
Masuk sahaja ke surau atau bilik solat wanita pada hari ini, akan terlihatlah pelbagai jenis kain dan rekaan telekung yang digayakan oleh jemaah wanita. Ada yang berenda, kain jenis lycra, berwarna-warni dan bermacam lagi. Namun persoalan yang sering ditimbulkan ialah hukum solat orang yang memakai telekung yang kita anggap ‘berfesyen’ ini. Untuk itu, kita perlu melihat beberapa perkara.
Perkara pertama tentang pakaian solat adalah ia perlu menutup aurat secara sempurna. Antara ciri-ciri pakaian yang menutup aurat ketika solat adalah pakaian yang tidak memperlihatkan atau menggambarkan apa di sebalik kain yang menutupi tubuh. Bahkan seharusnya tidak memperlihatkan rupa bentuk atas sebab ketatnya pakaian itu atau jarang serta nipisnya pakaian tersebut sehingga boleh menampakkan warna kulit.
Maka pakaian yang menutup aurat seseorang itu haruslah menutupi keseluruhan tubuh (kecuali muka dan kedua tangan) dan tidak menampakkan anggota tubuh atau warna kulit atas sebab longgar mahupun nipisnya kain. Tidaklah longgar itu dimaksudkan dengan selonggar-longgarnya namun apa yang penting adalah tidak menjelaskan rupa bentuk tubuh terutama pada bahagian tertentu seperti dada dan lain-lain. Di samping, tidak dibolehkan juga memakai pakaian compang-camping (tidak sempurna) yang boleh menampakkan aurat.
Imam Nawawi turut menyatakan bahawa wajib untuk menutupi tubuh daripada penglihatan yang boleh melihat pada warna kulit. Tidak mencukupi hanya dengan kain yang menutup tubuh tetapi dapat pula dilihat warna kulit sama ada putih (cerah) atau hitam (gelap).
Begitu juga dengan pandangan dari Ibnu Qudamah, yang mengatakan wajib untuk menutup aurat dan jika disebabkan kain yang nipis itu menampakkan warna kulit di sebaliknya sama ada putih atau merah maka tidak harus untuk bersolat dengannya. Ini kerana ia tidak mencapai maksud asal tujuan menutup aurat itu.

Selain itu, Imam Saffarini al-Hanbali juga menyatakan di dalam Syarah Manzumah al-Adab bahawa makruh bagi lelaki dan wanita yang memakai pakaian yang menjelaskan warna kulit dan juga yang menampakkan saiz atau bentuk tubuh . Manakala, Imam Dusuqi al-Maliki di dalam hashiyahnya berpendapat bahawa pakaian seperti itu jelas makruh melainkan terdapat pakaian luar maka ia menjadi tidak makruh.
Maka melihatkan perkara-perkara ini, adalah sah solat orang yang memakai telekung berfesyen, selagi ia menutup aurat seseorang itu dengan sempurna.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dr. Kamilin Jamilin Ditanya Tentang Gambar Mufti Wilayah Solat Jenazah Di Sebuah Kubur Yang Diziarahinya, Ini Perkongsian Yang Kita Patut Tahu

Solat Jenazah hukumnya adalah fardu kifayah yang mana sekira ianya telah dikerjakan oleh sebahagian daripada umat Islam maka ianya telah memadai. Berbeza dengan solat yang lain, cara solat Jenazah ada sedikit keunikan di mana ia tidak perlu rukuk, iktidal, sujud, atau tahiyyat.
Baru-baru ini Mufti Wilayah ada berkongsikan gambar beliau melakukan solat Jenazah ketika menziarahi sebuah kubur.
https://www.facebook.com/drzulmuftiwp/posts/1459890447484263?__xts__[0]=68.ARAz1p516uyY3J7NYcJNdcoTbzSNPTn1EDgVe0rBRhN0nfK9ZN4XMrD52L1Qp7NejuAYJSxpycFmgBmzRJjV0ZYCjlpZs59ABkSp9P9ynFrF2vltCS2JCN1NFequZ1PHhhHZj4l9NUKo5NKkxAwOQqmBXi4VJ7UplgGvEk_wSfoOkmq9vJ2ei4siPxVCLoyIQ6aBfjCBCTQQjyYewhY39EtWJBmHQ8shwkp0_POlgGESfAnc1Rb_wOqT9wUkauiiInX1ItdGD-HIFOw_zvpY81vW9A03K8WK7utZeqs0Cw2gWsyF_rPU3vqkgpnRtgEbFULCW2S7pS9wnxtn2s7BitrNNg&__tn__=-R
Berikut perkongsian berilmu daripada Dr. Kamilin Jamilin
SUNNAH SOLAT JENAZAH DI KUBUR BAGI YANG TERLEPAS
Ramai yang bertanya pada saya tentang gambar Datuk Mufti Wilayah Persekutuan -hafizhahullah- yang menyolatkan jenazah di sebuah kubur yang diziarahi beliau baru-baru ini.
Saya kongsikan secara ringkas sebagai ilmu sunnah yang belum diketahui ramai.
1. Harus melakukan solat jenazah di kubur si mati bagi yang terlepas menyolatkannya sebelum ditanam menurut majoriti ulama.
Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, bahawa seorang wanita yang sering mengemas masjid meninggal dunia. Selepas beberapa tempoh, Nabi SAW menyedari kehilangannya, lalu bertanya akan khabarnya.
Setelah diberitahu akan kewafatannya, baginda berasa kesal kerana tidak dikhabarkan dari awal seolah-olah wanita itu kecil peranannya. Lalu baginda meminta ditunjukkan kuburnya, dan baginda pergi menyolatkan wanita tersebut di kuburnya.
2. Hadis mengenai solat jenazah di kubur bagi yang terlepas ada diriwayatkan dalam beberapa hadis lain seperti hadis Ibn ‘Abbas RA [riwayat al-Bukhari dan Muslim], hadis Anas RA [riwayat Muslim], dan hadis mursal Sa’id bin al-Musayyib [riwayat al-Tirmidzi, Ibn Abi Syaybah dan al-Bayhaqi].
3. Bagaimana posisi solat tersebut?
Penyolat hendaklah menghadap ke arah kiblat seperti posisi solat jenazah. Jika si mati lelaki, penyolat berdiri di bahagian kepalanya, manakala jika wanita, penyolat berdiri di tengah kubur.
4. Berapa tempoh kematian yang diharuskan solat jenazah di kuburnya?
a. Ramai ulama mazhab Hanbali dan sebahagian ulama mazhab Syafi’i mengharuskan sehingga sebulan selepas kematian berdasarkan hadis mursal Sa’id bin al-Musayyib bahawa Ummu Sa’d RA meninggal ketika Nabi SAW keluar kawasan, kemudian tatkala baginda pulang dan mendengar khabar akan kewafatannya, baginda terus ke kuburnya dan menyolatkannya walaupun telah sebulan tempoh pemergian Ummu Sa’d RA.
b. Ramai ulama mazhab Syafi’i yang tidak meletakkan sebarang tempoh dengan syarat si mati cukup kriteria untuk solat seperti baligh dan berakal.
Mereka melihat hadis mursal Sa’id tersebut tiada sebarang penetapan tempoh, namun hanya sekadar kebetulan yang menceritakan peristiwa.
5. Bolehkah orang yang telah menyolatkan si mati sebelum ditanam menyolatkan si mati kembali di kuburnya?
Ada beberapa riwayat hadis yang membenarkan [rujuk Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari karangan Ibn Hajar al-‘Asqalani].
6. Hukum asal bagi solat di kubur adalah haram. Hanya solat jenazah sahaja yang dibenarkan dan mendapat pengecualian dari hadis:

لا تجلسوا على القبور ولا تصلّوا إليها
“Janganlah kalian duduk di atas kubur dan jangan pula solat menghadapnya” [riwayat Muslim].
Manakala solat lain yang mengandungi rukuk dan sujud tidak dibenarkan dan tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya RA, kerana ia boleh mengundang ke arah syirik.
Justeru dapat difahami pelbagai ritual di kubur yang dilakukan sebahagian masyarakat seperti bermajlis zikir, memohon hajat dan seumpamanya merupakan perbuatan yang sama sekali bertentangan dengan syarak.
7. Semua hadis menunjukkan bahawa hanya insan yang kita kenali atau yang ada kaitan sahaja yang disolatkan di kubur seandainya terlepas sebelum ditanam. Selain itu hanya disyariatkan untuk berdoa memohon pengampunan dan keselamatan buat mereka.
Moga Allah mengampuni, merahmati dan menempatkan semua umat Islam yang telah pergi di sebaik-baik tempat.
Sumber kredit: Dr. Kamilin Jamilin
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Untuk Solat, Kita Perlu Mengambil Wuduk Namun Apakah Yang Perlu Diniatkan Ketika Mengambil Wuduk?

Tahukah anda, ketika mengambil wuduk, lebih molek jika disulami dengan niat. Apakah niat itu?
1.Ketika berkumur, berniatlah kamu:
“Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini.”
2. Ketika membasuh muka, berniatlah:
“Ya Allah, pulihkan wajahku di akhirat kelak. Janganlah Engkau hitamkan wajahku ini.
3.Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah:
“Ya Allah, berikan hisab-hisabku di tangan kananku ini.”
4.Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah:
Ya Allah, janganlah engkau berikan hisab-hisabku di tangan kiri ku ini.”
5.Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan:
“Ya, Allah, lindungilah daku daripada terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu.”
6.Ketika membasu telinga, berniatlah:

“Ya, Allah, ampunilah dosa telingaku ini.”
7.Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah:
“Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim.”
8.Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah:
“Ya Allah, bawakanlah daku untuk pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukannya tempat-tempat maksiat.”
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dalam Keadaan Tertentu, Solat Perlu Dilakukan Secara Duduk Atau Pun Bersandar, Persoalannya, Sahkah Solat?

Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.
Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.
Riwayat Muslim (16)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah merupakan salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap muslim yang mukallaf.
Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi
Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir. Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan seseorang yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia tidak mampu untuk berdiri.
Telah berkata ‘Iyadh daripada Imam al-Syafie dan daripada Imam Malik, Imam Ahmad serta Ishak bahawa tidak disyaratkan tidak mampu berdiri bahkan cukup jika wujudnya masyaqqah (kesusahan).
Yang makruf di sisi ulama’ al-Syafie’yyah bahawa yang dimaksudkan dengan ternafinya kemampuan dengan wujudnya kesusahan yang berat sekiranya berdiri, atau dikhuatiri sakit itu semakin teruk atau berlaku kerosakan dan tidaklah berpada dengan masyaqqah (kepayahan) yang ringan.
Antara kesusahan yang berat itu adalah seperti pening kepala pada hak orang yang menaiki kapal dan takut akan tenggelam jika dia solat dalam keadaan berdiri di dalam kapal tersebut. Adakah dikira tidak mampu (berdiri) seseorang yang bersembunyi ketika berjihad dan jika dia solat dalam keadaan berdiri maka musuh akan melihatnya. Maka dengan itu, dibolehkan baginya untuk solat dalam keadaan duduk atau tidak pada waktu itu. Terdapat pada masalah ini dua pandangan disisi ulama’ al-Syafie’yyah, yang paling tepat adalah dibolehkan tetapi perlu diqadha’ kerana itu adalah uzur yang jarang berlaku. Lihat: Fath al-Bari, Ibn Hajar (588/2).
Pendapat Para Fuqaha
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/226) lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran.
Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.
Riwayat al-Bukhari (2774)
Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).
Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/443).
Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk
Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:
*Tidak mampu untuk berdiri
*Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
*Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
*Seseorang yang berasa pening kepala.
*Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
*Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dilakukan solat secara berdiri.
*Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS (Electric Train Service) dan seumpamanya.
*Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul. Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.
Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf (214).
Kata Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini: Aku berpandangan bahawa kriteria tidak mampu berdiri itu adalah sekiranya dia berdiri, akan menyebabkan masyaqqah yang menghilangkan kekhusyukannya. Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (4/310).
Dibolehuga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya.
Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi
Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:
Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dia duduk dan melakukan rukuk dan sujud.
Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi.
Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk.
Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan sebagaimana biasa.
Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.
Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila beliau bersujud.
Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan: “Dan jikalau lemah seseorang itu (yakni musalli) daripada berdiri, maka (bolehlah) dia duduk seperti mana yang dia ingini.” Ertinya, seseorang yang solat duduk dalam apa kaedah duduk pun maka solatnya sah dan tidak batal. Yang berbeza hanyalah dari segi afdaliyyah (kelebihan). Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Dan duduk secara iftirasy itu lebih afdal berbanding duduk bersila menurut pendapat yang azhar dan dimakruhkan duduk al-Iq`a’. Rujuk Minhaj al-Thalibin, Imam al-Nawawi (Hlm. 45).
Berdasarkan kepada kata-kata al-Nawawi di atas, kami berpandangan apabila dikatakan yang kita boleh solat duduk dalam apa keadaan sekalipun maka ia termasuklah solat duduk di atas kerusi bagi yang mempunyai keuzuran. Solatnya dikira sebagai sah dan tidak batal.
Hukum Bersandar Ketika Menunaikan Solat
Di dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/243).
Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: Sekiranya seseorang itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah (makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang dia mahu. Rujuk al-Iqna’, al-Khatib al-Syarbini (Hlm. 184).

Sekiranya seseorang yang solat bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar. Lebih-lebih lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak. Ini kerana, duduk apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.
Beberapa Cadangan Atau Dhawabit
Berikut eberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi seperti berikut:
*Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
*Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
*Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
*Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
*Ketika seorang itu solat secara duduk, kedudukan belakang badannya hendaklah selari dengan orang yang solat di sebelahnya.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini, kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan قلة التكاليف (sedikit taklif) serta عدم الحرج (tidak menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر
Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.
Surah Al-Baqarah (185)
Begitu juga firman-Nya:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama.
Surah Al-Hajj (78)
Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas ini, beliau menukilkan beberapa pendapat ulama tafsir seperti Ibn Abbas, A’isyah, Abu al-‘Aliyah, serta Al-Hasan bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah: Tidak Allah jadikan kesempitan dalam beragama kepada umat Muhammad S.A.W. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/690).
Maka solat secara duduk di atas kerusi hukumnya adalah sah. Demikian juga solat duduk yang dilakukan secara bersandar, maka hukumnya sah seperti yang kami jelaskan di atas. Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan.
Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan segala rukun dan juga syarat-syaratnya.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI