Orang Islam haram makan ulat sagu, ini penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri mengapa umat Islam dilarang memakan ulat sagu atau dikenali juga dengan nama ulat mulong.
Butod merupakan sejenis ulat yang boleh didapati di dalam batang pokok Rumbia yang sedang reput. Ianya juga dikenali sebagai ulat Sagu (Bahasa Melayu) dan ulat Mulung (di Sarawak).
Ulat ini menjadi makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah dan sering dihidangkan semasa hari-hari istimewa seperti Pesta Menuai atau Pesta Makanan. Butod boleh dimakan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu supaya ranggup dimakan.
Ulat ini dikatakan mempunyai kandungan protein yang tinggi dan baik untuk kesihatan. Bagi yang beragama Islam, ianya haram dimakan kerana Butod merupakan salah satu spesis ulat.
Artikel Berkaitan:
Soalan:
Apakah hukum makan ulat sagu, yang dikenali juga sebagai ulat mulong?
Jawapan:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’”
Begitu juga firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’”
Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya.
Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.
Ulat sagu tergolong dalam jenis ulat. Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kami datangkan pendapat para ulama berkenaan hukum memakan ulat.
Pada asasnya, dalam mazhab Syafi‘i, hukum memakan ulat adalah diharamkan melainkan ulat yang berada dalam keju, cuka, kacang hijau, buah-buahan dan seumpamanya yang terdiri daripada makanan, yang mana ulat-ulat berkenaan lahir daripada bahan-bahan suci tersebut.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berkenaan kehalalan ulat ini iaitu pendapat pertama, ia adalah halal untuk dimakan. Pendapat kedua pula, ia adalah haram untuk dimakan.
Manakala pendapat ketiga, ia halal dimakan bersama makanan yang ia lahir daripadanya, bukan secara terasing kerana haram memakannya secara terasing.
Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan bahawa mengikut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, dihalalkan untuk memakan ulat yang dilahirkan daripada makanan seperti cuka, keju dan buah-buahan, hanya jika ia dimakan secara bersama.
Begitu juga hukumnya apabila ia mati — dalam makanan itu — yakni halal untuk dimakan mengikut pendapat yang kuat. Hal ini kerana kesukaran untuk mengasingkannya.
Sebahagian ulama terkemudian menyandarkan hukum daging yang berulat dengan hukum buah-buahan — yang mengandungi ulat. Berdasarkan kepada ‘illah ini, maka jika ia mampu atau mudah untuk diasingkan seperti ulat yang berada dalam epal, maka haram untuk memakannya secara bersama.
Ibn Syahbah berkata bahawa itulah pendapat yang zahir, yakni apabila tidak kesukaran untuk membezakannya.
Di samping itu, terkeluar daripada lafaz “مَعَهُ” (yakni memakan ulat secara bersama dengan makanan itu), bagi kes memakan ulat secara berasingan. Hal ini kerana hukumnya adalah haram disebabkan oleh kenajisan bangkainya dan juga kejijikannya.
Begitulah juga — yakni haram hukumnya — jika ulat itu diangkat ke tempat yang lain sebagaimana disebutkan oleh al-Bulqini, atau ulat itu pergi dengan sendiri ke tempat lain, kemudian ia kembali semula ke sarangnya (dalam buah itu) selepas ia dapat dipelihara daripadanya seperti mana yang dibahaskan oleh sebahagian ulama terkemudian.
Pendapat kedua pula mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah. Manakala pendapat ketiga mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu dikira sebagai bangkai.
Di samping itu, Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) juga ada menyatakan bahawa memakan ulat sagu (mulong) adalah haram dan dilarang dalam Islam kerana ia dianggap jijik.
Dalam mengkategorikan sesuatu itu jijik fuqaha menentukannya berdasarkan uruf masyarakat setempat. Oleh kerana masyarakat Islam Malaysia mengkategorikan bahawa ulat adalah daripada haiwan yang menjijikkan (khabis) dan kotor termasuklah juga Ulat Mulong.
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa ulat sagu (mulong) haram dimakan kerana ia dianggap jijik sebagaimana pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak, bertarikh: 20 November 2014.
Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya:
“Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
Baca Di Sini:
Boleh Ke Makan Makanan Dimasak Oleh Bukan Islam & Tempat Itu Ada Jual Arak?
Kashoorga: Pegang atau sentuh tak apa, jangan sesekali makan ya!
Sumber: Dr Zulkifli Al-Bakri
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.