Orang solat adalah orang yang menjaga tiang agama, jika tidak solat, runtuhlah pegangan agama kita, boleh jadi juga hilang pahala amal kebaikan selama ini. Bab solat tidak boleh dibuat main. Jangan ingat, asalkan sudah tunaikan lima waktu solat, kita sudah dikira selamat dari api neraka? Tanggapan itu adalah SALAH!
Parah kalau berterusan begini. Yang bersolat pun belum terjamin tempatnya di syurga, apatah lagi jika tidak bersolat. Justeru itu, amat lah mustahak kita menjaga segala keperluan sah solat. Banyak perkara perlu diberikan perhatian. Kita ikuti pesanan Dai’ Luqman menerusi akaun instagramnya tentang Orang Bersolat Masuk Ke Neraka”
Hati-hati lah kita dalam mendirikan solat. Solat ini bukan setakat buat settle ja. Banyak benda yang kena ambil tahu tentang solat. Antaranya :
1. Wuduk
Perkara paling penting sebelum solat atau apa-apa ibadah yang kena ada wuduk. Tidak sah wuduk, maka tidak sahlah solat atau ibadah lainnya. Tidak sah solat, maka penat sahaja lah yang dapat.
2. Pergerakan solat
Setiap rukun fe’li harus dijalankan sempurna selagi mana mampu. Kalau tidak mampu, maka dimaafkan
3. Thoma’ninah
Berhenti sebentar selepas rukun-rukun yang ada thoma’ninah padanya iaitu rukuk, iktidal dan sujud. Cukup sekadar menyebut ‘Subhaanallah’
Salah satu hikmah kita mendirikan solat adalah untuk membentuk kita menjadi seorang yang tertib, berhati-hati dan sopan bila kita solat. Dan membawa sifat-sifat tu pada luar solat.
Orang yang benar-benar solat, sudah pasti di luar solatnya seorang yang tenang dan bersopan santun dengan makhluk lainnya. Semoga solat mampu membentuk keperibadian kita yang unggul dan baik.
Allah berfirman dalam surah al-Ma’uun ayat 4&5:
“Neraka Wil lah bagi ahli-ahli solat. Mereka yang dalam keadaan lalai ketika solat mereka”
Ads
Dan posting Dai’ Luqman mendapat banyak pertanyaan tentang solat. Berikut adalah sebahagian kecil soalan daripada netizen:
Wuduk tidak kena telapak kaki
Soalan: Dai kalau kita berwuduk tapi tak kena telapak kaki sah kah solat kita?
Jawapan: Kalau telapak kaki tu tidak ada apa-apa yang jadi penghalang daripada dia berwuduk (sakit, bersimen etc.), maka tidak sah wuduk jika tak dibasuh. Wallahua’lam
Soalan: Macam mana lah solat sebelum ni dai? Tak sah kah? Kena qada balik?
Jawapan: Dimaafkan sebab kita tidak tahu. Tapi lepas ini jangan buat lagi sebab kita dah tahu sekarang. Wallahua’lam
Terpijak kain telekung
Soalan: Ustaz nak tanya satu soalan. Masa solat dan nak bangun dari sujud, saya terpijak kain telekung sampai tercabut. Nak berhenti solat atau teruskan sahaja? Jawapan: Perbaiki secepat mungkin, teruskan solat.
Soalan: Tapi, tidak dikira banyak pergerakan kah tuan? Dalam masa nak betulkan telekung?
Jawapan: Itu adalah pergerakan yang dikira masyaqqah, bukan pergerakan tanpa keperluan yang mustahak. Wallahua’lam
Selepas dihisab, kita ke mana?
Soalan: Nak tanya, orang-orang ini akan dihisab dulu di neraka kemudian akan ke syurga atau akan kekal dalam neraka Wil? Jawapan: Proses hisab di Padang Mahsyar, sebelum penentu syurga dan neraka. Proses hisab hanya untuk Muslim, yang tidak memeluk Islam terus ke neraka. Wallahua’lam
Ads
Contengan pada anggota tidak wajib wuduk
Soalan: Ustaz, Kalau pada bahagian badan yang tidak wajib wuduk (contohnya betis ke atas siku ke atas) ada contengan pen tetapi tidak di bersihkan, adakah sah solatnya?
Jawapan: Sah, tidak ada masalah. Kalau benda bukan najis. Kalau najis wajib dibersihkan sebab salah satu dari syarat sah solat adalah pakaian bersih dari najis. Wallahua’lam
Apa maksud lalai dalam solat?
Soalan: Apa maksud orang yang lalai? Terlupa rakaat pun boleh dikira lalai tak?
Jawapan: Lalai di sini adalah solat sekadar buat, bukan solat kerana Allah. Sedangkan terlupa bilangan solat itu tidak termasuk dalam lalai, itu adalah kerana gangguan syaitan yg menimbulkan was-was bagi orang yang bersolat. Wallahua’lam
Penjagaan makhraj dalam bacaan solat
Soalan: Penjagaan makhraj huruf dalam bacaan solat tidak kira bacaan yang wajib dan sunat. Adakah akan membawa kepada batal solat jika tidak dijaga dengan baik. Seperti huruf ﺡ, ﺹ dan seumpamanya
Jawapan: Tidak membawa kepada batal solat, tetapi membawa kepada kecacatan pada solat. Dan boleh ditampung dengan pergerakan sunat dalam solat. Wallahua’lam
Soalan: Maksud boleh ditampung dengan pergerakan sunat dalam solat itu apa ya ustaz?
Jawapan: Maksudnya, perkara-perkara sunat yang kita lakukan dalam solat, contoh, baca doa iftitah, baca doa qunut, itu semua akan menampung kesalahan atau kecacatan yang berlaku pada rukun-rukun yang wajib. Wallahua’lam
Ads
Bercakap semasa solat
Soalan:Ustaz boleh ke bercakap time solat? Contohnya macam kita sebut Astaghfirullahaladzim,Subhanallah atau Allahuakhbar?
Jawapan: Untuk dikira zikir, tidak dikira sebagai berkata-kata. Wallahua’lam
Pakai kanta mata semasa solat
Soalan : Ustaz saya nak tanya. Batal kah solat seseorang itu kalau pakai kanta lekap (contact lens) dan sah tak wuduk kalau pakai contact lens ?
Jawapan: Mata tidak termasuk anggota wuduk, jenuh kita nak basuh mata kita bila nak solat. Dan tiada masalah memakai contact lens sewaktu berwuduk, dan wuduk adalah sah. Wallahua’lam
Tak mahu solat sebab takut tak khusyuk
Soalan: Maaf bertanya, saya ada dengar kuliah yang makna ayat di atas bukan bermakna “lalai KETIKA solat” tetap ia bermakna في. Ayat ni menggunakan عن yang memberi makna “dari”.
Mohon penjelasan. Timbul isu hari itu seorang hamba Allah tidak mahu solat kerana tidak khusyuk kerana beralasan akan masuk neraka Wil kefahamannya bahawa apabila lalai KETIKA solat maka Allah akan humban dia ke dalam Neraka Wil..واللهأعلم..
Jawapan: Ini adalah pandangan jumhur ‘ulama tafsir. Perkataan “lalai”, bukan bermakna kepada tidak khusyuk. Tetapi merujuk kepada perbuatan mengambil lewa dalam solat. Tidak bersungguh-sungguh mencari kekhusyukan dan sengaja meletakkan dunia dalam solat.
Kalau ambil pandangan Imam Al-Ghazali (sudut Tasawwuf), maka lebih berat pandangannya. Tidak khusyuk terus tidak diterima solat. Maka kita ambil pendekatan ‘Ulama Feqah yang mengatakan tidak khusyuk, tidak membatalkan solat dan diterima solat, namun perlu bersungguh-sungguh mencari kekhusyukan dalam solat.
Jangan sambil lewa. Kalau tidak khusyuk menyebabkan tidak mahu solat, maka itu adalah alasan yang tidak dapat diterima, kerana rata-rata dari kita termasuk saya, tidak tahu bagaimana rasanya khusyuknya solat tu. Wallahua’lam
Sah kah solat kalau solat laju-laju?
Soalan: Ustaz kalau solat laju-laju dikira macam mana ya? Sah tak? Kira macam baca al-Fatihah terus sahaja tidak ada tarik-tarik nafas.
Jawapan: Kalau terjaga thoma’ninah dan sebutan huruf dalam rukun-rukun qauli, tidak mengapa. Tapi biasanya orang solat laju ini, mesti tidak terjaga. Sebab itu ada riwayat menceritakan tentang sifat solat Nabi SAW. Satu-satu rakaat Baginda panjang dan lama.
Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf yang merupakan kemuncak ibadah haji. Hari ini juga sangat istimewa dan mempunyai banyak kelebihan. Hari di mana doa mustajab dan puasa pada hari tersebut ibarat menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepasnya.
Namun begitu semua tahu akan hari Arafah antara Arab Saudi dan juga di negara kita berbeza sehari. Menjadi persoalan ramai jika ingin berpuasa sunat dan melakukan ibadah bagi memperoleh ganjaran hari Arafah ini adakah perlu mengikut hari wukuf di Arab Saudi atau pun tarikh setempat?
Persoalan ini dijawab boleh Datuk Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam Maktabah Al Bakri.
Hari Arafah hendaklah mengikut tempat masing-masing
Sebagaimana diketahui beza hari Arafah di Malaysia dan Saudi sehari lebih lewat. Bagi yang ingin berpuasa hari Arafah hendaklah mengikut tempat masing-masing berdasarkan anak bulan dan hisab.
Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ
Maksudnya: “Hari Raya, maka berayalah juga manusia (mengikut ketetapan di tempat tersebut), dan apabila Raya Korban jatuh pada suatu hari, manusia turutilah berkorban pada hari terbabit.” (Riwayat al-Tirmizi (802)
Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebahagian isteri Nabi SAW, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa pada Sembilan Zulhijjah, hari Asyura’ dan tiga hari setiap bulan.” Riwayat Abu Daud (2437) dan al-Nasa’ie (2416)
Nas ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari 9 Zulhijjah ganti kepada menyebut hari Arafah.
Mengambil contoh Aidiladha tahun 2023 oleh kerana di Malaysia hari 9 jatuh pada hari Rabu iaitu 28 Jun 2023 maka hadith di atas adalah jawapannya dan menjadi hujah bahawa kita berpuasa pada hari tersebut.
Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah SWT berbanding pada sepuluh hari ini”. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, sekalipun jihad di jalan Allah? Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu.”
Riwayat al-Tirmizi (688), Abu Daud (2082) dan Ibn Majah (1717)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
“Ustazah, boleh ke pergi kenduri, rumah terbuka atau sebarang majlis orang lain tanpa dijemput? Sebab dia pun jiran saya jugak.”
Mungkin ada yang pernah ke majlis sebegini meskipun asalnya tidak mendapat jemputan dari tuan rumah. Tapi sebenarnya kita patut mengelak daripada pergi ke majlis yang tidak dijemput kerana hukumnya Haram.
Perkara ini dijelaskan oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu hantaran di akaun Facebook milik beliau.
Hukum asal hadir majlis kahwin
Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah WAJIB menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdasarkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia. (HR Muslim, hadis sahih)
Menurut Imam Nawawi hadis di atas menunjukkan perintah untuk menghadiri satu majlis apabila ianya dijemput. Tetapi adakah kewajipan itu adalah perintah WAJIB atau SUNAT?
Menurut pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami adalah FARDHU AIN bagi sesiapa yang dijemput secara khusus dan gugur kewajiban tersebut jika ada keuzuran dan kemaslahatan.
Hukum hadir ke majlis tanpa dijemput
Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah para ulama empat mazhab telah bersepakat bahawa HARAM bagi seseorang untuk hadir ke majlis kenduri tanpa dijemput, atau yang tidak diketahui sama ada tuan rumah redha atau tidak.
Dia dihukum fasiq dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut, kerana ia termasuk dalam kategori memakan makanan yang haram.
Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ مُغِيرًا
Maksudnya: “Sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang perompak.” (HR Abu Daud, hadis dhaif)
Disebutkan dalam kitab Mishkat Masabih, tetamu yang tidak dijemput tidak dibenarkan untuk hadir melainkan dengan izin tuan rumah, dan tidak dibenarkan bagi tetamu untuk mengundang seseorang tanpa izin tuan rumah.
Tetamu wajar meminta izin terlebih dahulu, dan tidak digalakkan bagi tuan rumah untuk tidak menolaknya kecuali jika kehadirannya akan menimbulkan gangguan kepada orang yang hadir. Jika tuan rumah menolak, ia harus dilakukan dengan lemah lembut.
Menurut al-’Aini, orang yang hadir ke majlis kenduri perkahwinan tanpa dijemput dianggap sebagai al-tufaili (الطُّفَيْلِي), iaitu mereka yang datang ke majlis atau perkumpulan manusia tanpa mereka menjemputnya.
Wallahu A’lam.
RUMUSAN
1. Islam sangat menggalakkan umatnya untuk memuliakan tetamu dan ia adalah sifat orang beriman.
2. Menghadiri satu majlis apabila ia dijemput merupakan FARDHU AIN, namun gugur KEWAJIBAN tersebut jika ada keuzuran dan kemaslahatan.
3. HARAM bagi seseorang untuk menghadiri ke majlis kenduri tanpa dijemput.
4. Tetamu tidak dibenarkan mengundang individu lain untuk hadir bersama dalam satu majlis melainkan dengan keizinan Tuan rumah.
Rentetan berita dan video pernikahan artis veteran terkenal baru-baru ini ada yang mempersoalkan lafaz akad nikah yang ringkas diucapkan oleh pengantin lelaki. Lafaz hanya ‘Aku Terima’ dilihat terlalu ringkas malah dipertikaikan sama ada sah atau tidak akad nikah tersebut.
Persoalan tersebut dijawab panjang lebar oleh Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Al-Bakri.
Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau).
Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku redha) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).
Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja.
Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku redha nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).
Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).
Menurut al-Buhuti, ucapan pengantin lelaki, “Aku terima” memadai kerana perkara itu adalah jelas sebagai jawapan. Maka, sah perkahwinan dengannya seperti mana jual beli. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 11/235).
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi.
Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli.
Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli.
Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).
Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً
Maksudnya: “Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, “Aku terima” atau “Aku redha,” sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah.
Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.
Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.
Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak yang membesar dengan akhlak mulia, beriman dan menjadi insan berguna. Namun, dalam mendidik generasi hari ini, siapakah yang...