Ramai mak ayah selalu terfikir tentang masa depan anak-anak. Tak hairanlah mereka sering menyimpan konon demi masa depan anak-anak tanpa menyedari tidak meninggalkan apa-apa sebagai bekalan akhirat.
Baca perkongsian dari Ustaz Hanafi berkaitan hal ini. Katanya jadilah orang cerdik di dunia untuk kesenangan akhirat.
Petang-petang ni ustaz nak kongsi pentingnya ada harta yang bermanfaat untuk diri kita selepas mati.
Kalau ada RM100 ribu dalam akaun, dah tak guna bila meninggal dunia. Kecuali anak kita ada kesedaran dia wakafkan duit tu ke jalan agama. Ini duit dalam akaun banyak.
“Kenapa banyak lagi duit tu haji?”
“Untuk simpanan hari tua ustaz.” Jawabnya
“Berapa umur haji?” saya tanya.
“80 tahun ustaz.” Jawab dia selamba.
80 tahun tu dah hari tua dah tu.
Allah..
Tuan puan, orang cerdik duit tu wakafkan kepada masjid, surau, pondok, tahfiz dan kerja-kerja kebajikan. Orang tak cerdik, dia sibuk fikir nak berikan pada anak. Anak-anak pula tholeh, bukan soleh.
Ingat, jadikan duit yang datangkan manfaat bila meninggal. Tulis wasiat pergi cari lawyer upah untuk buat wasiat. Bukannya mahal pun. Barulah anak tu sedar diri.
Saya tengok seorang lelaki tua, tentera zaman British paling lama makan pencen. Jaga isteri dia start umur 60 tahun. Dia jaga isteri dia sampai umur 70 tahun. Umur dia tua 10 tahun daripada isteri.
Sepanjang 10 tahun boleh kira anak 9 orang balik berapa kali. Raya pun tak balik. Tiba-tiba mak meninggal. Habis je kenduri, anak-anak tanya ayah.
“Ayah, macam mana semua harta sepeninggalan mak tu. Ayah kena bahagikan ikut faraid.
Anak-anak perempuan pula tak setuju ikut faraid.”
“Aku ni bengkak-bengkak mata menangis, kekasih hati meninggal dunia. Kamu, anak yang lahir daripada perut isteri aku, kamu boleh tanya apa yang ditinggalkan?” Balasnya dengan suara terketar-ketar menahan sedih.
“Tak apa, esok 11.30 pagi peguam datang dan dengar apa yang peguam akan terangkan.” Sambungnya lagi berlalu pergi. Esoknya, peguam pun datang.
“Harta si mati telah diwakafkan kepada tahfiz. Malah rumah yang pakcik ni duduk, kalau mati nanti juga akan diwakafkan menjadi tahfiz Al-Quran.”
Panjang lebar lagi yang peguam terangkan.
Ya Allah! Hancur harapan anak-anaknya.
Yang best pakcik ni jaga isterinya 10 tahun jaga.
Ustazah yang mandikan makcik ni kata, bersih badan isterinya tak ada kudis pun walau sakit lumpuh. Maksudnya suami jaga betul-betul sangat isterinya.
Sejak hari tu, si suami berulang-alik ke kubur di Danau Kota, setiap hari selepas Solat Subuh selama 3 bulan. Cukup-cukup 3 bulan, orang jumpa suaminya meninggal dunia di atas kubur isteri.
Taqwa sama dengan isterinya. Suami juga mewakafkan seluruh harta kepada pihak masjid.
Kadang kala nak ajar anak lupa diri ni memang kena cara macam tu. Nampak kasar tapi pendidikan sampai akhirat, biar mereka ingat.
Nak buat macam mana, masa hidup dah benci, masa mati memang anaknya lagilah benci.
Jangan salah faham, nasihat ustaz sekarang ni, FOKUS URUS HARTA SEBAIKNYA sebaiknya bukan sahaja untuk seronok di dunia bahkan untuk KESENANGAN AKHIRAT.
Buat wakaf. Buat infak berkala. Jangan risau rezeki anak-anak.
Harta yang paling penting untuk ditinggalkan kepada mereka ialah ilmu yang bermanfaat. Daripada ilmu itu mereka ikhtiar hidup, kumpul rezeki insyaAllah manfaat berpanjangan.
Rasa bersalah jika harta kita tidak membantu di alam sana.
Jangan takut anak-anak tak ada rezeki mereka sebab Allah dah siapkan rezeki setiap manusia.
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.” Surah Hud : 6.
Rasulullah s.a.w bersabda,
“Allah telah mencatat takdir setiap makhluk 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.” Hadith Riwayat Muslim.
“Seandainya kalian semua bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki pada burung. Burung keluar (mencari makan) di waktu pagi dalam kedaan perut kosong dan pulang di waktu petang dalam keadaan kenyang”.Hadith Riwayat Tirmidzi.
Ingat rezeki Allah luas. Jadikan ia asbab untuk kita bahagia di dunia dan akhirat. Jangan jadi orang yang rugi, harta untuk kesenangan dunia sahaja. Audit semula kewangan.
Berapa yang aku infaqkan untuk jalan Allah supaya dapat aku bersenang-senang di akhirat sana?
#UstazHanafiMalek