Kerohanian

Nisfu Syaaban, Tiga Amalan Yang Boleh Dilakukan Malam Ini Selepas Solat Maghrib

Share

Nisfu Syaaban menandakan masuknya pertengahan bulan yang mendekati Ramadan. Inilah bulan persediaan kita dalam membentuk diri menjadi mukmin yang lebih baik termasuk dalam menahan hawa nafsu.

Malam Nisfu Syaaban yang jatuh pada malam ini selepas adalah malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Menurut sebuah hadis daripada Mu’az bin Jabal r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan” (HR Ibnu Hibban, hadis sahih)

Meski tiada amalan khusus yang ditetapkan pada malam ini namun alangkah eloknya pada malam ini kita menambah amal ibadah kita.

Memetik daripada perkongsian Ustazah Asma’ Harun dalam satu hantaran di media sosial beliau ada tiga amalan yang dicadangkan untuk kita lakukan pada malam Nisfu Syaaban

1. Menunaikan solat sunat tasbih

Daripada Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda:

يَا عَبَّاسُ يَا عَمَّاهُ أَلَا أُعْطِيكَ أَلَا أَمْنَحُكَ أَلَا أَحْبُوكَ أَلَا أَفْعَلُ بِكَ عَشْرَ خِصَالٍ إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ قَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ خَطَأَهُ وَعَمْدَهُ صَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ سِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ عَشْرَ خِصَالٍ أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ وَسُورَةً فَإِذَا فَرَغْتَ مِنْ الْقِرَاءَةِ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ وَأَنْتَ قَائِمٌ قُلْتَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَسْجُدُ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ فَتَقُولُهَا عَشْرًا فَذَلِكَ خَمْسٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ تَفْعَلُ ذَلِكَ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً

Maksudnya: “Wahai bapa saudaraku Abbas, Aku ingin memberikan engkau sesuatu. Aku sangat mencintai engkau. Aku ingin engkau melakukan sepuluh sifat yang mana jika engkau melakukannya Allah akan mengampunkan dosa engkau yang pertama dan terakhir, yang terdahulu dan yang terkemudian, yang sengaja dan yang tidak sengaja serta (dosa) yang rahsia dan yang terang-terangan.

“Sepuluh sifat tersebut adalah engkau solat sebanyak 4 rakaat. Engkau baca pada setiap rakaat al Fatihah dan surah lain. Apabila engkau sudah selesai membacanya di rakaat pertama, dan ketika itu engkau masih berdiri maka ucapkanlah: Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahu Akbar 15 kali kemudian engkau rukuk dan bacalah (zikir tersebut) 10 kali.

“Kemudian engkau bangkit dari rukuk dan bacalah 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah 10 kali. Kemudian engkau bangun dari sujud bacalah 10 kali. Kemudian engkau sujud semula, bacalah 10 kali. Kemudian engkau bangun dari sujud, bacalah 10 kali. Kesemuanya adalah 75 kali yang engkau lakukan sebanyak 4 rakaat.

“Kalau engkau mampu untuk menunaikannya maka lakukanlah sehari sekali. Jika tidak mampu maka lakukan pada setiap hari Jumaat (seminggu sekali). Kalau tidak mampu juga lakukanlah sebulan sekali. Jika tidak mampu lakukanlah sekali seumur hidupmu.” (HR Abu Daud, al-Tirmidzi dan Ibnu Majah, hadis sahih)

Tatacara solat sunat tasbih

i) Niat Solat Sunat tasbih. Lafaz niatnya:

أُصَلِّى سُنَّةَ التَّسْبِيحِ رَكْعَتَين لله تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

ii) Membaca surah al-Fatihah

iii)Menyebut bacaan tasbih ketika:

– Selepas baca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah lain: 15 kali tasbih

– Rukuk: 10 kali tasbih

– I’tidal: 10 kali tasbih

– Sujud pertama: 10 kali tasbih

– Duduk antara dua sujud: 10 kali tasbih

– Sujud kedua: 10 kali tasbih

– Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk diantara 2 sujud: 10 kali tasbih.

iv) Bacaan tasbih:

سُبْحَانَ الله وَالحَمْدُ لِلّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا الله وَاللهُ أَكْبَرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.”

V) Sekiranya terlupa membaca tasbih di satu-satu tempat, boleh digantikan pada rukun solat yang seterusnya.

2. Banyakkan selamat ke atas Nabi Muhammad SAW

Pada bulan Syaaban juga diturunkan ayat dianjurkan berselawat kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sungguh Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kalian untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56)

3.Membaca surah Yasin tiga kali

Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nabulsi, seorang mufti di Damsyik pada abad ke-16 menyebutkan di dalam kitabnya, Fadhail al-Ayyam wa asy-Syuhur, antara amalan orang-orang soleh pada malam ini adalah dengan membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat fardhu Maghrib.

Sekiranya tidak sempat melakukannya selepas solat Maghrib, maka lakukannya selepas Solat Isyak.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Artikel berkaitan: Hukum Berpuasa Selepas 15 Syaaban, Hanya Dibenarkan Kepada Golongan Ini

 

Published by
Team Kashoorga