SOALAN :
Adakah sah sembahyang seorang itu jika atas sejadahnya ada tahi cicak? Kalau ada najis atas lantai dan kita lapik atasnya sejadah dan ketika sembahyang tahi cicak itu ada di bawah sejadah sah atau tidak sembahyang?
JAWAPAN :
Syarat sah sembahyang antaranya ialah suci badan dan pakaian dan tempat sembahyang. Maksud tempat sembahyang ialah tempat yang bersentuh dengan orang yang sembahyang ketika dia qiam dan ketia dia duduk dan ketika dia meletakkan lutut dan dua tangan dan dahi. Selain dari itu bukan dikira tempat sembahyang.
Maka ketika kita menunaikan sembahyang itu adalah kawasan yang tidak bersentuh dengan kita samada pada ketika qiam atau duduk atau sujud itu bukannya tempat sembahyang maka tidak mengapa ada najis di tempat tersebut.
Contohnya ketika kita sujud adalah najis itu ada setentang dengan dada kita di atas sejadah tetapi tidak bersentuh dengan kita maka solat kita adalah sah kerana tidak bersentuh najis itu dengan badan dan pakaian kita.
Berkata Dr Mustafa Bugha :
طهارة المكان عن النجاسة: ويقصد بالمكان الحيِّز الذي يشغله المصلي بصلاته فيدخل في المكان ما بين موطئ قدمه إلى مكان سجوده، مما يلامس شيئاً من بدنه أثناء الصلاة، فما لا يلامس البدن لا يضر أن يكون نجساً، مثل المكان الذي يحاذي صدره عند الركوع والسجود
Artinya : “Yang dimaksudkan dengan tempat sembahyang pada perkataan suci tempat sembahyang daripada najis itu ialah tempat yang ada atasnya orang yang sembahyang yang termasuk kawasan yang dibawah tapak kakinya sampai tempat sujudnya dari ruang yang bersentuh dengan badannya ketika sembahyang. Maka bahagian yang tidak bersentuh dengan badannya tidaklah memberi mudarat kalau ada najis misalnya kawasan yang setentang dengan dadanya pada ketika rukuk dan sujud.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
Begitu juga jika ada atas lantai najis lalu diletakkan umpama sejadah atau tikar di atasnya dan sembahyang seorang itu di atasnya maka sembahyangnya sah kerana tidak ada persentuhan dengan najis ketika dia sembahyang.
Berkata Imam As-Syairazi :
فإن صلى على أرض فيها نجاسة فإن عرف موضعها تجنبها وصلى في غيرها وإن فرش عليها شيئاً وصلى عليه جاز لأنه غير مباشر للنجاسة ولا حامل لما هو متصل بها
Artinya : “Maka jika sembahyang seorang atas bumi yang ada padanya najis dan dia tahu tempat yang ada najis itu maka hendaklah dia menjauhi dan sembahyang pada selainnya. Dan jika diletakkan tikar atas najis itu dan sembahyang ia di atasnya nescaya sah ia kerana sungguhnya dia tidak bersentuh dengan najis dan tidak menanggung akan suatu yang bersambung dengannya. “(kitab Al-Muhazzab)
Kesimpulannya selama seorang itu mengerjakan solat tidak ada badan dan pakaiannya bersentuh dengan najis maka solatnya itu adalah sah sekali pun ada najis di atas sejadah atau dibawahnya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus