Bagi anak yang sudah ketiadaan orang tua pasti akan terselit doa untuk mereka dalam setiap solat agar dosa ibu bapa diampunkan dan ditempatkan dalam penghuni syurga.
Tapi selain doa ini ada juga yang mengamalkan membaca al-Quran dan meniatkan pahalanya ibu bapa. Menjadi persoalan adakah pahala yang diniatkan ini sampai kepada orang yang telah meninggal dunia.
Perkara ini juga ditanyakan oleh seorang netizen dan persoalan tersebut dijawab oleh  Mufti Perlis.
Adakah pahala bacaan al-Quran sampai kepada orang yang sudah meninggal? Bolehkah kita baca al-Quran meniatkan pahalanya untuk ibubapa atau kawan yang sudah meninggal?
Perkara khilaf kalangan ulama
Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama. Ini kerana dalil-dalil dalam masalah ini boleh difahami sebagai sampai, dan boleh juga sebagai tidak sampai. Maka ulama pun berbeza pendapat.
Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi dalam Al-Azkar:
واخْتَلف العلماءُ في وُصولِ ثوابِ قِراءةِ القرآن، فالمشْهورُ مِن مذهب الشافعي وجماعةٍ، أنّه لا يَصِل.وذهب أحمدُ بن حنبل وجماعةٌ مِن العُلماء، وجماعةٌ من أصْحابِ الشافعي، إلى أنّه يَصِل، فالاخْتِيار أنْ يقولَ القارِئُ بعد فِراغِه: اللهمّ أوصلْ ثوابَ ما قَرأْتُه إلى فلان، والله أعلم
“Para ulama berbeza pendapat tentang kesampaian pahala bacaan al-Quran (kepada si mati). Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafii dan para ulama yang lain ia tidak sampai. Pendapat Ahmad bin Hanbal dan sejumlah ulama, juga pendapat  ashab (sejumlah tokoh-tokoh utama Mazhab) al-Syafii bahawa ia sampai. Dicadangkan untuk pembaca (al-Quran) tersebut menyebut selepas selesai  bacaannya: Ya Allah! Sampaikan pahala apa yang aku telah baca kepada si fulan (nama)”. (al-Nawawi, al-Azkar, m.s 232. Damsyik: Maktabah al-Ghazali).
Antara yang menyokong pendapat pahala bacaan al-Quran sampai kepada si mati ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, 5/363. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Jika kita lihat, dari segi penghujahan, pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai pahalanya kepada si mati merupakan pendapat yang kuat. (sila lihat: al-Hajilan, al-Ahkam al-Fiqhiyyah al-Khassah bi al-Quran al-Karim, m.s 508. Saudi: Dar Ibn al-Jauzi).
Pun begitu, ini tidaklah memperkecilkan pendapat al-Imam al-Syafii r.h dan lain-lain yang menyatakan tidak sampai pahala bacaan al-Quran yang diniatkan untuk si mati. Setiap pihak berdiri atas hujah masing-masing yang mempunyai asas penghujahan mereka.
Sampai jika Allah memustajabkan doanya
Bagi yang mengamalkan, itu antara dia dengan Allah. Bagi yang menolak, banyak lagi cara lain untuk menolong si mati seperti doa yang jelas dalilnya disebut dalam al-Quran dan Sunnah, atau sedekah harta yang disebutkan dalam hadis.
Apapun, apabila seseorang membaca al-Quran lalu memohon agar Allah menjadikan pahala bacaan untuk si mati, jika Allah mustajabkan doanya maka pahala itu diperolehi oleh si mati. Jika tidak, pahala itu  diperolehi oleh yang membaca.
Syarat untuk semua itu, ikhlas bacaan bukan kerana harta atau bayaran. Jika tidak ikhlas tiada pahala. Jika tiada pahala, tiada apa pun yang boleh dihadiahkan kerana yang tidak memiliki tidak dapat memberi.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI