Semalam tular kisah seorang bekas juruterbang helikopter yang menerima hadiah wang tunai RM 1 juta selepas dia memenangi Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-102.
Selain melakukan simpanan secara konsisten sejak 24 tahun, rezeki yang diterima oleh Mohd Azhar Mohd@Man, 53, berasal dari Guar Chempedak, Yan ini ternyata ada kisah di sebaliknya.
Berkongsi dengan lebih lanjut, Mohd Azhar berkata, beliau yakin rezeki durian runtuh yang diterimanya itu adalah ganjaran yang ALLAH SWT berikan selepas dia membantu seorang ustaz sebelum ini.
“Ketika saya yakin telah menang hadiah cabutan itu, saya terus teringatkan ustaz berkenaan. Dia ada meminta tolong saya bayar kepada kontraktor yang membuat pagar sebuah sekolah agama sebanyak RM5,000 kerana individu yang mahu wakafkan pagar itu baru meninggal dunia.
“Baki akaun saya ketika itu cuma ada RM1,000, tanpa berfikir panjang saya terus buat pindahan akaun untuk bayar duit berkenaan.
“Kemudian baki lagi RM4,000 saya beritahu ustaz itu akan bayar kemudian, tak sangka mungkin kerana asbab saya wakaf RM1,000 tempoh hari, hari ini ALLAH gandakan jadi RM1 juta,” katanya memetik laporan Sinar Harian
Dalam pada itu dia sememang tidak terfikir untuk memenangi hadiah ini malah Ketika dihubungi oleh pihal BSN dia mengganggap ia adalah satu sindiket penipuan dalam talian.
“Saya mula menyimpan di BSN sejak zaman bujang lagi. Ketika itu, saya ingat kalau menang kereta pun syukur dah tak terfikir pula nama saya akan dipilih untuk memenangi wang tunai RM1 juta ini.
“Ketika diberitahu pada awalnya saya tidak rasa teruja sehingga lah dihubungi pegawai daripada Ibu Pejabat BSN dan Alor Setar Isnin lalu baru lah saya percaya,” katanya.
Mohd Azhar yang juga bekas Pegawai Pemerintah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, Sarawak berkata, wang RM1 juta yang diterimanya itu akan diberi keutamaan untuk melangsaikan hutang dengan pihak bank.
“Bila usia sudah makin senja saya nak hidup tenang- tenang saja, jadi kebetulan ALLAH bagi rezeki ini saya akan langsaikan hutang yang ada.
“Selain itu, saya juga akan berkongsi dengan anak-anak dan isteri untuk simpanan masa depan mereka selain simpan semula serta melakukan infak dan wakaf untuk saham akhirat saya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian