Pada akhir zaman ini terdapat penindasan berlaku di mana-mana sahaja termasuklah sesama umat Islam sendiri kerana sifat tamak dalam diri manusia.
Jutaan saudara kita ditindas dengan pelbagai cara seperti wanita dirogol dan dibunuh dan kanak-kanak dibunuh, tanah dan rumah mereka dirampas, dibakar, dihalau dari kampung halaman, hatta dihalau dari negara asal masing-masing.
Kita dapat lihat keadaan ini berlaku di merata dunia seperti kepada umat Islam Rohingya di Myanmar, penduduk asal Islam di Palestin, Ahli Sunnah di Syria, bangsa Islam Ughyur di China, bangsa Moro Islam di Selatan Filipina, penduduk Islam di selatan Thai, muslim di Bosnia dan muslim di Iraq.
Kalau kita teliti beberapa hadis Nabi Muhammad SAW, Nabi SAW sudah menceritakan keadaan yang berlaku sekarang ini dan kenapa ia berlaku kepada umat Islam atau apa salah dan dosa umat Islam diperlakukan dan dihina sehina-hinanya?
Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka.”
Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.”
Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].
Ternyata daripada hadis di atas Rasulullah SAW pernah menyatakan berlakunya keadaan ini kerana kesalahan umat akhir zaman ini yang mempunyai antaranya dua penyakit yang amat kronik, walaupun jumlah umat Islam dalam dunia sekarang adalah lebih I.8 billion (setakat 2012).
Dua penyakit dikatakan itu ialah;
Pertama: Cintakan dunia sehingga memperhambakan diri dan seluruh kehidupan kepada dunia. Apa-apa sahaja yang ditawarkan dunia akan disentap dengan rakusnya sehinggakan mereka lupa halal haram dan dosa pahala, lupa kita akan mati dan akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kita lakukan di dunia.
Ads
Kedua: Takutkan mati. Akhirnya kerana terlampau cintakan dunia dengan segala kemewahan dan kenikmatannya menyebabkan mereka takutkan kematian, nak buat kerja agama takut diancam dan dibunuh sedangkan umat terdahulu sanggup bergolok gadai hatta terbunuh di medan peperangan demi mewariskan Islam kepada kita hari ini.
Malangnya umat Islam akhir zaman takutkan kematian sebab itulah kata Nabi SAW kita dikerumuni seperti makanan dikerumuni.
Ada penyakit lain lagi tak disebut oleh Nabi SAW yang menjadi sebab keadaan ini berlaku?
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu.” Sahabat bertanya: “Apakah penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu itu?”
Nabi SAW menjawab: Penyakit-penyakit itu ialah [HR Hakim]:
Ads
1. Terlalu banyak bersukaria 2. Terlalu mewah 3. Mengumpulkan harta sebanyak mungkin 4. Penipuan dalam merebut harta benda dunia 5. Saling memarahi 6. Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain
MasyaAllah, kalau kita perhatikan masyarakat kita hari ni betapa penyakit yang Rasulullah SAW sebutkan dalam hadis ini telah menular seperti wabak yang sangat bahaya dan tidak dapat dibendung penularannya dan menjadi penyakit kronik.
Dunia Islam telah dilanda krisis rohani yang sangat serius dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terjebak menghambakan diri kepada dunia dan memuaskan hawa nafsu serakah.
Akibat turutkan hawa nafsu, tentunya segala cara akan digunakan termasuk segala tipu muslihat tidak mengira halal haram dan dosa pahala.
Ketika itu lenyaplah nilai-nilai akhlak yang murni dan tinggallah kecurangan, khianat-mengkhianati, dengki mendengki dan zalim menzalimi… Nauzubillah.
Apa ubatnya untuk menyembuhkan penyakit-penyakit ini?
Ads
Beberapa ubat dan vaksin kepada penyakit kronik akhir zaman ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang mencipta kita dan baginda Nabi SAW adalah seperti berikut:
Firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Agama Islam) [Ali Imran:103].
Rasulullah SAW berpesan kepada kita: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kalau kamu berpegang dengannya nescaya kamu tak akan sesat selamanya iaitu: al-Quran dan sunnahku.”
Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda: “Semua umatku akan masuk ke dalam syurga melainkan yang enggan.”
Sahabat berasa kehairanan lalu bertanya; “Ya Rasulullah! Siapa yang tidak mahu masuk syurga?” Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk syurga dan siapa yang menyalahi ajaranku maka itulah yang tidak mahu masuk syurga – [Riwayat Bukhari].
Maka marilah kita kembali ke pangkal agama Islam kita dan berpegang kuat kepada ajaran-ajarannya, insya-Allah kita akan diselamatkan oleh Allah di dunia dan akhirat.
Semoga sama-sama kita sebarkan perkongsian ini dan menjadi sebahagian dari amal jariah kita, insyaAllah.
*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti
‘Barang keperluan naik harga.’ Jemaah tabligh pesan banyakkan istighfar, insyallah rezeki datang mencurah-curah dan Allah akan tunjukkan jalan.
Tidak dinafikan kenaikan harga barang keperluan dan termasuklah makanan betul-betul mencengkam hidup, apa lagi di kalangan orang yang kurang berkemampuan.
Terkini harga naik beras naik, sebelum itu gula, telur dan minyak yang merupakan keperluan asas juga turut meningkat harganya.
Masing-masing tertekan dengan isu kenaikan harga, namun sebagai hamba-Nya kita harus berusaha dan serahkan kepada Allah Pemberi Rezeki.
Kongsi Muhammad Hassan, banyak perkara yang dia belajar daripada jemaah tabligh dan ini salah satu perkara yang dipelajari dari jemaah tabligh.
“Matt, selagi atas pinggan kau ada makanan, kena habiskan sampai licin, makanan pada jari itu jilat sampai tiada kesan.”
Jika tuan puan pernah tengok jemaah tabligh makan guna talam, talam itu tak payah basuh, memang licin sebutir nasi pun tidak ada. Inilah keberkatan dalam makanan.
Kenapa hari ini kita rasa makanan mahal, boleh jadi kita selalu banyak membazir dalam membeli makanan. Ketika kita ada duit, bermacam makanan kita beli penuh tangan.
Bila tidak habis kita simpan dalam peti sejuk, akhirnya kita lupa nak makan dan buang makanan tersebut.
Jemaah Tabligh Pesan
Paling sedih, ketika ada duit kita bawa keluarga makan di restoran mahal-mahal, order bermacam menu penuh meja. Sedangkan satu menu boleh kongsi dua hingga tiga orang.
Satu gelas besar air boleh kongsi dua orang. Akhirnya makanan dan air yang tidak habis terbiar untuk dibuang oleh pekerja restoran.
Hari ini. Makanan kita beli kadang-kadang tidak perlu pun untuk tubuh badan kita, sekadar melepas rasa di lidah sahaja. Bahkan banyak makanan kita makan hari ini beri mudarat mengundang pelbagai penyakit metabolik (makanan yang tiada nilai nutrisi).
Banyakkan Istighfar
Malah, hari ini juga Allah uji kita dengan barangan keperluan naik harga. Resah gelisah kita. Kebetulan pula kita tidak ada duit lagilah terasa. Hendak beli beras pun berkira-kira.
Saat ini baru kita faham pesanan mak ayah kita dulu kala. “Makan nasi bagi habis, nanti menangis nasi tu.”
Insyallah Rezeki Datang Mencurah-Curah
Pesan jemaah tabligh kepada saya. Perbanyakkan istigfar, insyallah rezeki mencurah-curah, Allah keluarkan kita dari segala kesempitan. Sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Nuh Ayat 10 hingga 12:
“Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
Kashoorga: Bila berlaku situasi sebegini, kita seharusnya mula menukar gaya hidup. Jika sebelum ini terlalu bermewah-mewah, kini kita perlu berjimat dan berfikir panjang sebelum berbelanja.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pada kali ini, sekali lagi kami ditanya berkenaan dengan isu tiupan sangkakala. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan Tiupan Sangkakala Pada Hari Kiamat. Semoga ia menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah dan hari Akhirat yang menatijahkan ketakwaan dan amalan soleh untuk kita lakukan sebagai persediaan hamba kepada Tuan-nya.
Beriman kepada Hari Kiamat
Beriman kepada hari Akhirat merupakan salah satu rukun dari rukun iman, dan salah satu ‘aqidah dari ‘aqidah Islam yang asas. Ini kerana masalah kebangkitan pada hari akhirat merupakan landasan berdirinya ‘aqidah setelah permasalahan keesaan Allah SWT.
Beriman kepada terhadap segala perkara yang berlaku pada hari Akhirat dan tanda-tandanya merupakan keimanan terhadap perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal, dan tidak ada jalan untuk mengetahuinya kecuali melalui nas Ilahi atau Nabawi.
Betapa pentingnya hari yang agung ini, kita dapati (di dalam al-Quran) bahawa Allah SWT kerap kali menghubungkan iman kepada-Nya dengan beriman kepada hari Akhirat. (Lihat Asyrat al-Sa’ah (terj.), oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 17-19)
Beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun Iman serta dituntut oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
Maksudnya: Bukanlah perkara kebaikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat.”
Surah al-Baqarah (177)
Maka, hari kiamat itu akan terjadi setelah kesemua tanda-tandanya muncul dan apabila Allah SWT menitahkan malaikat-Nya untuk meniupkan sangkakala yang akan mematikan seluruh makhluknya.
Peristiwa Tiupan Sangkakala
Tiupan sangkakala ini telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.
Surah al-Naml (87)
Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul, ingatkanlah kepada mereka keadaan yang amat mengerikan ketika sangkakala ditiup. Saat itu, semua makhluk yang ada di langit dan di bumi berada dalam ketakutan melihat hari kebangkitan dan hari dikumpulkan seluruh makhluk kecuali orang yang mempunyai hati yang teguh terhadap Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/5085)
Perkataan الصُّور yang disebutkan di dalam ayat ini telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ “ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ”
Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.”
Riwayat al-Tirmizi (2430)
Sebahagian ulama’ menafsirkan tanduk dengan terompet. Para ulama’ berpendapat, alat tiupan tersebut ditaklifkan kepada malaikat Israfil untuk meniupkannya tanpa diketahui kadar besarnya alatan tersebut. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 78)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368)
Malaikat Israfil sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT sejak detik penciptaan lagi. Hal ini telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hulaimi secara ijma’. Begitu juga berdasarkan hadith Wahab bin Munabbih yang menyebut secara nyata. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 79)
Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’, iaitu:
Pertama, tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali.
Kedua, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya:
Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
Surah al-Zumar (68)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat di atas berkata: Ibn Abbas R.Anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama ialah ketikamana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27)
Kemudian, perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah SWT menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)
Imam al-Nawawi mengatakan sebab Abu Hurairah RA mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. (Lihat al-Minhaj, 18/91)
Baginda Nabi SAW turut mengkhabarkan bahawa Baginda adalah orang pertama yang akan dibangkitkan pada tiupan yang kedua, seperti yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang terawal yang mendongak kepalaku setelah tiupan yang terakhir”
Riwayat al-Bukhari (337)
Al-Qastalani menyebut: Hadis di mana Rasulullah SAW mendapati Nabi Musa sedang bergantung di Arasy maka sabda Nabi, aku tidak ketahui adakah keadaan itu berlaku sebelum dia mati ketika tiupan pertama atau dia masih hidup selepas tiupan kedua sebelumku. Inilah yang dinyatakan oleh al-Karmani. Al-Dawudi berkata sebagaimana dihikayatkan daripada al-Safaqisi ucapannya, adakah demikian itu hingga akhir adalah waham. Ini kerana Nabi Musa telah dikuburkan dan akan dibangkitkan selepas tiupan. Maka bagaimana mungkin berlaku sebelumnya. Lantas dijawab bahawa hadis Abi Hurairah yang terdahulu berkenaan beberapa orang, maka manusia semua mati pada hari Kiamat dan aku juga mati bersama mereka kecuali akulah orang yang pertama bangkit. Maka didapati Musa memegang di tepi Arasy. Aku tidak ketahui sama ada dia juga mati dan bangkit sebelumku atau termasuk di kalangan yang dikecualikan oleh Allah. Perkataan sa’iqdimaksudkan dengan pengsan tatkala mendengar suara atau melihat sesuatu yang menggerunkan. Dan inilah yang berlaku dengan jelas berdasarkan riwayat ini berkaitan jaga atau sedar selepas tiupan kedua. (Lihat Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/30)
Sebahagian ulama’ berpendapat, tiupan sangkakala sebanyak tiga kali. Antaranya Ibn al-‘Arabi dan Ibn Kathir. Mereka menghujahkan nas:
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah.”
Surah al-Naml (87)
Ayat ini menunjukkan tiga tiupan:
Tiupan al-faza’
Tiupan al-sa’iq
Tiupan al-ba’s
Akan tetapi, hadis-hadis menunjukkan secara nyata bahawa ia dikira dengan dua tiupan sahaja iaitu tiupan al-Sa’iq(tiupan mematikan) dan keduanya tiupan al-Ba’s (tiupan membangkitkan manusia) daripada kubur. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 80)
Siapakah yang Dikecualikan oleh Allah Daripada Menerima Kematian Ketika Tiupan Sangkakala?
Para ulama’ telah khilaf, siapakah yang dikecualikan oleh Allah kepada beberapa pendapat:
Imam Ahmad berpendapat, mereka yang di dalam syurga dari kalangan bidadari dan al-wildan. Sebahagian muridnya menambah, penjaga syurga iaitu Ridhwan dan penjaga neraka, iaitu Malik.
Muqatil dan sebahagian ulama’ berpendapat, mereka adalah Jibril, Mika’il, Israfil dan Malakul Maut. Sebahagian mereka menambah, malaikat yang menanggung Arasy.
Abu al-Abbas al-Qurtubi memberi pendapat yang berlainan dengan katanya: Dikehendaki (dengan yang dikecualikan ialah) semua orang yang telah mati kerana mereka tiada kesan dan rasa. Justeru, mereka tidaklah ada lagi kematian ketika itu.
Tarjih: Imam al-Qurtubi berpendapat dengan menukilkan pandangan gurunya Abu al-Abbas, bahawa yang sahih adalah tiada sebarang nas yang sahih yang menentukan mereka yang terselamat daripada tiupan sangkakala dengan kebinasaan. Semua nas menunjukkan sifat muhtamal (andaian). (Lihat al-Tazkirah oleh Imam al-Qurtubi, hlm. 167)
Bagaimana Keadaan Manusia Ketika Tiupan Sangkakala?
Hal ini telah diterangkan dalam al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
Surah al-Hajj (1-2)
Ibn Kathir berkata: Ditiupkan dengan tiupan yang menakutkan sedangkan manusia berada di pasar-pasar mereka dengan kehidupan harian mereka, saling bertengkar dan bergaduh sepertimana adat mereka. Tiba-tiba Allah SWT memerintahkan Israfil untuk meniupkan sangkakala dengan panjangnya. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali mendengar suara tempikan yang kuat sehingga kepala mereka terdongak ke atas langit. Kemudian semua manusia dipandu ke mahsyar dengan api yang mengelilingi mereka dari segenap penjuru. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.
Surah Yasin (50)
Kemudian ditiupkan sangkakala kedua yang mematikan semua yang hidup kecuali tinggallah Allah, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Kemudian, ditiup dengan tiupan kebangkitan setelah itu. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 3/165)
Al-Maraghi berkata: “Wahai sekalian manusia, takutlah kepada seksaan Allah SWT, taatlah dan janganlah kamu menderhakai-Nya, kerjakan segala kewajipan yang diperintahkan kepada kamu dan tinggalkan segala perkara haram yang dilarang melakukannya. Khitab ayat ini ditujukan kepada mukallaf yang ada pada ketika ia diturunkan, juga kepada generasi mukallaf yang akan lahir selepas mereka sehingga ke hari kiamat. Kemudian Allah SWT mengemukakan beberapa faktor mengapa mereka diperintah untuk takut kepada seksaan-Nya.
Akibat goncangan yang terjadi ketika berlakunya hari kiamat, sebelum manusia dibangkitkan dari kuburnya. Maka ia dianggap kejadian yang amat dahsyat dan bahaya yang begitu besar; tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat, kecuali Tuhan yang mengadakannya. Jika goncangan itu tidak dapat ditanggung oleh manusia, lantas apa yang terjadi pada mereka saat itu, seperti manusia dihimpunkan pada hari pembalasan dan hari penghisaban untuk menghitung segala amalan oleh Allah Yang Maha Tahu segala isi bumi dan langit, walaupun sebesar zarah. Kemudian Allah menghuraikan beberapa pemandangan yang menakutkan pada hari itu.
Kemudian digambarkan pada hari kiamat itu tentang manusia yang berada dalam kegoncangan, kebingungan dan kelalaian yang telah mencapai ke puncaknya. Sehinggakan ibu yang sedang menyusukan anaknya lalai terhadap anak yang sedang disusunya, padahal anak itu merupakan sesuatu yang merupakan paling berharga kepadanya. Bayangkan bagaimana seorang ibu lalai terhadap anaknya?
Manakala setiap wanita yang hamil akan mengalami keguguran iaitu janin yang di dalam rahimnya gugur sebelum tibanya waktu bersalin kerana takut terhadap hari kiamat. Al-Hasan ada mengatakan bahawa wanita yang menyusukan anaknya leka hingga berhenti daripada menyusui anaknya, manakala wanita hamil pula telah gugur kandungannya sebelum tiba waktunya melahirkan.
Pada hari itu, kamu dapat melihat manusia seolah-olah mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Tetapi keadaan itu berlaku kerana azab yang amat dahsyat sehingga akan mereka menjadi tidak sedar dan tidak mampu membezakan di antara yang batil dengan yang benar. Kelalaian ibu yang sedang menyusui dan keguguran kandungan wanita yang sedang hamil boleh jadi dimaksudkan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan dahsyatnya apa yang berlaku pada hari itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4516-1518)
Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dimulakan surah ini dengan ancaman dan penerangan secara umum yang membayangkan suasana dahsyat yang tidak dapat diungkapkan. Ia hanya mengatakan satu kejadian gempa dan kejadian gempa itu adalah suatu peristiwa yang amat besar tanpa memberi sesuatu penentuan dan sesuatu takrif.
Kemudian barulah dijelaskan dan ternyata bahawa kejadian itu lebih menakutkan dan mengerikan dari semata-mata ancaman. Ia menayangkan satu pemandangan yang melibatkan setiap ibu penyusu yang lupa anak susuannya. Dia melihat tetapi tidak Nampak dan dia bergerak tetapi tidak sedar, juga melibatkan setiap ibu hamil yang keguguran anak kandungannya kerana terlalu ngeri dan takut, dan seterusnya ia melibatkan seluruh manusia yang kelihatan dalam keadaan mabuk, tetapi mereka sebenarnya tidak mabuk. Keadaan mabuk mereka dapat dilihat dengan jelas pada pandangan-pandangan mata mereka yang terpinga-pinga dan pada langkah-langkah mereka yang terhuyung-hayang. Ia merupakan satu pandangan yang penuh sesak dengan perhimpunan manusia yang berasak-asak, yang hampir-hampir ternampak kepada pandangan mata di saat membaca ayat ini. Dan dapat dihayati sepenuhnya oleh daya khayal.
Kedahsyatan peristiwa itu menyebabkan seseorang itu menjadi lupa, kebingungan dan tidak sampai ke mana-mana. Ia merupakan satu peristiwa dahsyat yang tidak dapat diukur dengan saiz besarnya, tetapi dapat diukur dari kesan-kesannya yang dahsyat pada jiwa manusia iaitu pada hati ibu-ibu penyusu yang lupakan anak-anak susuan mereka, sedangkan seseorang ibu penyusu tidak lupakan anak susuannya yang sedang menyusu melainkan apabila dia berada dalam keadaan terlalu takut, yang menghapuskan segala saki-baki kesedarannya. Kesan-kesannya yang dahsyat itu juga dapat dilihat pada hati ibu-ibu hamil yang keguguran anak-anak kandung mereka dan pada hati manusia yang kelihatan mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/127-128)
Penutup
Berdasarkan apa yang kami yang telah kami huraikan di atas, hendaklah setiap dari seorang muslim itu beriman dan percaya bahawa akan berlakunya tiupan sangkakala ini seperti yang telah tsabit di dalam al-Quran dan hadith.
Beriman dengan hari kiamat ini hendaklah disertakan bersama dengan amalan-amalan soleh untuk kita menghadapinya.
Semoga kisah-kisah berkaitan dengan hari kiamat ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Amin.
Ramai di antara kita yang berpuasa pada bulan Ramadan mengambil tembikai ketika berbuka puasa (Iftar) sama ada buah yang dipotong atau diambil sebagai jus tembikai. Tetapi tidak ramai yang tahu manfaat buah tembikai ini.
Ada hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah memakan buah tembikai. Ini menunjukkan buah tembikai adalah buah yang bernutrisi, selamat dan baik untuk dimakan.
Ada ulama (tidak diketahui sumber) memberitahu wanita yang hamil digalakkan untuk memakan tembikai kerana anak yang bakal dilahirkan akan baik akhlaknya dan sempurna sifatnya.
Mengikut kajian sains pula, buah tembikai ini sangat sesuai dijadikan hidangan pertama ketika berbuka puasa bersama dengan kurma. Satu atau dua ulas tembikai bersama beberapa biji kurma dan segelas air kosong cukup untuk memberikan tenaga segera bagi mereka yang berpuasa.
Tembikai mempunyai Glycemic Index yang tinggi, bermakna penyerapan gula ke dalam darah berlaku dengan pantas. Oleh kerana kita hanya mengambil beberapa ulas saja, ia tidak memudaratkan.
Nasi putih GI: 72 (tinggi) 150 kalori/100g
Tembikai GI :72 (tinggi) 30 kalori/100g
Kurma GI: 42 (rendah) 282 kalori/100g
Semasa menjalankan ibadah puasa, beberapa perubahan fisiologi dalam tubuh akan berlaku. Antaranya enzim yang berada dalam tubuh dikeluarkan secara perlahan-lahan disebabkan kita tidak makan sepanjang hari. Lapisan lendiran yang menyelaputi dinding dalam saluran penghadaman (perut dan usus) menipis. Oleh itu apabila kita berbuka puasa, mulakanlah dengan makanan yang bersifat mudah (simple real food). Antaranya buah-buahan seperti tembikai, anggur, pisang dan betik.
Tembikai mengandungi Vitamin A, C, thiamin, riboflavin, niacin, vitamin B6 dan folate. Vitamin-vitamin ini membantu menstabilkan mood dan menguatkan ingatan. Berbuka puasa dengan tembikai dapat mengekalkan kesihatan tubuh. Ia mengandungi 92% air dan nutrisi yang tinggi, sesuai untuk menghilangkan dahaga ketika berbuka puasa dan menggalakkan perpeluhan ketika musim panas.
Tembikai juga mengandungi sebatian lycopene iaitu sebatian antioksida yang boleh didapati dari buah-buahan berwrna merah seperti tomato. Satu gelas tebikai mengandungi 10mg lycopene, sementara satu gelas tomato mengandungi 5-6 mg lycopene. Lycopenen sangat baik untuk merendahkan risiko mendapat penyakit jantung dan osteoporosis, juga membantu mengelakkan penyakit kanser pada payudara dan prostat.
Lycopene juga merupakan antioksida yang bagus diamalkan bagi pesakit diabetes, katarak, kulit dan juga membantu dalam masalah kesuburan.
Tembikai juga mengandungi sebatian citrulline, yang merangsangkan pengeluaran bahan nitric oxide, yang berfungsi sebagai merehatkan, melembutkan dan mengembangkan saluran darah yang sangat sesuai diamalkan oleh pesakit yang mengalami mati pucuk (erectile dysfunction) dan tekanan darah tinggi. Bila salur darah mengembang ia mengekalkan perjalanan darah dalam saluran koronari pada jantung.
Sumber: DrZubaidi Hj Ahmad
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?