Ragu-ragu Sah Atau Tidak Solat Bila Pakai Telekung Berfesyen

Share

Masuk sahaja ke surau atau bilik solat wanita pada hari ini, akan terlihatlah pelbagai jenis kain dan rekaan telekung yang digayakan oleh jemaah wanita. Ada yang berenda, kain jenis lycra, berwarna-warni dan bermacam lagi. Namun persoalan yang sering ditimbulkan ialah hukum solat orang yang memakai telekung yang kita anggap ‘berfesyen’ ini. Untuk itu, kita perlu melihat beberapa perkara.

Perkara pertama tentang pakaian solat adalah ia perlu menutup aurat secara sempurna. Antara ciri-ciri pakaian yang menutup aurat ketika solat adalah pakaian yang tidak memperlihatkan atau menggambarkan apa di sebalik kain yang menutupi tubuh. Bahkan seharusnya tidak memperlihatkan rupa bentuk atas sebab ketatnya pakaian itu atau jarang serta nipisnya pakaian tersebut sehingga boleh menampakkan warna kulit.

Maka pakaian yang menutup aurat seseorang itu haruslah menutupi keseluruhan tubuh (kecuali muka dan kedua tangan) dan tidak menampakkan anggota tubuh atau warna kulit atas sebab longgar mahupun nipisnya kain. Tidaklah longgar itu dimaksudkan dengan selonggar-longgarnya namun apa yang penting adalah tidak menjelaskan rupa bentuk tubuh terutama pada bahagian tertentu seperti dada dan lain-lain. Di samping, tidak dibolehkan juga memakai pakaian compang-camping (tidak sempurna) yang boleh menampakkan aurat.

Imam Nawawi turut menyatakan bahawa wajib untuk menutupi tubuh daripada penglihatan yang boleh melihat pada warna kulit. Tidak mencukupi hanya dengan kain yang menutup tubuh tetapi dapat pula dilihat warna kulit sama ada putih (cerah) atau hitam (gelap).

Begitu juga dengan pandangan dari Ibnu Qudamah, yang mengatakan wajib untuk menutup aurat dan jika disebabkan kain yang nipis itu menampakkan warna kulit di sebaliknya sama ada putih atau merah maka tidak harus untuk bersolat dengannya. Ini kerana ia tidak mencapai maksud asal tujuan menutup aurat itu.

Selain itu, Imam Saffarini al-Hanbali juga menyatakan di dalam Syarah Manzumah al-Adab bahawa makruh bagi lelaki dan wanita yang memakai pakaian yang menjelaskan warna kulit dan juga yang menampakkan saiz atau bentuk tubuh . Manakala, Imam Dusuqi al-Maliki di dalam hashiyahnya berpendapat bahawa pakaian seperti itu jelas makruh melainkan terdapat pakaian luar maka ia menjadi tidak makruh.

Maka melihatkan perkara-perkara ini, adalah sah solat orang yang memakai telekung berfesyen, selagi ia menutup aurat seseorang itu dengan sempurna.

Published by
wan erni