‘NIAT Pewakaf Derma Untuk Bina Masjid, NGO Wajib Salur Wang Ikut Akad.’ HARAM Agih Saluran Kebajikan Lain

Share

‘Niat pewakaf derma untuk bina masjid, NGO wajib salur wang ikut akad.’ Haram agih saluran kebajikan lain. Melainkan memang sedari awal jelas akad sedekah atau derma tersebut.

Ramai antara kita pemurah dan suka menderma, namun begitu sebelum memberi sedekah kita perlu jelas dengan ‘akadnya’ kerana haram kalau niat sedekah untuk bina masjid akhirnya disedekah untuk membuat perigi.

Artikel Berkaitan:

Tak Boleh Sesuka Hati Cas Handphone Dalam Masjid, Kecuali Memang Diwakafkan Pihak Masjid

Niat Pewakaf Derma Untuk Bina Masjid

Begitulah juga sebaliknya. Ikuti perkongsian Dr Syed Shahridzan Ben-Aqil dan hadam baik-baik penjelasannya.

Iklan Jelas, Tetapi Akad Tidak Jelas

Saya terima pertanyaan seorang rakan tentang hasrat beliau untuk menderma wang sebagai wakaf pembinaan masjid di salah sebuah negara di Afrika. Iklan secara jelas menunjukkan wang yang didermakan untuk pembinaan masjid.


Namun bila merujuk borang yang disediakan, iaitu pada bahagian pengesahan dan akuan penderma lebih bersifat umum tanpa dispesifikkan pada pembinaan masjid.

Apa yang merisaukan beliau duit wakaf yang beliau salurkan tidak sampai kepada pembinaan masjid kerana berdasarkan akuan penderma membenarkan wang derma itu disalurkan di mana-mana saluran kebajikan selain pembinaan masjid.

NGO Wajib Salur Wang Ikut Akad

Soalannya adakah ini menyalahi hukum syarak?

Jawapan saya, segala pengkhususan wang wakaf atau sedekah di saluran tertentu seperti mana yang diniatkan oleh pewakaf/penderma, maka pihak wakil, iaitu NGO yang bertanggungjawab WAJIB menyalurkan pengkhususan derma/wakaf itu berdasarkan niat si pewakaf/penderma.

Sebagai contoh niat pewakaf menderma untuk pembinaan masjid, maka wakil WAJIB salur wang derma itu pada pembinaan masjid dan HARAM diagihkan pada saluran kebajikan yang lain. Niat pewakaf itu dinilai melalui akad si pewakaf/penderma.

HARAM Agih

Merujuk kepada lafaz pengesahan dan akuan yang disediakan di dalam borang, kalau ikut hukum pihak NGO berhak menyalurkan derma itu di mana-mana saluran kebajikan di Afrika.

Ini kerana lafaz akuan tersebut seolah pihak penderma bersetuju agar wang itu tidak semestinya disalurkan pada pembinaan masjid, iaitu ia boleh disalurkan selain daripada itu.

Beliau bertanya lagi, adakah ini dikira sebagai helah pihak NGO? Saya tidak sifatkan ia sebagai helah yang negatif. Apa boleh disangka baik, mengapa akuan/akad penderma itu tidak dispesifikkan pada pembinaan masjid?

Saluran Kebajikan Lain

Berkemungkinan nanti wang kutipan pembinaan masjid telah mencukupi dan melebihi daripada keperluan, maka wang lebihan itu boleh diagihkan pada saluran-saluran kebajikan yang lain. Namun tidak dinafikan bagi saya ia agak mengelirukan penderma.

Akhirnya beliau mengambil keputusan tidak menderma melalui portal NGO ini kerana bimbang niatnya untuk wakaf masjid tidak ditunai. Beliau akan mencari mana-mana NGO yang benar-benar jelas akadnya untuk wakaf masjid.

Wallahu A’lam

Baca Di Sini:

Penipuan Perigi Wakaf Di Kemboja, Gambar Pam Sekadar Replika & Tahu Rakyat Malaysia Pemurah

Kashoorga: Nak menderma pun kena berhati-hati sebab wujud juga scammer yang cuba mengambil kesempatan.

Sumber: Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat