Sekiranya ada orang mengalami koma selama berbulan-bulan. Apabila sedar, adakah dia perlu qada semula solatnya?
Jawapan:
Istilah koma membawa maksud keadaan tidak sedarkan diri untuk beberapa lama (biasanya akibat kemalangan atau sesuatu penyakit). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Berdasarkan isu itu, kami mulakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Orang yang koma dalam tempoh lama tidak perlu qada solatnya kerana dalam tempoh itu, akalnya dikira tiada.
Ini kerana salah satu daripada perkara yang mewajibkan solat adalah berakal. Maka, tidak wajib solat bagi orang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka sudah hilang.
Ini dinyatakan di dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” (Riwayat al-Tirmizi – 1423 dan Ahmad 956)
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, ungkapan ‘al-Ma’tuh’ membawa maksud gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570)
Ulama mengqiyaskan bagi setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang gila sama ada dalam tempoh masa sekejap atau lama.
Jika dia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir), maka wajib baginya solat. Bagaimanapun, dia tidak wajib qada solat dalam tempoh berkenaan (hilang akal).
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’: “Sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (syarak) seperti menjadi gila, koma, pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan apabila dia tersedar, tidak diwajibkan qada solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafi’ie).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/6)
Secara umumnya, kami nukilkan pelbagai pandangan fuqaha dan mazhab bagi memberikan lebih pencerahan dan kefahaman.
Ulama khilaf dalam beberapa pendapat:
• Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat, tidak perlu qada kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam keadaan pengsan atau koma.
• Mazhab Hanbali berpendapat, perlu qada.
• Mazhab Hanafi berpendapat, perlu qada jika tidak melebihi enam waktu solat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 11/110)
Sekiranya keadaan itu bukan dalam tempoh panjang, maka dia perlu qada. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan yang bermaksud: Bahawa ‘Ammar pernah pengsan selama tiga malam. Apabila terjaga, beliau bertanya: Adakah aku sudah solat?
Mereka menjawab: “Kamu tidak solat sejak tiga malam.” Kemudian beliau berwuduk dan sembahyang qada tiga malam tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf – 2/268)
Daripada Imran bin Husain dan Samurah bin Jundub R.Anhuma juga diriwayatkan seumpamanya. Tiada sebarang khilaf, maka ia seolah-olah ijmak. (Lihat al-Mughni, 1/240 dan al-Majmu’, 3/8)
Setelah meneliti hujahan dan pendapat ulama dan fuqaha, kami lebih cenderung kepada qada solat jika sekiranya tempoh pengsan pendek seperti kurang tiga hari dan tidak perlu qada jika tempoh koma atau pengsan dalam tempoh lama, yang lebih dari tiga hari. Itulah amalan sahabat Rasulullah SAW.
SUMBER: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Via Harian Metro
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI