Solat adalah ibadah yang disyariatkan kepada setiap Muslim untuk dilakukan sama ada berseorangan atau secara berjemaah seperti mana yang dianjurkan oleh agama Islam.
Sungguhpun begitu, melakukan solat secara berjemaah adalah lebih baik dan mendapat ganjaran yang berganda berbanding melakukannya secara bersendirian. Berdasarkan pengalaman ketika menunaikan solat secara berjemaah terutama di masjid dan surau, seringkali kita mendengar nasihat dari Imam untuk mendirikan saf dan merapat-rapatkannya lalu membacakan sebuah hadis:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Luruskan saf-saf kalian, kerana meluruskan saf termasuk dalam sebahagian menegakkan solat (berjemaah)”. (Hadis riwayat Bukhari, No. 690)
Dalam islam, merapatkan saf disebut sebagai Ilzaq.
Ilzaq (إلزاق) dari sudut bahasa memberi maksud menempel atau mencantumkan. Manakala dari sudut istilah Ilzaq di dalam solat memberi maksud menempelkan atau merapatkan sehingga bersentuhan bahu bertemu bahu, lutut bertemu lutut, kaki bertemu kaki sehingga tidak ada ruang kosong dalam saf yang didirikan.
Terdapat beberapa hadis sahih yang menyatakan berkenaan Ilzaq ini. Sabda Nabi SAW;
- Hadis riwayat Nu’man bin Basyir
أَقْبَلَ رَسُولُ اللهِ بِوَجْهِهِ عَلَى النَّاسِ فَقَالَ: " أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ , ثَلَاثًا وَاللهِ لَتُقِيمُنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ " قَالَ : فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يُلْزِقُ كَعْبَهُ بِكَعْبِ صَاحِبِهِ, وَرُكْبَتَهُ بِرُكْبَتِهِ وَمَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِهِ
Maksudnya: Rasulullah SAW menghadap kepada manusia, lalu berkata, “Dirikanlah saf (tiga kali). Demi Allah SWT, dirikanlah saf atau Allah SWT akan membuat perselisihan diantara hati kalian”. Lalu An-Nu’man bin Basyir berkata: “Saya melihat seorang lelaki menempelkan kakinya dengan kaki orang disebelahnya, lutut dengan lutut dan bahu dengan bahu”. (Hadis riwayat Abu Daud, 1/178) (sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).
Jika sebelum ini solat berjarak 1 meter menjadi isu perdebatan tapi kebenaran diberikan oleh Perlis membenarkan rapat saf harus diberi pujian.
Ini kerana mulai esok, Perlis membenarkan jemaah yang hadir bersama ahli keluarga tinggal sebumbung untuk merapatkan saf ketika solat di semua masjid di negeri ini.
Bagaimanapun, kebenaran merapatkan saf itu tidak diberi untuk jemaah lain yang masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah ketetapan merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selepas melihat kepada keperluan sedia ada dan tahap ketaatan serta kepatuhan tinggi seluruh rakyat terhadap SOP ditetapkan kerajaan.
"Jemaah yang hadir bersama keluarga tinggal sebumbung boleh merapatkan saf sesama mereka, manakala jemaah lain perlu terus mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter seperti ditetapkan dalam SOP," titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, kebenaran itu turut terpakai untuk semua aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu termasuk solat Tarawih dan kuliah pengajian di semua masjid serta surau asrama saja, manakala pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh Perlis masih tidak dibenarkan.
Pada masa sama, baginda mengingatkan rakyat sentiasa mengutamakan integriti dan kejujuran dalam menjamin kelancaran pelaksanaan ketetapan dibenarkan. – Sumber : Bernama / Gambar Hazreen Mohamad
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI