Nelydia mohon maaf, akui masih baru berhijrah. “Doakan saya agar diberikan iman yang kuat untuk kekal berhijab.’ Itulah luahan hati Nelydia Senrose yang mengakui dirinya yang masih baru dalam penghijrahan seterusnya memohon maaf atas segala kekhilafan yang berlaku.
Benarlah hati manusia berubah-rubah, begitu juga dengan figura ini. Dirinya juga tak lari daripada melakukan kesilapan dalam hidupnya seperti orang lain. Manusia mana yang sempurna, begitu juga dia.
Doakan Saya, Agar Diberikan Iman Yang Kuat Untuk Kekal Berhijab
“Sebagai manusia adakalanya iman kita ada turun dan naik. Ia bukan satu perkara yang mudah bagi seseorang yang baru berhijab untuk kekal istiqamah.
“Saya percaya apa yang dilakukan (berhijab) ini adalah yang terbaik. Cuma saya perlu teguh dengan pendirian ini. Insya-Allah dan doakan saya menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari,” ungkapnya.
Pelakon dan pengacara, Diana Amir sudah berhijrah sejak dari tahun 2011 lagi. Sebaik melakukan penghijrahan dia memang mengubah penampilan dan sikapnya menjadi 360 darjah.
Diana Amir yang melakukan penghijrahan turut yang mengakui hidupnya kini semakin mendapat ketenangan.
Walaupun begitu sebagai selebriti, Diana tetap mengutamakan penampilan untuk sentiasa kelihatan cantik. Diana Amir tidak lokek berkongsi cantik cara Islam yang diamalkannya.
Menurut Diana dalam agama Islam sendiri memang amat mementingkan kebersihan. Jadi secara tak langsung kita akan menjaga kebersihan diri. Ini kita boleh lihat apabila perlu mengambil wuduk dahulu sebelum bersembahyang lima kali sehari.
Jika kita mengambil wuduk dengan sempurna memang diri akan bersih. Ini kerana daripada situ (mengambil wuduk) kita membersihkan muka dan kaki dan secara tak langsung itu juga sebahagian daripada menjaga kebersihan.
Dia juga turut memastikan sebelum masuk tidur Diana akan membersihkan wajah terlebih dahulu. Tidak akan sesekali terus tidur tanpa membasuh wajah dengan bersihnya.
Selain itu petua lain diamalkan adalah perlunya menjaga stamina dengan melakukan senaman bagi mengekalkan tubuh supaya kekal sihat dan cergas.
Ibu kepada tiga cahayamata ini juga turut berkongsi amalan kerohanian bagi membuatkan wajah seseorang itu kekal berseri dan bercahaya.
Menurut Diana lagi kecantikan itu penting bermula dari dalaman dengan hati dan jiwa yang tenang. Ketenangan itu akan datang pada seseorang bila kita sentiasa mengingati Allah.
Jangan sesekali fikir perkara yang memeningkan kepala kerana ia boleh membuatkan seseorang itu jadi cepat tua.
“Sentiasa mengingati Pencipta kita tidak kira di mana juga berada. Cara mengingati-Nya adalah dengan berzikir. Sebenarnya banyak zikir boleh diamalkan lebih-lebih diri kita ini adalah pendosa. Jadi kita perlu sentiasa memperbaiki iman dan syahadah.
“Zikir paling mudah untuk diamalkan adalah Istighfar dan Lailahaillah. Sentiasa basahkan mulut dengan zikir mulia dan inysa-Allah segala urusan akan dipermudahkan.
“Kita ingat Dia dan Dia akan mengingati kita dan hati akan memperoleh ketenangan yang paling hakiki, lebih-lebih apabila berada dalam kesusahan,” jelas Diana.
Kita biasa terbaca berita adik beradik beradik bergaduh kerana berebut harta pusaka ditinggalkan ibu bapa.
Ada sebahagian yang tidak berpuas hati dengan cara pembahagiannya dan barangkali ada yang tertanya-tanya kenapa bahagian perempuan kurang dari anak lelaki.
Dalil pensyariatan pembahagian harta pusaka ini ada disebut dalam surah An-Nisa ayat 11 iaitu:-
Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 11)
Tapi bukan semua adik beradik “tamak” soal harta faraid ini sebaliknya satu perkongsian dari Zakiah Ariffin di Tik Toknya @zakiahpriety wajar dijadikan contoh terbaik. Ini kerana selepas pemergian arwah mamanya, kesemua 12 beradik ini mendapat bahagian masing-masing selepas harta mamanya itu difaraidkan.
Tapi sikap dan keakraban mereka adik beradik buat ramai terharu bila mana kesemua 12 beradik ini duduk berkumpul dan masing-masing menyatakan pendirian untuk menyerahkan bahagian masing-masing kepada bapa mereka atas dasar kasih sayang. Dan redha di atas harta tersebut diserahkan kepada bapa yang sangat mereka kasihi.
Tindakan ini dilakukan agar setiap sen wang tersebut dapat disalurkan ke jalan kebaikan (digunakan untuk membina Dewan Selawat) dan ia menjadi gedung pahala berterusan buat arwah mama mereka.
Benarlah jika didikan orang tua itu baik kepada anak-anak, tiada apa yang manusia harapkan selepas meninggal iaitu amal jariahnya, ilmu yang bermanfaat dan ketiganya doa anak yang soleh.
Kongsinya lagi, “mama, sesungguhnya engkau ibu yang paling mulia di sisi kami anak-anakmu. Terima kasih atas segalanya. Semoga Allah menempatkanmu di syurga tanpa hisab. Pergimu meninggalkan kesan yang sangat mendalam,”kongsinya lagi.
Semoga semua kebaikan ini menjadi teladan buat kita semua kerana harta benda boleh dicari tapi kasih sayang pada ibu ayah tiada galang gantinya.
Forex atau disebut forex exchange ialah pasaran kewangan terbesar yang menentukan harga dan kadar pertukaran untuk setiap mata wang di dunia. Dalam pasaran ini, pengguna membeli dan menjual mata wang sebagai aset, dengan cara menukarkannya dengan satu sama lain.
Dalam tukaran mata wang ini ada banyak unsur-unsur riba dan kerana itulah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum forex haram dan ia disepakati oleh Mufti termasuk dari negara Islam sendiri.
Dalam pada itu, sejak semalam artis terkenal, Zizan Razak mengumumkan menarik diri dari dunia forex atas sebab tertentu.
Dalam perkongsiannya, Zizan tidak menyatakan dengan jelas sebab penarikan dibuat dan hanya memaklumkan niatnya itu.
“Assalamualaikum semua. Harini Zizan telah mengambil keputusan untuk menarik diri dari dunia Forex atas alasan tertentu. Doakan yang baik baik untuk Zizan dan untuk semua. Semoga Allah memberkati kita bersama. InshAllah” kongsinya.
Dalam pada itu Majlis Fatwa Kebangsaan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 1/2012 yang bersidang pada 14-15 Mac 2012 telah membincangkan Parameter Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:-
Mesyuarat menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut:-
Syarat-syarat umum jual beli:
Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);
Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;
Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:
Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.
Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Mesyuarat juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.
Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Mesyuarat mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.
Mesyuarat juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Dalam usaha mencapai khusyuk dalam solat, ada yang memilih untuk memejam mata semasa solat agar lebih fokus. Namun timbul persoalan, apakah hukum memejam mata...