SOALAN :
Kalau dahan pokok jiran kita masuk ke sempadan rumah kita adakah boleh kita kerat sebab daun yang jatuh banyak jadi kena sapu hari-hari?
JAWAPAN :
Hukum berkenaan dahan atau ranting pokok kepunyaan jiran yang masuk ke dalam kawasan rumah kita ada disebut seperti berikut :
Tersebut pada kitab Bughyah Mustarsyidin :
ولوانتشر اغصان شجرة او غروقها الي هواء ملك الجار اخبر صاحبها علي تحويلها فان لم يفعل فللجار تحويلها ثم قطعها ولو بلا اذن حاكم
Ertinya : “Dan jika tumbuh dahan-dahan pokok atau tumbuh cabang-cabangnya ke udara milik jirannya hendaklah dia beritahu kepada pemilik pokok itu supaya dialihkannya.
Maka jika pemiliknya tidak mengalihnya maka harus bagi jiran itu mengalihnya kemudian harus ia memotongnya sekalipun tanpa kebenaran hakim.”
Berkata Imam Nawawi :
اذا خرجت اغصان الشجر الي هواء مالك الجار فللجار ان يطالبها بازالتها فان لم يفعل فله تحويلها عن ملكه فان لم يستطع تحويلها فله قطعها
Ertinya : “Apabila keluar oleh ranting pokok kepada ruang udara milik jiran maka harus bagi jiran itu menuntut pemilik pokok itu menghilangkannya. Maka jika pemiliknya tidak melakukannya maka harus bagi jiran itu mengalihnya dari sempadannya. Maka jika tidak mampu mengalihnya maka harus baginya memotong ranting itu.” (Al-Majmu’)
Artikel Berkaitan: Ini Hukumnya Patut Tahu Bila Suami Berkata “Menyesal Bernikah Dengan Isteri…”
Kesimpulan
Jika dahan atau ranting pokok jiran tumbuh masuk ke ruang tanahnya samada di atas tanah atau di ruang udara maka jika mahu dia boleh menyuruh tuan pokok mengalih dahan dan ranting itu keluar dari kawasannya. Jika tuan pokok tidak mengalihnya maka harus bagi tuan tanah mengalihnya seperti ditarik ranting tersebut masuk ke dalam kawasan tuan pokok itu semula.
Jika tidak mampu mengalihnya kerana besarnya maka harus tuan tanah memotong dahan dan ranting tersebut sekalipun tidak dipersetujui oleh tuan pokok.
wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus