Mulanya Takut Tapi Akhirnya Akur Jodoh Pemuda Warga Bangladesh

Share

Biar apapun pandangan orang keliling tapi kalau sudah jodoh ketentuan Ilahi semuanya akan dapat ditempuhi.

Begitulah jua buat pasangan Nur Nadhirah Roslee yang bersuamikan pemuda warga Bangladesh Mohammad Samim Hossain.

Keduanya bertemu empat tahun lalu dan telahpun selamat diijabkabulkan Mei lalu nun jauh di kampung halaman Mohammad Samim dekat Joypurhat, Bangladesh.

 

Bekerja tempat sama

Menurut Nur Nadhirah, dia berkenalan dengan suaminya itu kira-kira empat tahun lalu kerana kebetulan bekerja di tempat yang sama iaitu sebuah kilang di Meru, Klang, Selangor.

“Ketika di satu tempat kerja, saya adalah penyelia dan bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja.

“Suami bekerja sebagai operator pengeluaran dan mulanya takut juga tengok dia mungkin kerana tak kenal.

“Entah macam mana, kami boleh berkawan dan bila sudah kenal, baru saya tahu suami rupanya baik.

 

Bernikah di Bangladesh

Mengikut perancangan, Nur Nadhirah berhasrat melangsungkan akad nikah di tanah air namun terbang ke Bangladesh untuk majlis itu kerana masalah permit kerja suaminya.

“Disebabkan perancangan sudah dibuat jadi kami teruskan pernikahan di kampung halaman suami.

“Saya ke sana dengan ditemani ibu, ayah dan adik.

“Seminggu juga di sana (Bangladesh) dan bersyukur kerana majlis pernikahan berjalan lancar, malah keluarga mentua juga sambut kami dengan baik.

“Walaupun berbeza latar belakang dan budaya, tiada masalah komunikasi antara kami kerana bapa mentua dan abang ipar saya boleh bertutur dalam bahasa Melayu memandangkan pernah bekerja di Malaysia.

“Perbualan dengan suami dan ahli keluarganya yang lain pula dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Ramai mendoakan hubungan

Melalui perkongsian di Harian Metro, Nur Nadhirah bersyukur kerana ramai mendoakan dan memberi reaksi positif terhadap hubungannya dengan suami.

Ada juga segelintir yang persoalkan kenapa saya tak kahwin dengan lelaki Melayu dan menyangka suami saya orang Melayu dari utara tanah air kerana wajahnya. Cuma mungkin sudah tertulis jodoh saya dengan suami jadi nak buat macam mana melainkan terima ketentuan itu.

“Jujurnya saya sendiri tak menyangka akan berkahwin dengan warga asing kerana tidak dari keluarga saya begitu.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya berharap jodoh kami panjang.

“Buat masa ini, kami tinggal berjauhan selama enam bulan kerana suami masih berada di Bangladesh,” katanya.

 

@nurnadhirah66 Trip to Bangladesh day 3🇧🇩 #mixmarriage #bangladesh #travelbangladesh ♬ original sound – Nur Nadhirah

 

Sumber: Hmetro

 

Published by
Team Kashoorga