“Mungkin Ini Lambaian Akhir”, Ustazah Asma’ Harun Ajak Hargai Orang Terdekat, Hidup Ini Singkat

Share

Lambaian Terakhir

Kadang-kala dalam hidup ini, tanpa disedari, kita kurang menghargai orang yang ada di sekeliling kita. Lumrahnya, bila ada di depan mata, kita buat tidak peduli, tetapi apabila sudah kehilangan, barulah tercari-cari.

Siapa sangka kedatangan wabak COVID-19 benar-benar telah mengubah banyak sisi kehidupan. Segalanya seolah berlaku terlalu pantas. Semakin hari, semakin ramai yang dijangkiti, malahan menemui ajal mereka dalam ujian wabak ini. Allahuakbar.

Tidak terjangkau dek akal fikiran bahawa mereka yang dahulunya ada disisi memberikan sokongan, kini tiada lagi. Mereka yang kita sangka akan sentiasa menemani, rupanya sudah pergi. Tiada lagi nasihat dan kata penguat yang meniti di bibir, senyuman manis yang menghiasi wajah untuk perjalanan kehidupan, yang tinggal hanyalah sebuah kenangan sebagai bekalan apabila kerinduan.


Allah Ya Qahhar, Allah Yang Maha Perkasa. Apabila Allah berkehendak untuk menetapkan sesuatu, maka hanya cukup Dia melafazkan kalimah-Nya yang agung sepertimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya: "Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia." [Surah Yasin: 82]


Subhanallah, betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga ia boleh terjadi. Sememangnya COVID-19 telah mengajar kita 1001 erti.

Ia membuatkan kita lebih menghargai mereka yang ada di sisi. Kemungkinan lambaian yang diberikan hari ini merupakan lambaian terakhir daripada insan yang amat disayangi. Jika sebelum ini, kita merasakan ada hari esok untuk bertemu lagi, tetapi kini belum tentu kerana situasi yang tidak sama lagi. Kita tidak tahu siapa di antara kita yang akan dijemput Ilahi terlebih dahulu kerana kematian itu pasti dan tidak akan diketahui bila masanya tiba.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ ﴿٣٥﴾‏

Maksudnya: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.”
[Surah al-Anbiya’: 35]


Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿٣٤﴾‏

Maksudnya: “Sesungguhnya hanya di sisi Allah ilmu tentang hari Kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya besok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal.”[Surah Luqman: 34]


Sahabat, ketahuilah bahawa Allah SWT telah menetapkan kematian setiap hambanya. Tidak akan ada yang terkecuali daripada merasai mati. Ia tetap akan datang dan tidak akan terlewat walaupun sedikit.

Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.” [Surah al-A’raf: 34]

Tetapkan dalam hati, jika sebelum ini kita kurang menghargai mereka yang berada di sekeliling. Sekaranglah saatnya untuk lakukan perkara yang lebih membahagiakan mereka.

DUHAI IBU AYAH,
Jadikanlah tempoh 'lockdown' ini sebagai peluang untuk kembali menyemak solat dan bacaan al-Quran anak-anak jika sebelum ini tiada kesempatan. Hidupkanlah kasih-sayang dengan saling membantu, meringankan kerja-kerja rumah dan mendengar cerita anak-anak.

DUHAI ANAK,
Hargai dan luangkanlah masa sebanyak mungkin ketika ini bersama dengan ibu ayah dan adik beradik. Ambil peluang untuk mendengar nasihat berharga daripada mereka. Usah terlalu leka dengan hiburan dan media sosial yang membuatkan kita lupa.

BUAT YANG BERJAUHAN DENGAN PASANGAN DAN IBU AYAH DI KAMPUNG,
Tautkan kasih sayang dengan sering berhubung dengan mereka. Hantarkan hadiah tanda ingatan dan kerinduan yang berpanjangan. Kuatkan kesabaran dan pergantungan kepada-Nya, insya-Allah semua ini tidak akan lama.

DOA AGAR ALLAH MELINDUNGI KELUARGA DAN INSAN TERSAYANG

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللهَ الَّذِيْ لاَ تَضِيْعُ وَ دَائِعُهُ
Maksudnya: "Aku meninggalkan kamu semua dalam pemeliharaan Allah yang tidak akan hilang apa yang ada di dalam jagaan-Nya." [HR Ibnu Majah]

Semoga Allah SWT melindungi kita dan semua insan yang disayangi walau di mana jua kita berada. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
ASMA' BINTI HARUN
#UAHSahabatDuniaAkhirat

Published by
almaswa Haji Che Ros