Individu bujang yang hendak berkahwin disaran melengkapkan diri dengan pelbagai perkara bermanfaat. Hal ini supaya hidup lebih berkat dan rumahtangga yang bakal didirikan lebih dirahmati ALLAH. Di samping itu, anda juga bakal memperbanyakkan pahala kerana melakukan pelbagai perkara baik.
LIMA PERKARA YANG DISARANKAN UNTUK DAPAT BANYAK PAHALA:
PERBANYAKKAN BERSEDEKAH
Sedekah ialah situasi kita berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan. Masukkan wang ke dalam tabung masjid atau berikan wang kepada anak yatim yang susah. Hal ini sangat dituntut kerana dalam rezeki kita sebenarnya ada rezeki orang lain.
Bersedekah membuatkan jiwa kita lebih tenang. Orang yang bersedekah, maka rezekinya semakin murah. Ada yang mengatakan jangan tunggu kaya untuk bersedekah. Sebaliknya bersedekahlah untuk anda menjadi lebih kaya. Sebelum berkahwin, banyakkan bersedekah supaya anda lebih bersyukur kerana semakin hampir berkahwin dengan bakal jodoh anda.
BERSIHKAN DOSA
Sebelum berkahwin, pastikan anda membersihkan ‘jiwa’ dengan memperkukuh ibadat wajib dan diperkemaskan lagi dengan ibadat sunat. lakukan solat hajat, solat taubat dan juga perbanyakkan mengaji al-Quran. Mohon ampun dengan ALLAH di atas dosa yang anda pernah lakukan sebelum ini. Selain itu, pembersihan dosa juga boleh dilakukan dengan meminta maaf daripada orang yang pernah anda sakiti.
PERBETUL BACAAN AL-QURAN
Bagi mendapatkan pahala, bacaan al-Quran hendaklah betul sebutannya. Justeru, luangkan masa dengan mengaji al-Quran dengan lebih kerap. Jika perlu, pergilah berguru demi memperbetulkan bacaan anda. Hal ini kerana suami perlu mengaji dan mendidik isteri mengaji al-Quran. Begitu juga jika anda mempunyai anak nanti. Perlu didik anak mengaji al-Quran.
TINGKATKAN KESYUKURAN
Bakal berkahwin tidak lama lagi, justeru wajarlah anda bersyukur kerana bakal mempunyai pasangan hidup. Lihat sekeliling, betapa ramai lagi individu yang masih membujang. Mereka tidak pasti di manakah jodoh berada dan entah bila akan dapat berkahwin.
Jangan pula membandingkan bakal jodoh anda itu dengan orang lain yang tinggi darjatnya. Bersyukur dengan apa yang ada di depan mata. Belajarlah bersikap ikhlas dan lihatlah pasti kebahagiaan akan datang.
LENGKAPKAN DIRI DENGAN ILMU
Sebelum mendirikan rumahtangga, sila lengkapkan diri dengan ilmu. Berada di majlis ilmu menjadikan diri anda menerima pahala kerana menuntut ilmu. Pasangan yang hendak berkahwin perlu hadir kursus praperkahwinan yang selalu dipanggil kursus kahwin.
Hal ini sangat bagus kerana bakal suami dan isteri mendapat ilmu kekeluargaan. Namun alangkah bagusnya jika anda mempunyai inisiatif sendiri dengan mendapatkan ilmu tambahan. Boleh sahaja tanyakan pada individu berpengalaman ataupun mendengar ceramah di masjid yang selalu mengadakan usrah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Walaupun Rasulullah SAW Seorang Panglima Perang, Tapi Sisi Romantik Baginda Tetap Terserlah
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati.
Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah srikandi rumahtangga baginda Nabi SAW.
Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah ini tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya.
Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
SUAMI TAK SEPATUTNYA GARANG/BENGIS
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluangkan masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW.
Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati.
Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
SUKA BERGURAU SENDA DAN ROMANTIS
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber: Imam Muda Asyraf Redzuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Jodohmu Sudah Diatur Allah, Jadi Tak Usahlah ‘Mendesak’ Bila Si Dia Akan Datang Melamar
Jodohmu sudah diatur, dan siapa yang mengaturnya? Tentu sahaja Allah yang berkuasa ‘memasangkan’ hamba-hambaNya untuk berjodoh.
Maka buat yang masih lagi sendiri, tidak usahlah terus bertanya bila si dia akan datang menemuimu.
Tidak usah terus bertanya bila dia akan menghampirimu, dan tidak usah terus bertanya bila si dia akan datang bertemu ayahmu.
Sesungguhnya semua telah ada waktunya maka tunggu sahaja sampai Allah percaya bahawa kamu sudah memerlukan kehadirannya.
BERBAIK SANGKA DENGAN ALLAH
Allah sangat sempurna melihat hatimu, keperluanmu, dan apa yang terdetik dalam benakmu, maka pastikan kamu terus berbaik sangka dulu kepadaNya. Ketika menurut Allah kamu sudah memerlukan teman hidup, maka pasti Allah akan menghantarkanmu seorang jodoh dengan jalan terbaik.
Jodoh tidak pernah salah alamat. Tidak akan pernah tersasar kepada orang lain jika memang si dia telah Allah tuliskan untuk hidup bersamamu. Oleh itu percayalah kepada Allah. Tetaplah bersabar, ikhlas, dan yakin bahwa bila memang sudah tiba waktunya pertemuan itu akan menjadi kenyataan.
Selama mana pun kamu menunggu si dia datang, semuanya memang sudah Allah atur sempurna. Maka si dia tidak akan datang terlalu cepat dan tidak akan terlambat, kerana pasti kedatangannya tepat pada waktu.
PERANCANGAN ALLAH
Untuk itu, tidak usah berasa resah, bersedih, dan putus asa bila belum juga berjumpa jodohmu. Bersabarlah! kerana pasti Allah sedang mempersiapkan sesuatu agar pertemuanmu lebih indah.
Jangan pernah bimbangkan rencana Allah, sebaik apapun rencanamu pasti akan tetap kalah dengan rencanaNya yang selalu luar biasa.
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Majlis Perkahwinan Tanggungjawab Suami Atau Mertua
Hari perkahwinan adalah hari paling bahagia yang dinanti-nanti oleh bakal pasangan mempelai untuk mengikat hubungan cinta ke peringkat yang lebih rasmi. Kenduri kahwin pula diadakan bagi meraikan tetamu yang datang ke memeriahkan hari bahagia pasangan mempelai.
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing. Riwayat Muslim (1427)
Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan. Meskipun begitu, para ulama berbeza pendapat kepada implikasi tuntutan tersebut, sama ada ia membawa kepada hukum wajibnya majlis walimah ataupun hukumnya adalah sunat sahaja.
Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: “Kata perintah membawa hukum wajib’’.
Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.
Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Oleh kerana itu, Imam Abu Dawud dalam menukilkan hadis-hadis walimah ini beliau letakkan di bawah tajuk:
باب فِي اسْتِحْبَابِ الْوَلِيمَةِ عِنْدَ النِّكَاحِ
Iaitu “Bab Pada Menyatakan Sunatnya Walimah ketika Perkahwinan’’.
Demikian juga dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji menyebut: “Hukum walimah adalah sunat muakkad’’.
Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.
Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib. Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama. Namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.
MAJLIS PERKAHWINAN TANGGUNGJAWAB SIAPA
Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.
Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri. Lalu beliau menyatakan: “Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi SAW kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.
Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).
Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis arahan Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas. Ini kerana, baginda SAW menyatakan kepada beliau أولم (lakukanlah walimah). Namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf أولموا (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan). Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki.
Selain itu, kenikmatan (perkahwinan) pada hak seorang suami adalah lebih besar berbanding kenikmatannya pada hak seorang isteri. Demikian juga menjadi kebiasaan bahawa orang lelaki yang melamar dan meminta seorang perempuan untuk menjadi isterinya, serta sangat jarang berlaku orang perempuan yang meminta orang lelaki mengahwininya.
Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah SWT
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur. Surah Saba’ (13)
Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.
Manakala berkaitan isu majlis walimah yang dilakukan oleh pihak mertua iaitu bapa pengantin perempuan sebagai contohnya, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri: ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami dan wali, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki).
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.
Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Kami turut menyatakan, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.
Begitu juga kami nasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI