Pasti ramai antara kita suka melakukan perjalanan jarak jauh menggunakan pengangkutan awam. Ia bukan saja tidak memenatkan malah terasa lebih rilek selain dapat menikmati pemandangan yang indah.
Namun ada kalanya terasa kekangan bila masuk waktu solat dan kita masih di atas pengangkutan awam. Bagaimana nak solat, ambil wuduk di mana dan barangkali bertanya arah kiblatnya mana kalau kenderaan sedang bergerak.
Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar, bermusafir bukan alasan tidak solat kerana sudah ada banyak kemudahan ruang solat disediakan dalam kenderaan.
Dalam satu perkongsian video di instagramnya, Ustaz Jafri menunjukkan ruang solat yang ada di dalam perkhidmatan keretapi ETS.
“Kita berada di ruang D iaitu adanya surau untuk bersolat. Tidak terlalu besar namun ia mampu memuatkan bebeberapa orang. Di ruang solat itu juga disediakn paip air bagi memudahkan mengangkat wuduk,” katanya sambil menambah sebelum bersolat, di ruang solat itu ada disediakan kompas bagi memudahkan kita menentukan arah kiblat. Caranya cukup mudah iaitu melihat tanda merah saja mengikut arahnya.
Dalam pada itu, tambah Ustaz Jafri lagi, kalau arah tanda kiblat bergerak kiri dan kanan (kerana keretapi bergoyang) jangan berasa khuatir sebaliknya teruskan bersolat sehingga selesai.
“Tiada masalah kerana kita solat dalam kenderaan seperti ini. Cuma paling penting kita mengadap ke arah kiblat pada waktu kita mengangkat takbir sahaja,” katanya yang memaklumkan tiada alasan untuk tidak bersolat sebenarnya.