
Orang kata kalau nak pada anaknya, kena juga jaga hati keluarganya. Jangan sebab nak anaknya, tetapi tidak ambil endah keluarga terutama ibu dan ayah pasangan kita.
Anggaplah kedua-dua ibu dah ayah pasangan kita seperti keluarga sendiri. Layanlah mereka seadanya kerana kita akan hidup bersama anaknya hingga ke akhir hayat.
Namun, pelbagai cerita ibu mertua yang kita dengar. Ada yang terlalu baik dan ada juga bersikap kejam kerana kita dikatakan merampas anaknya.

Janganlah begitu, minta dijauhkan daripada mendapat keluarga mentua bersikap demikian. Jadi setiap kali meminta pada Allah jodoh yang baik, pohon sekali agar kita ditemukan dengan keluarga yang baik juga.
Semoga hubungan akan kekal terjalin hingga ke jannah. Ayuh, bacalah penjelasan yang disampaikan oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki ini.
Biasa dengar kan?
Nak dapat anak yang baik, soleh musleh, selalunya orang tua-tua pesan pilihlah pasangan yang baik.
Salah satu usaha yang biasa kita buat ialah doa pada Allah. Minta supaya diberikan jodoh yang baik, yang soleh.
Namun, kisah yang dikongsikan oleh Ustazah Isfadiah Ahmad Dasuki hari tu membuatkan saya terhenti daripada lipat kain dan tak berkelip mata tengok TV. Tak sabar-sabar dah nak tahu lebih lagi dari ustazah yang manis itu. Otak pula cuba-cuba nak ingat semua semula. Flashback 8 tahun lepas punya memori.
“Pernah ke aku buat macam tu? Ish, macam tak pernah je. Memang confirm la tak pernah!”
Ustazah cerita, waktu tu beliau masih di universiti.
Setiap kali beliau berdoa tentang jodoh, beliau doa begini.
“Ya Allah, kurniakanlah ibu bapa mertua yang saya boleh seiring sejalan dengan dia. Yang saya boleh masuk dengan dia dan saya nak mencintai ibu bapa mertua saya melebihi cinta saya terhadap suami saya.”
Nak tahu kenapa ustazah doa begini?
Saat beliau tahu yang hubungan dengan ibu ayah mertua takkan putus sampai bila-bila sekalipun terjadinya penceraian di antara pasangan suami isteri, beliau mula terfikir untuk usaha berdoa dengan cara yang berbeza seperti di atas tu.
Betul juga kan? Kita ni kahwin dengan suami, bukan takat hubungan dengan suami je kita nak kena jaga. Hubungan kita dengan mertua pun. Malah siap tak putus sampai bila-bila pulak tu.

Sambung ustazah lagi,
Macam biasa. Rutin beliau setiap hari ialah telefon ibu ayah. Tapi bila dah bertunang, beliau disiplinkan diri untuk telefon bakal ibu mertuanya seminggu sekali. Kebetulan pada waktu itu tunang beliau masih menuntut di luar negara.
Dari situ beliau dan bakal ibu mertuanya mula berkawan dan saling kenal mengenal antara satu sama lain. Ibu mertuanya nampak cita-cita beliau dan nampak semangat beliau untuk membangunkan masyarakat melalui kelas-kelas bimbingan dan ibu mertuanya pun turut serta dalam kelas-kelas tersebut.
Buat adik-adik, kakak-kakak yang masih berusaha untuk dikurniakan rezeki jodoh, saya doakan kalian diberikan jodoh suami, ibu dan ayah mertua yang soleh musleh dan sekufu. Yang juga menyejukkan hati di dunia dan akhirat.
Aamiiiin.
Nadia Bakar
Kashoorga: Jika sayangkan keluarga mertua, hadiahkan barangan menarik yang boleh didapati di sini
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tujuh Tingkat Nafsu Dalam Diri Manusia. Ketahui Nafsu Paling Jahat Yang Perlu Kita Kalahkan

Isi Kandungan
ToggleNafsu itu memang ada dalam diri setiap diri manusia. Ia adalah anugerah daripada Allah SWT dalam menangani kehidupan sebagai hamba Allah sebagaimana Allah mengurniakan akal untuk manusia berfikir dan merencana kehidupan.
Nafsu ini sememangnya ada dalam kita untuk kita menjalani aktiviti seperti makan, minum dan berkahwin. Cuma, yang menjadi kebimbangan adalah tingkat kawalan kita terhadap nafsu yang wujud dalam diri kita.
Nafsu ini sering terkait dengan perbuatan jahat sedangkan kita tahu sebenarnya nafsu ini mempunyai banyak tingkat atau tahapnya. Sebagai manusia biasa kita sering leka sehingga terus melakukan kesilapan demi kesilapan. Oleh itu, amat baik kalau kita dapat memahami tingkat-tingkat nafsu agar kita sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (Ar-Ra’d 13:33)
1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang mesti dikalahkan ialah nafsu ammarah, iaitu nafsu yang sangat jahat. Nafsu inilah yang mendorong manusia kepada kejahatan. Orang yang memiliki nafsu ini akan berasa bangga kerana dapat melakukan dosa. Bahkan berlumba-lumba dengan orang lain untuk menunjukkan siapa yang paling banyak berbuat maksiat. Allah SWT telah menyatakan tentang sifat nafsu ammarah itu kepada kita dalam firmanNya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf 12:53)
Nama ini diambil daripada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai pengakuan Zulaikha (Imratulaziz) atas kesalahan dan kesediaannya membuat pengakuan yang Yusuf bersih daripada sebarang keburukan dan kesalahan.
Ia adalah nama bagi nafsu di tahap paling rendah. Diri di tahap ini disifatkan al-Quran sebagai yang menyuruh kepada keburukan dan kejahatan. Jika melakukan kebaikan sekalipun hanya sebagai topeng untuk kejahatan.
Maksudnya diri manusia dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan sehingga manusia menjadi hamba nafsu, bahkan menjadikan nafsu sebagai Tuhan yang ditaati.
Manusia yang memiliki akhlak serendah ini baginya nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting. Cuma yang penting baginya ialah yang dapat memenuhi kehendak nafsunya saja. Manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatan yang dilakukan.
Diri dalam peringkat terendah inilah yang diistilahkan oleh ahli kerohanian Islam sebagai ‘nafsu’.
2. Nafsu Lawwamah
Apabila nafsu Ammarah itu dapat dikalahkan, ia akan berubah kepada satu tahap yang bernama Lawwamah. Orang yang di peringkat ini sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama, waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tidak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Ini peringkat orang yang baru dapat hidayah, baru insaf.
Nafsu ammarah telah dapat diatasi.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” (Al-Qiaamah 75:2)
Ketika ini timbul perebutan antara nafsu dan akal. Nafsu mengajak kepada kejahatan, akal mengajak kepada kebaikan. Orang yang memiliki nafsu lawwamah belum dapat membuat keputusan untuk berbuat baik. Ia seperti daun lalang, ikut ke mana arah angin bertiup. Tidak ada kekuatan untuk meninggalkan maksiat, dia boleh melakukan kejahatan lagi sesudah ia berbuat baik. Kadang-kadang ke tempat ibadah, kadang-kadang ke tempat maksiat, hatinya selalu merintih kepada Allah bila tidak dapat melawan nafsu untuk membuat maksiat. Atau tidak dapat istiqamah dalam berbuat kebaikan.
Nafsu lawwamah inilah yang perlu dididik atau ditarbiyah. Peringkat ini perlu teruskan mujahadah, lawan nafsu. Tolak kehendak-kehendak yang jahat, yang disukai nafsu walaupun jiwa rasa menderita. Memanglah sakit, maklumlah melawan nafsu sama seperti melawan diri sendiri.
Nafsu lawwamah ini diatasi dengan menambah ilmu, khususnya ilmu fardhu ain. Dengan ilmu itu dapat menyuluh mana halal, mana yang haram, mana yang berpahala, mana yang berdosa. Mana jalan ke syurga, mana jalan ke neraka.
Bila sudah ada ilmu, sudah mula beramal sedikit-sedikit, nafsu mula terdidik, jadi baik sedikit dari sebelumnya. Nafsu yang agak baik ini dinamakan nafsu Mulhamah.
3. Nafsu Mulhamah
Dalam Al Quran, Allah ceritakan hal nafsu mulhamah dalam firmanNya yang bermaksud:-
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu, jalan kejahatan dan ketaqwaan.” (Asy-Syams 91:8)
Di peringkat ini rupanya baru nampak jalan untuk menuju Allah. Allah tunjukkan jalan. Ini cara Allah hendak jadikan seseorang itu baik.
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (Al-An’aam 6:125)
Bagaimana rasa hati orang yang memiliki nafsu mulhamah ini? Iaitu apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan Allah dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di syurga. Kerana itu perlu belajar tentang syurga dan neraka, ia dapat membantu orang yang bernafsu mulhamah ini bermujahadah.
Dalam hatinya masih banyak sifat-sifat mazmumah, sifat keji. Dia sudah dapat mengenali penyakit yang ada dalam dirinya. Dia tahu dirinya ada sombong, riak, pemarah, dendam, hasad dengki. Cuma tidak mampu lawan. Belum cukup kekuatan. Dalam pada itu, dia cuba beribadah dengan sabar.
Bagaimana hendak melawan penyakit hati yang ada dalam orang yang berada di peringkat nafsu mulhamah ini? Oleh kerana ia didorong oleh nafsu dan syaitan, kenalah amalkan zikir-zikir dan wirid-wirid tertentu, sebab syaitan dan nafsu hanya takut pada tuannya saja iaitu Allah SWT. Bila kita sentiasa berwirid dan berzikir, baru dapat merasai Allah sentiasa melihat kita. Boleh juga banyakkan membaca Al Quran.
Bila penyakit-penyakit hati, segala sifat mazmumah yang terkeji itu sudah tiada lagi, barulah Allah datangkan satu rasa kemanisan dalam hatinya dalam beribadah juga berbuat baik, dan akan timbul rasa benci dengan kejahatan. Itu petanda dia telah meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik lagi iaitu nafsu Muthmainnah, atau nafsu yang tenang.
4. Nafsu Muthmainnah
Orang yang memiliki nafsu muthmainnah, Allah ceritakan sifatnya dalam Al Quran:
“Wahai jiwa yang tenang (muthmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha (kepada Allah) dan diredhai (oleh Allah), maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” [Al Fajr : 27-30]
Hamba Allah yang sebenarnya ialah mereka yang telah sampai kepada nafsu muthmainnah. Allah iktiraf mereka sebagai hambaNya. Sebelum itupun hamba juga. Cuma hamba yang menyembah Allah kerana dipaksa, bukan atas dasar keredhaan. Hamba Allah yang sebenar, mereka redha dengan Allah, dan Allah juga redha kepada mereka, kerana itulah mereka ini dijemput Allah untuk masuk ke syurga. Nafsu muthmainnah inilah nafsu ahli syurga.
Mari kita kenali, bagaimana sifat orang-orang yang mencapai nafsu muthmainnah ini? Iaitu bila dia buat amal kebajikan rasa sejuk hatinya, tenang dan puas. Selalu rasa rindu nak buat kebajikan, mereka senantiasa menunggu waktu untuk beribadah kepada Allah. Kerana itu mereka sanggup bangun awal di tengah malam, ternanti-nanti waktu Subuh. Ternanti-nanti saat pertemuan dengan Allah. Sementara menanti itu mereka isi waktu itu dengan zikir dan solat sunat dengan rela, sungguh rela, bukan terpaksa.
Hati mereka senantiasa rindu dengan Allah, bila dia baca ayat Allah yang ada kaitannya dengan neraka, dia rasa takut, cemas, hingga ada yang pengsan, kadang-kadang ada yang mati. Mereka takut dengan dosa, seolah-olah gunung akan menimpa kepalanya. Bila berkorban di jalan Allah berhabis-habisan, baru rasa puas hatinya. Senantiasa rasa cemas dengan maksiat dan cuba cegah habis-habisan.
Mereka yang mencapai muthmainnah ini, ia akan bersabar dengan ujian dari Allah kepada dirinya. Doanya mustajab, Allah cepat kabulkan, rezekinya terjamin, dijamin oleh Allah. Bila selalu diuji dia sabar, akhirnya ia sudah boleh redha dengan ujian. Hasil dari kesabaran dan keredhaan dalam hatinya, maka ia akan meningkat kepada nafsu yang kelima iaitu nafsu Rodhiah.
Kalau boleh sampai ke tahap muthmainnah inipun sudah cukup, sudah dikira dalam golongan bertaqwa. Sudah Allah sahkan sebagai hambaNya yang dijemput ke syurga, apatah lagi jika dapat mencapai tahap nafsu yang lebih baik, iaitu nafsu Rodhiah.
Setakat ilmunya bolehlah cerita, untuk mencapainya kenalah minta tolong dengan Allah saja, moga disampaikan ketahap itu. Kerana ini peringkat nafsu yang dimiliki para wali-wali Allah, orang yang sangat hampir dengan Allah.
5. Nafsu Rodhiah
Pernahkah dengar, ada orang yang kematian anak, mengucap syukur kepada Allah, berkata Alhamdulillah. Pernahkah kita dengar ada orang yang tidak terpilih ke medan perang, menangis dan bersedih?
Biasanya jika orang kematian anak, pastilah menangis. Begitu juga kalau tidak terpilih ke medan perang, patutnya gembira, kerana masih boleh tinggal bersenang lenang dengan keluarga.
Tetapi, itulah sifat orang yang telah mencapai tahap nafsu rodhiah. Mereka redha terhadap apa yang Tuhan redha, terhadap apa yang berlaku dalam hidup mereka.
Pernah terjadi dalam sejarah, seorang ibu bila orang membawa berita tentang anaknya yang gugur di medan jihad, dia rasa gembira, kerana Allah telah pilih anak-anaknya menjadi ahli syurga. Anak yang syahid itu boleh memberi syafaat kepadanya di akhirat nanti. Begitu jauh pandangan mereka tentang akhirat, kerana itu mereka boleh redha dengan ketentuan Allah SWT.
Di segi amalan, walau sekecil-kecil tentang larangan, ia akan tinggalkan sungguh-sungguh, bagi dia apa yang makruh, dia anggap macam haram, yang sunat dia anggap macam wajib. Kalau tidak buat yang sunat seolah-olah rasa berdosa.
Mereka, dalam beribadah kepada Allah, khususnya Al Quran, bukan sekadar sedap membaca, bahkan sedap beramal. Sudah terasa lazat dalam beribadah. Akhlak mereka terpuji di sisi Allah.
Mereka mampu memberi maaf ketika berkuasa. Satu peristiwa, sahabat Rasulullah yang memiliki hamba, suatu hari hambanya membawa dulang yang berisi daging kambing, tiba-tiba pisau yang terletak di atas dulang terjatuh di kepala anaknya yang sedang merangkak dan terus mati. Dalam keadaan demikian hamba tadi merasa takut, maka kata sahabat tadi, “Bertenanglah kamu, anak itu Allah punya, Allah ambil balik, maka pada hari ini aku memerdekakan kamu.”
Tiada siapa yang boleh berbuat demikian kecuali mereka yang memiliki nafsu rodhiah. Mereka akan rasa menderita bila sahabat terjerumus kepada dosa. Mereka akan doakan khusus untuk sahabatnya di malam hari agar terselamat dari maksiat.
Mereka juga banyak mendapat pertolongan dari Allah, di antaranya firasat yang Allah berikan, mereka mudah kenal dengan orang yang berbuat maksiat atau tidak. Mereka mudah untuk memimpin masyarakat, sebab dia kenal sifat-sifat hati. Orang yang dia didik nasihat-nasihatnya tepat. Mereka ini, jika dihalau dari masyarakat oleh pemerintah, tunggulah bala Allah akan turun. Banyak lahir karamah-karamah dari mereka, mulutnya masin apa yang disebut insya Allah akan terjadi.
Memang amat payah kita mencapai tahap mereka itu, tetapi kita tetap disuruh berusaha ke arah itu, kerana itulah hakikat ajaran Islam yang sebenar. Mintalah kepada Allah.
6. Nafsu Mardhiah
Jika nafsu mardhiah, sudah tentu lebih hebat lagi. Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Allah. Allah redha dengan apa saja yang mereka buat. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: “Mereka melihat dengan pandangan Allah, mendengar dengan pendengaran Allah, berkata-kata dengan kata-kata Allah.” Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Allah lakukan.
7. Nafsu Kamilah
Akhir sekali, nafsu kamilah iaitu nafsu yang paling sempurna di sisi Allah. Amat dikasihi oleh Allah. Manusia biasa tidak mampu sampai ke maqam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya sekadar peringkat keenam saja iaitu mardhiah. Ini sudah bertaraf wali besar.
Itulah 7 peringkat nafsu manusia. Jadi orang yang hendak mendidik manusia mesti faham peringkat-peringkat nafsu ini. Kemudian perlu faham bagaimana pula hendak mendidik setiap peringkat-peringkat nafsu tersebut supaya manusia menjadi manusia yang benar-benar hamba Allah.
Sumber : Yayasan Islamiah Dakwah Malaysia (YADIM)
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Allah Perintah Kita Tinggalkan Golongan Yang Mempersendakan Islam

Isi Kandungan
ToggleTindakan meletakkan kalimah Allah pada stoking sememang dilihat satu penghinaan. Mereka yang melakukan perkara yang mempersendakan agama Islam sebegini seharusnya tidak harus dibiarkan.
Tapi apa yang seharusnya umat Islam lakukan dengan golongan sebegini berpandukan al-Quran.
Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Allah memerintahkan umat Islam menjauhkan diri dari golongan sebegini.
Hari ini muncul golongan yang dilihat seakan bermain-main dengan sentimen agama. Allah memerintahkan kita agar menjauhkan diri dari golongan sebegini. Mereka tidak layak untuk diberikan perhatian sebaliknya mereka hanya menjemput azab Allah.
Firman Allah:
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). (Surah al-An’am: 70)
Sifat kumpulan munafik
Pada hakikatnya, sifat mempersenda Allah dan Rasul ini lahir dari benak kumpulan munafik yang memusuhi Islam pada zaman Rasulullah. Dalam Perang Tabuk, Allah mendedahkan sikap mereka yang mempersenda perjuangan Rasulullah.
Perkara ini dipaterikan di dalam al-Quran di mana Allah berfirman:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah al-Taubah: 65)
Menurut al-Imam al-Baghawi, sekumpulan orang munafik mengejek-ejek perjuangan Rasulullah yang berusaha menyebarkan dakwah hingga ke sempadan wilayah Rom. Mereka mempersenda usaha dakwah Baginda dan menakut-nakut para mujahidin bahawa mereka akan kalah bertempur dengan kerajaan Rom nanti. Allah mendedahkan sikap buruk mereka ini sehingga dinukilkan di dalam al-Quran.
Kisah hamba perempuan yang sering mengutuk Nabi
Saidina Abdullah bin Abbas pernah menceritakan tentang seorang lelaki yang memiliki Umm Walad (seorang hamba perempuan yang melahirkan anak kepada tuannya). Perempuan ini (Umm Walad tersebut) sering mengutuk (mencaci: tashtumu) Nabi.
Setelah dinasihati oleh lelaki ini berkali-kali, perempuan tersebut masih kekal dengan sifatnya yang menghina Rasulullah. Hilang sabar dengan sikap perempuan itu, lelaki tersebut mengenakan hukuman. Apabila perkara ini disampaikan kepada Nabi, Rasulullah berkata perjanjian keamanan yang diberikan kepada perempuan tersebut telah terbatal kerana menyakiti Nabi.
Adakalanya tindakan yang tegas perlu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat tentang batasan-batasan yang perlu mereka fahami dalam memuliakan kalimah Allah. Kesatuan umat Islam dalam menjaga agama merupakan langkah yang dipuji Allah.
Sumber: Dr Ahmad Sanusi Azmi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Allah Bagi Pinjam Seketika, Reda Dengan Kententuan Allah. ‘9 Tahun Saya Tunggu Kelahirannya, Tapi Dia ‘Pergi’ Dulu.’

Isi Kandungan
ToggleAllah bagi pinjam seketika, reda dengan ketentuan Allah. ‘9 tahun saya tunggu kelahirannya, tapi dia ‘pergi’ dulu.’ Memang berat ujian ini, namun sebagai hamba-Nya dirinya reda dengan takdir Ilahi.
Lebih menyayat hati, dia bukan hanya kehilangan satu-satunya anak tunggalnya tetapi turut kehilangan ayahanda tercinta. Allahuakbar sungguh menyayat hati. Ternyata Allah lebih menyayangi kedua-duanya.
Artikel Berkaitan:
‘Allah Beri Bila Tiba Masa Yang Tepat.’ Rezeki Miliki Zuriat Selepas 14 Tahun Menanti
Allah Bagi Pinjam Seketika
Demikian luahan Zarina Azmi, 34, yang merupakan ibu kepada kanak-kanak setahun tujuh bulan yang lemas bersama datuknya di sebuah kolam terbiar dekat Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah.
Menurut Zarina, dia dan suami, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 35, bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah yang meminjamkan anak tunggal kesayangan, Muhammad Ziyaad Mikhail seketika biarpun telah sembilan tahun menanti kelahiran cahaya mata.
Reda Dengan Kententuan Allah
Dalam kejadian itu, Zarina turut kehilangan bapa tersayang, Azmi Abdullah, 77, yang ditemukan terapung dalam sebuah kolam bersama Muhammad Ziyaad selepas kedua-kedua beredar dari kedai makan di mana tempatnya bekerja dengan menaiki motosikal untuk keluar bersama.
“Sepanjang hari (Isnin), Muhammad Ziyaad asyik peluk saja, seolah-olah tak puas bermanja sebelum datuknya datang ambil kira-kira jam 5 petang.
“Namun, tak lama kemudian saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak ditemukan lemas di kolam berhampiran,” jelasnya sebak.
9 Tahun Saya Tunggu Kelahirannya
Kejadian disedari apabila kedua-dua beranak itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 7 petang, menyebabkan mereka keluar mencari di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, luluh hatinya apabila menemukan jasad datuk dan cucu itu lemas dan terapung dalam kolam tersebut.
Sementara itu, adik kepada Azmi, Yusof Abdullah, 61, menjelaskan kali terakhir dia bertemu arwah abangnya bulan lalu dan terkejut apabila menerima panggilan berhubung kejadian.
“Arwah dah lama pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucu dan menjadi rutin membawa cucunya itu meronda waktu petang dengan menaiki motosikal,” katanya.
Tapi Dia ‘Pergi’ Dulu
Menurut Yusof, dia difahamkan bahawa kejadian kemungkinan berlaku apabila kanak-kanak itu turun dari motosikal dan berlari ke arah kolam sebelum terjatuh.
Tambah Yusof, kemungkinan Azmi yang ternampak cucunya jatuh terus berlari ke arah kolam dan cuba menyelamatkan, namun turut lemas.
“Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.
“Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Yusof, Azmi mempunyai lima anak serta 10 cucu dan Muhammad Ziyaad Mikhail serta ibu bapanya tinggal bersama.
Jenazah kedua-dua beranak itu kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal selepas selesai urusan bedah siasat untuk proses pengebumian.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Pasti ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku, semoga keluarga ini tabah meneruskan hidup.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI