kesantunan.

Hari ini saya meraikan jiran-jiran saya yang berbangsa Cina dengan kek sempena Tahun Baru Cina. Mungkin ini hanya hadiah tahunan yang kecil, namun saya amat berharap ianya mampu menyumbang sesuatu kepada keharmonian rakyat Malaysia berbilang bangsa.

Marilah kita kembali kepada asas yang hakiki bahawa kita sebenarnya satu keluarga besar yang bernendakan Adam dan Hawa.

Zahirkan keindahan Islam, sebarkan semangat perpaduan.

Kesimpulannya tiada salahnya untuk kita membina dan seterusnya mengeratkan ikatan silaturrahim antara satu sama lain. Jika Mufti Wilayah sendiri pun meraikan jiran tetangganya yang berlainan bangsa dan agama, mengapa tidak kita melakukan perkara yang sama demi sebuah kemakmuran kita bersama.

Sumber kredit: FB: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Published by
wan erni