Kebiasaannya setiap pengantin lelaki yang berkahwin akan menghadiahkan sesuatu yang bernilai sebagai hadiah mas kahwin untuk isteri tercinta.
Ini adalah sebagai hadiah kepada wanita ini kerana bersedia untuk menerima dirinya sebagai suami dan melayari hidup berumah tangga bersama-sama.
Namun lain pula ceritanya yang berlaku di tanah seberang, Indonesia. Ternyata rasa cinta itu lebih besar nilainya daripada pemberian lain.
Menurut Harian Metro, di Lombok, melaporkan seorang wanita, Helmi, 20 tahun yang juga seorang model Muslimah meminta Selipar Jepun dan segelas air saja sebagai pemberian mas kahwin kepada dirinya.
Dikatakan wanita ini berbuat demikian kerana tidak mahu membebankan suaminya, Yudi Anggata, 24 tahun. Keduanya sah diijab kabulkan sebagai pasangan suami isteri kelmarin.
Kisah pasangan itu mendapat perhatian ramai selepas video perkahwinan mereka tular di laman sosial.
Rakaman video itu menunjukkan Yudi memakai kemeja putih dengan kain sarung berwarna merah.
Dia dilihat beberapa kali melafazkan akad nikah sebelum disahkan sebagai suami isteri. Helmi duduk di sebelah kiri lelaki itu sambil tersenyum melihat pasangannya itu.
Selesai akad nikah, Helmi dilihat meminum air di dalam gelas berwarna coklat. Menurut Helmi, selipar Jepun dan segelas air itu adalah permintaannya sendiri.
“Saya memilihnya (selipar Jepun dan segelas air) sebagai mas kahwin kerana tidak mahu membebankan suami dan keluarganya.
“Tiada alasan lain dan saya minta selipar jepun itu diletakkan di dalam bekas.
“Sekurang-kurangnya pemberian suami itu akan menjadi kenangan yang boleh diceritakan kepada anak kami nanti,” katanya.
Bercerita tentang cara perkenalan mereka, mereka mula berkenalan di media sosial semasa Helmi bekerja di Arab Saudi, dan mereka memutuskan untuk bernikah selepas berjumpa di tanah air.
Jelas Helmi, dia tidak mahu menyusahkan suaminya dalam menyediakan mahar yang membebankan. Yudi sebelum ini pernah bernikah tiga kali sebelum bertemu dengan Helmi.
Artikel Berkaitan: Suami Beri Senaskhah Al-Quran Sebagai Hadiah Mas Kahwin Pada Emma Maembong Di Majlis Pernikahan. So Sweet!