Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Dan apabila Allah hadirkan hidayah buat seseorang maka merekalah insan yang terpilih. Bagi tiga pelancong Jerman Mark, 22, Elyas, 26, dan Tovel, 29, tujuan asal bercuti di Pulau Perhentian, Besut menjadi titik tolak kepada tiga sahabat ini untuk memeluk agama Islam.
Kisah bermula apabila tiga sahabat ini menumpang tandas di Masjid Ar Rahman di pulau itu. Ketiga-tiga sahabat itu memeluk Islam selepas mengakui jatuh cinta dengan agama Islam dan kesantunan umat Islam khususnya di pulau berkenaan.
Pendakwah Abu Khaleef Aka Khairul Ikhwan berkata, tiga lelaki Jerman itu menyatakan hasrat dan minat untuk memeluk Islam selepas beliau bersama beberapa lagi ahli jemaah dakwah menyantuni mereka di masjid berkenaan.
Katanya, pada mulanya tiga lelaki itu meminta izin mahu menumpang tandas masjid, namun mereka mendekati warga asing terbabit sambil diajak berbual-bual dengan menikmati minum petang selepas dilihat agak malu.
“Sepanjang perbualan itu, kami rancak berkongsi mengenai perkembangan Islam sehinggalah hampir waktu Maghrib. Kami mengajak mereka masuk ke masjid untuk melihat jemaah solat dan mendengar ceramah.
“Mereka teruja mendengar ceramah disampaikan pendakwah, Dr Maulana Helmi dan saya membantu mereka memahami butiran ceramah dengan menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris.
“Tidak sangka pula selepas itu mereka menyatakan minat untuk memeluk Islam dan akhirnya mereka mengambil wuduk dan melafazkan kalimah syahadah di hadapan saya dan jemaah lain di masjid itu.
Menurutnya, beliau turut mengajar jejaka Jerman itu cara mengambil wuduk dan mereka menikmati makan malam dalam talam bersama jemaah lain selepas solat Isyak.
Katanya, tiga pelancong itu masih tinggal di Pulau Perhentian dan mereka turut berkesempatan menunaikan solat Aidiladha serta melihat sendiri ibadah korban yang dilakukan penduduk pulau berkenaan.
Kisah tiga pelancong Jerman yang bercuti di pulau itu memeluk Islam mendapat perhatian apabila ia tular di laman sosial sejak seminggu lalu.
Abu Khaleef berkata, beliau gembira kerana rombongan dakwah dipimpinnya yang disertai 300 jemaah yang datang ke pulau itu sebagai sebahagian daripada aktiviti dakwah di seluruh negara akhirnya menarik minat bukan Islam memeluk Islam.
Rombongan dakwah Abu Khaleef ke pulau itu turut disertai individu ternama termasuk usahawan dan artis tempatan seperti Dr Sam Rasputin, Radhi OAG, Jojoe One Nation Emcees, Sabhi Saddi dan Farid Wari.
Sumber: Harian Metro