Kebelakangan ini sudah menjadi trend untuk kaum wanita termasuk Muslimah bercuti secara sendirian atau solo. Bukan saja dalam negeri tapi terbang sendirian ke luar negara. Malah mereka ini turut berkongsi di dalam media sosial percutian ini.
Namun begitu menjadi persoalan bolehkah seorang muslimah keluar melancong bersendirian. Bukankah perlu ditemani mahramnya?
Penjelasan dimulakan dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا تُسافِرِ المَرْأَةُ ثَلاثَةَ أيّامٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: Janganlah seseorang wanita itu bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya.
Riwayat al-Bukhari (1086), Muslim (1338)
Atau dalam riwayat yang lain:
لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”
Riwayat al-Bukhari (1763)
Melalui hadith ini, telah jelas larangan Rasulullah S.A.W ke atas wanita muslimah untuk keluar bermusafir melainkan bersama-sama mahramnya[1]. Antara hikmah larangan ini adalah kerana bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang muslimah.
Namun, dikecualikan larangan ini pada wanita muslimah yang berhijrah dan juga tawanan. Para ulama’ telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang wanita muslimah yang berada di negara kafir, maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram.
Ads
Begitu juga sekiranya seseorang wanita muslimah itu ditawan oleh orang kafir dan dia mempunyai kemampuan untuk melarikan diri dari mereka, maka dibolehkan juga untuk keluar tanpa perlu kepada mahram. Dan di sisi ulama’ mazhab Hanafi, mereka tidak menganggap keluarnya mereka ini (muslimah yang ditawan) sebagai suatu permusafiran. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/37-38].
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukum “solo travelling” bagi muslimah, maka terlebih dahulu, perlulah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan solo travelling ini.
Hal ini juga menjadi buah pertanyaan apabila ia mula menjadi pilihan ramai wanita muslimah di negara kita, seterusnya menerbitkan persoalan yang berkait dengan hukum bagi seorang muslimah untuk melancong secara sendiri ke luar negara atau mungkin juga ke tempat-tempat lain.
Dalam hal ini, perlunya melihat kepada perbahasan ulama’ berkenaan haji. Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:
Pertama: Haram
Ulama’ mazhab Hanafi dan juga Hanbali tidak membenarkan ke atas wanita muslimah pergi menunaikan haji wajib melainkan dengan mahramnya.
Kedua: Harus
Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie pula mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklahh ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38]
Ads
Namun, dalam hal permusafiran seorang wanita untuk umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, menuntut ilmu, melancong dan sebagainya. Maka, ulama’ turut berbeza pandangan mengenainya:
Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali.
Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:
-Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.
-Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.
Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berkongsi pandangan dan juga pendapat mengenai isu ini. Kata mereka:
يجوز للمرأة أن تسافر بدون مَحرَم بشرط اطمئنانها على الأمان في دينها ونفسها في سفرها وإقامتها وعودتها، وعدم تعرضها لمضايقاتٍ في شخصها أو دِينها.
Maksudnya: Dibenarkan ke atas seseorang wanita untuk bermusafir tanpa mahram namun dengan syarat mestilah aman pada agamanya, pada dirinya dalam permusafirannya, ketika dia di destinasi dan juga dalam kepulangannya, dan tidak menghalangnya atau bertembung dengannya sebarang gangguan terhadap dirinya dan agamanya.
Maksudnya: ‘Adiyy berkata: ” aku melihat seorang wanita mengendarai kenderaan berjalan dari Al Hirah hingga melakukan tawaf di Ka’bah tanpa takut kecuali kepada Allah S.W.T.
Riwayat al-Bukhari (3595)
Maka, daripada hadith ini, ulama’ mengambilnya sebagai salah satu dalil yang mengharuskan permusafiran seorang wanita sekiranya aman. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menambah lagi:
ومما سبق يتبين لنا أن توفر الأمن هو المعول عليه عند الفقهاء في الإقدام على السفر والامتناع منه. والذي عليه الفتوى أن سفر المرأة وحدها عبر وسائل السفر المأمونة وطرقه المأهولة ومنافذه العامرة؛ من موانئ ومطارات ووسائل مواصلات عامَّة، جائز شرعًا ولا حرج عليها فيه؛ سواء أكان سفرًا واجبًا أم مندوبًا أم مباحًا، وأنَّ الأحاديث التي تنهى المرأة عن السفر من غير محرم محمولة على حالة انعدام الأمن، فإذا تَوَفَّرَ الأمن لم يشملها النهي عن السفر أصلًا. والله سبحانه وتعالى أعلم
Maksudnya: Dan berdasarkan keterangan ini, dapatlah difahami bahawa keamanan merupakan ‘illah di sisi fuqaha’ dalam mengharuskan dan juga menghalang permusafiran. Disebabkan itu, kami datangkan ke atasnya satu fatwa bahawa permusafiran wanita secara bersendirian menggunakan apa-apa cara musafir yang aman, laluan yang menjadi tumpuan orang ramai, kawasan yang tidak sunyi, sama ada di pelabuhan, lapangan terbang dan jalan perhubungan awam yang lain, maka ia dibenarkan secara syarak dan tiada kesusahan ke atasnya padanya (untuk bermusafir) sama ada permusafiran yang wajib, sunat atau harus, dan sesungguhnya hadith-hadith yang melarang wanita dari musafir tanpa mahram adalah kerana digantungkan pada keadaan ketiadaan aman, maka sekiranya wujud keamanan tidak terangkum pengharaman ke atas permusafiran secara asalnya.
Syarat untuk muslimah travel solo
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum solo travelling bagi wanita adalah harus, namun mestilah berdasarkan beberapa dawabith dan juga syarat seperti berikut:
1. Mestilah keadaan aman terhadap dirinya, agamanya, maruahnya, di masa permusafirannya sama ada dalam perjalanan, ketika di destinasi dan juga ketika pulang.
2. Perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.
3. Bukanlah musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.
Maka, dalam hal ini, kami nasihatkan adalah sebaiknya permusafiran ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya. Kami juga menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang panahan fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, menetapkan keimanan kita, serta memberkati segala amal perbuatan kita.
Sebagai hamba-Nya yang lemah sudah pasti kita tidak dapat lari dari melakukan dosa. Namun dosa yang termasuk dalam aib diri ini seharuskan kita diamkan apatah lagi ia melibatkan dosa maksiat.
Namun apa yang berlaku pada hari ini, ada yang dengan mudah mendedahkan dosa yang mereka lakukan sebagai satu perkongsian di sosial media. Malah ada yang melakukannya dengan niat mendapatkan ‘view’ yang tinggi.
Sedangkan apa yang dilakukan ini sangat dicela oleh Rasulullah SAW. Perkara ini dijelaskan oleh Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia
“Rasulullah mencela mereka yang suka mendedahkan dosa mereka sendiri sedangkan Allah sudah menyembunyikan keaiban maksiat yang mereka lakukan.
Sabda Rasulullah:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
“Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). Yang dimaksudkan dengan ‘mujaharah’ itu ialah seorang lelaki yang melakukan satu perbuatan (maksiat) pada waktu malam sedangkan di waktu pagi Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada malam tersebut.
Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan (dosa) ini dan perbuatan (dosa) itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan namun dia bangun pada waktu pagi lalu mendedahkan sendiri apa yang Allah telah sembunyikan aibnya.”
Ujar Dr Sanusi hari ini umat ditimpa penyakit. Mereka merasa bangga dengan dosa. Bahkan mereka menayangkan pula gambar-gambar tidak menutup aurat, atau merakamkan pula pengakuan maksiat yang dilakukan di media sosial. Sedangkan seorang mukmin itu sepatutnya tidak merasa selesa dengan dosanya.
Sabda Rasulullah:
“إِذَا سَرَّتكَ حَسَنَتُكَ وَسَاءَتكَ سَيِّئَتُكَ فَأَنتَ مُؤمِنٌ”
“Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal kebaikan dan merasa tidak selesa dengan kejahatan yang engkau lakukan, maka engkau adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad)
Bahkan seorang mukmin itu amat malu dan takut dengan dosanya. Mukmin menganggap dosa mereka seperti gunung yang akan menimpanya. Sabda Rasulullah:
إِنَّ المُؤمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَن يَقَعَ عَلَيهِ، وَإِنَّ الفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنفِهِ
“Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti dia sedang duduk di bawah bukit dan bimbang bukit (dosa) itu itu akan menimpanya sedangkan orang yang fajir (fasiq) itu melihat dosanya hanya seperti lalat di atas hidungnya.” (HR al-Bukhari).
Hadith ini katanya sangat jelas menunjukkan bahawa seorang mukmin itu sepatutnya sangat malu untuk menayangkan perlakuan dosa mereka.
Sabda Rasulullah:
والإثم ما حاك في نفسك وكرهت أن يطلع عليه الناس
“Dosa itu adalah apa yang tidak enak dihatimu dan engkau benci untuk menayangkannya di hadapan manusia.” (HR Muslim).
Kata Prof Dr Sanusi hari ini sifat malu itu telah semakin pupus. Sehinggakan seorang muslim itu sudah tidak merasa malu lagi untuk berkongsi perlakuan dosa, malah menjadikannya tujuan atas kepentingan yang sukar difahami.
“Kaum lelaki itu adalah Khalifah atau pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…” (al-Nisa’, 4:34).
Sebelum memilih pasangan hidup, ada ciri-ciri lelaki yang menjadi kriteria pemilihan namun Rasulullah sarankan agar tidak memilih dua ciri lelaki ini.
Baca satu perkongsian ilmu dari Ustaz Ahmad Shukri Yusoff mengenai dua ciri lelaki yang jangan dipilih menjadi suami.
Ada suatu hadith yang dilaporkan oleh seorang perempuan bernama Fatimah binti Qais. Dia seorang janda yang dicerai oleh suaminya dengan talak tiga. Dia memberitahu Nabi SAW bahawa dirinya dilamar oleh tiga orang lelaki. Mereka adalah Muawiyah, Abu Jaham dan Usamah bin Zaid.
Menurut Fatimah, Nabi SAW berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin. Abu Jaham itu suka memukul isterinya. Sebaiknya puan terima lamaran Usamah.”
Fatimah tidak setuju. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Nabi berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi puan.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah.
Justeru dalam hadith itu Nabi menunjukkan 2 jenis lelaki yang tidak sesuai diambil sebagai suami:-
1. Lelaki yang kedekut. 2. Lelaki yang memukul isteri
Dalam hadith itu Nabi menyuruh Fatimah supaya pilih Usamah bin Zaid sebagai suami barunya. Justeru pada diri Usamah itu ada ciri-ciri peribadi lelaki yang sesuai diambil sebagai suami.
1.Fatimah adalah seorang yang merdeka, manakala Usamah bin Zaid adalah anak kepada seorang hamba, jadi abaikan faktor status sosial bakal suami yang lebih rendah.
2. Fatimah itu perempuan Arab, justeru rupa parasnya cantik. Dirinya begitu menarik sehingga biarpun dia janda talak tiga, habis sahaja tempoh iddahnya tiga lelaki melamar dia. Usamah bin Zaid itu pula berkulit hitam kerana dia berasal dari Afrika.
3. Usamah bin Zaid pernah menjadi punca kontroversi besar dalam kalangan sahabat-sahabat Nabi apabila Nabi melantik dia menjadi panglima perang pada usianya yang baru 17 tahun. Jadi, pilih lelaki yang pemberani, pintar dan dipercayai.
Dalam hadith itu, menurut Fatimah sendiri, dia menikmati kebahagiaan dengan Usamah.
Justeru, kaum perempuan perlu siasat dahulu apakah lelaki yang hendak diambil sebagai suami itu seorang yang kedekut ataupun seorang yang memukul isteri.
Maklumat itu dapat diperoleh dengan membuat risikan dari orang-orang yang kenal lelaki itu dan kenal anggota keluarganya.
Sumber : fb Ustaz Ahmad Shukri Yusoff
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kisah perjuangan Nabi dalam menyampaikan dakwah sememangnya penuh dengan dugaan. Seharusnya kita mengambil iktibar dengan kisah ini terutama kisah golongan yang ingkar dengan suruhan Allah dan menerima pembalasan serta azab.
Kesan daripada pembalasan terhadap kaum terdahulu yang melanggar perintah Allah juga ada yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini.
Firman Allah SWT: “Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, berapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka apakah mereka tidak mendengar?” (As-Sajdah Ayat: 26)
Sebagai panduan bersama, berikut dikongsikan antara lokasi yang pernah dilaknat oleh Allah SWT:
1) Madain Saleh (Hegra), Kota Al Ula, Arab Saudi
Madain Saleh adalah kota kuno yang terletak di wilayah utara Hijaz dan suatu masa dulu, tempat ini dihuni oleh kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Saleh AS.
Kaum Tsamud diazab dan dibinasakan dengan gempa bumi yang dahsyat kerana mendustakan nabi dan membunuh unta Nabi Saleh AS.
2) Negeri Kaum ‘Ad
Kaum ‘Ad menetap di suatu tempat bernama Al-Ahqaf, yang terletak di utara Hadralmaut antara Yaman dan Oman.
Kaum ‘Ad memiliki sifat yang sangat sombong dan takbur kerana mereka merasa kuat dan pandai membuat bangunan-bangunan yang kukuh serta menyembah berhala.
Nabi Hud diutus untuk berdakwah kepada kaum ini. Kaum Ad dibinasakan oleh Allah dengan angin dingin yang sangat kencang.
3) Laut Mati (Dead Sea) atau Kota Sodom
Kaum Nabi Luth AS dihancurkan kerana melakukan perbuatan keji seperti merompak, mencuri serta melakukan seks sejenis iaitu homoseksual.
Walaupun sudah diberi peringatan oleh Allah SWT namun mereka tetap tidak mengendahkannya sehingga ditimpa azab yang sangat pedih.
Berdasarkan penerangan cendekiawan Islam, umat Nabi Luth AS adalah di Kota Sodom iaitu di daerah yang sekarang dikenali dengan nama Laut Mati, di sempadan antara Israel dan Jordan.
4) Kota Pompeii
Kota Pompeii terletak di sebelah timur Gunung Vesuvius, Naples, Itali. Kota Pompeii ditimpa azab kerana masyarakatnya mengamalkan hubungan seksual sebagaimana umat Luth. Kehancuran kota Pompeii berlaku selepas terjadinya letusan gunung Vesuvius.
Kota itu didirikan sekitar abad ke-6 oleh kaum Osci atau Oscan iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali. Masyarakat Pompeii menjadikan kota itu sebagai kota pelacuran dan aktiviti seks bebas.
5) Laut Merah
Laut Merah terletak di Lautan Hindi, di antara benua Afrika dan Asia yang berada di utaranya ialah Semenanjung Sinai, Teluk Aqabah dan Terusan Suez.
Siapa yang tidak tahu tentang kisah Firaun? Firaun dan pasukannya diazab Allah dengan cara ditenggelamkan di Laut Merah.
Beberapa penemuan sejarah membuktikan ayat al-Quran bahawa ia adalah lokasi Firaun tenggelam bersama tenteranya ketika memburu Nabi Musa AS.
Hukum mengunjungi tempat yang dilaknat Allah
Hukum mengunjungi tempat-tempat yang pernah dilaknat oleh Allah ialah makruh.
Sebaik-baiknya, elakkan berbuat demikian atau sekadar lalu untuk mengambil pengajaran kisah terdahulu.
Namun ada juga pandangan ulama yang mengatakan hukum untuk ziarah tempat tersebut ialah haram.
Abdullah bin Umar R.A menceritakan: “(Pada tahun ke-9 hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Tsamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW.
“Baginda bersabda: Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dilaknat Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian. Kemudian baginda melajukan pergerakannya meninggalkan tempat itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Anak yang selalu beri duit dimanja dan disayangi, tapi anak yang jarang hulur duit kerana hidup susah dilayan kasar dan dimarah-marah. Bukan hanya dalam...