Nafkah Suami Kepada Isteri Ada 7 Perkara, Ia WAJIB Diberi. Bayar Kereta Itu Tanggungjawab, Bukan Nafkah

Share

Majoriti rumahtangga hari ini, suami dan isteri bekerja kerana keperluan kewangan yang amat mendesak. Kos sara hidup yang tinggi ditambah kenaikan barangan, memaksa suami dan isteri bekerja.

Dalam pada itu, timbul isu di mana ramai lelaki salah faham tentang nafkah kepada pasangan di mana mereka beranggapan, jika suami sudah membayar pinjaman bank untuk rumah atau kereta, maka barang-barang keperluan dapur atau jagaan nurseri anak menjadi tanggungjawab isteri membayarnya. Alasannya, kongsi bersama kerana gaji tidak mencukupi.

Perlu difahami, nafkah kepada isteri wajib dibayar oleh suami dan ia hak seorang isteri dan dirinya bebas berbelanja wang tersebut.

Menurut pejabat Mufti Wilayah, nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim Halabi Fatoni, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

Berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu telah bertanya kepada Nabi SAW:

يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/244)

Sehubungan dengan itu, majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakain
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).

(Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang tertulis diatas. Malahan ia termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipangku oleh suami.

Jadi secara kesimpulannya, nafkah ini adalah hak isteri. Membayar kereta itu tanggungjawab suami, bukan termasuk dalam kategori nafkah. Jangan lepas tangan mengenainya kerana ia memang menjadi tanggungjawab suami dalam perkahwinan.

Published by
almaswa Haji Che Ros