‘Orang lain duduk, lelaki ini terpaksa akad nikah sambil baring.’ Kuatkan diri, demi halalkan kekasih hati. Inilah yang dinamakan bila sudah jodoh, tak akan ke mana.
Bayangkan ketika pengantin lelaki lain duduk di hadapan ‘tok kadi’ untuk akad nikah, lain pula bagi Mohammad Syauqi Kasim yang terbaring menahan kesakitan ketika menyempurnakan upacara itu.
Artikel Berkaitan:
Bagaimanapun, Mohammad Syauqi, 31, kuatkan dirinya demi menghalalkan Nordalilah Muhammad Rosli, 29, yang sah menjadi isterinya, kelmarin.
Kisah Mohammad Syauqi mendapat perhatian netizen selepas videonya terbaring di atas katil ketika majlis akad nikah tular di laman sosial.
Memetik laporan Harian Metro, berkongsi kisah di sebalik video itu, Mohammad Syauqi yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat jelaskan, dia terbabit dalam kemalangan.
Kemalangan tersebut berlaku pada 5 Februari lalu ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari kampung halamannya di Kedah ke ibu kota.
Akibat kemalangan itu, peha Mohammad Syauqi terhentak tangki motosikal hingga tulang pelvisnya patah dan buat masa ini belum boleh berjalan serta menggunakan peralatan ortopedik sementara (External Fixator).
Meskipun begitu, Mohammad Syauqi dan Nordalilah sepakat untuk meneruskan majlis seperti yang dirancang dan bersyukur semuanya berjalan lancar dengan izin Allah.
“Hari nikah tempoh hari, saya tetap gementar, sama saja seperti orang lain.
“Perkara yang paling saya nak buat adalah sambut tetamu, ahli keluarga dan rakan malah kalau boleh, nak bersanding sebelah isteri serta abadikan detik indah ketika itu.
“Bagaimanapun, saya sekadar dapat ‘sanding’ sebelah isteri dalam keadaan saya di atas katil saja namun itu pun sudah cukup bahagia buat saya,” katanya.
Berhubung video yang tular, Mohammad Syauqi berkata, ia dimuat naik salah seorang rakannya.
“Dia (rakan) muat naik di TikTok, kami pun tak tahu pada awalnya namun terharu selepas tengok video perkongsiannya itu.
“Terkejut juga apabila kisah perkahwinan saya tular hingga rakan ‘tag’ di hantaran yang ada perkongsian kisah kami,” katanya.
Sementara itu, Nordalilah juga bersyukur kerana dia dan Mohammad Syauqi akhirnya sah bergelar suami isteri walaupun berdepan ujian menjelang hari perkahwinan.
Tambah Nordalilah, dia tahu suaminya kuat semangat dan itu yang memberi kekuatan untuknya teruskan majlis pernikahan tempoh hari.
“Kami sudah berbincang dengan keluarga kedua belah pihak dan sepakat tidak tangguhkan majlis.
“Saya nampak suami sama saja seperti sebelum sakit malah tetap ceria cuma kali ini terbaring saja jadi tidak sedih sebaliknya gembira.
“Dia masih boleh tersenyum dan kami juga teruja walaupun keadaan fizikalnya tidak mengizinkan untuk bergerak.
“Ketika akad nikah, suami nampak yakin dan sempurnakan dengan sekali lafaz saja. Selepas semua yang berlaku, saya lega kerana kami berdua ditakdirkan juga jadi suami isteri,” katanya.
Dalam masa yang sama jelas Nordalilah, dia berterima kasih kepada semua yang mendoakannya dan suami.
“Saya seronok baca semua doa yang baik-baik.
“Sokongan keluarga dan rakan juga buat saya kuat sebenarnya dan semoga doa baik berbalik kepada semua yang mendoakan kami,” katanya.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Semoga pengantin lelaki cepat sihat dan bahagia di sisi isteri tercinta.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.