Baru ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan dividen bagi tahun 2020. Kadar dividen bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak 5.20 peratus manakala bagi Simpanan Shariah pula kadar dividen diumumkan adalah sebanyak 4.90 peratus.
Jumlah pembayaran dividen bagi pelabur konvensional pada 2020 adalah sebanyak RM42.88 bilion sementara sebanyak RM4.76 bilion dibayar kepada kira-kira 7.5 peratus umat Islam yang memilih pelaburan Shariah berbanding konvensional.
Dalam satu perkongsian di fb oleh Dr Zaharudin Abdul Rahman yang juga Penasihat Shariah Kewangan Islam terkemuka berkata, umat Islam harus membayar zakat pada kadar 69 peratus dari hasil dividen 5.20 dari Pelaburan Konvensional kerana ia dilaburkan ke pelaburan tak patuh shariah.
Bagi umat Islam yang masih belum beralih ke Akaun Simpanan Shariah dan masih kekal dengan akaun Simpanan Konvensional, 69% dari dividen konvensional itu perlu dibersihkan, iaitu 69% dari 5.20%.
Portfolio akaun Simpanan Shariah semuanya dilaburkan ke pelaburan halal dan begitu juga seluruh pendapatannya iaitu RM 4.76 billion itu.
Manakala dana simpanan konvensional dilaburkan secara bercampur dengan 69% pendapatan dari RM 42.88 billion itu datang dari pelaburan tidak patuh shariah seperti perbankan konvensional, insuran, interest etc. Atas sebab itu bagi mereka yang mementingkan halal dan keberkatan pada tahap maksimum, perlulah beralih ke akaun simpanan Shariah atau lakukan pembersihan.
Berikut pula kadar pembersihan bagi tahun-tahun sebelumnya:
Divuden 2017: Simpanan Konvensional (SK) 6.9%
Simpanan Shariah (SS) 6.4%
Pembersihan dividen untuk SK : 64%
Dividen 2018: SK 6.15% / SS 5.9%
Pembersihan dividen untuk SK : 68%
Dividen 2019: SK 5.45%/ SS 5.0%
Pembersihan dividen untuk SK : 71%
Dividen 2020: – SK 5.2% / SS 4.9%
Pembersihan dividen untuk SK : 69%
Menurut peruntukan perlembagaan & undang-undang sedia ada, tiada pihak boleh memaksa sebarang peralihan ke akaun Shariah atau pembersihan dividen, ia tertakluk kepada diri masing-masing.
Kami hanya memberi panduan dan cadangan serta nasihat. Peralihan ke akaun simpanan Shariah kini boleh dilakukan secara online melalui i-akaun kwsp masing-masing.
Bahkan di fbnya, Dr Zahirudin turut berkongsi satu hadis ini.
Nabi Muhammad bersabda:-
يأتي على المرء زمان لا يبالي المرء ما أخذ منه ، أمن الحلال أم من الحرام
Ertinya : Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram ( Riwayat Al-Bukhari).
Masa yang sama, dalam satu perkongsian oleh Elzar Shariah di page Shariah Screener turut memaklumkan kadar peratus umat Islam yang tidak beralih ke Simpanan Shariah agak tinggi iaitu 82.9 peratus sebaliknya kekal pada pelaburan Konvensional.
Baca perkongsiannya:-
Angka-angka yang menarik untuk kita hayati dan insafi dari kenyataan media berkenaan dividen KWSP semalam:
1. Aset pelaburan mencecah RM1.02 trilion (1bilion = 1,000 juta, kalau 1trilion = 1,000 bilion)
2. Bilangan ahli KWSP 14.89 juta atau 45% daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 32.7 juta (Perangkaan Demografi Suku Tahun Keempat 2020, Malaysia, Jab. Statistik)
3. Ahli yang telah bertukar ke Simpanan Shariah 1.12 juta sahaja (7.5%)
4. Berapa % ahli beragama Islam yang belum tukar ke Simpanan Shariah:question:
Kalau kita guna data 'Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2020, Jabatan Statistik', 69.6% penduduk Malaysia adalah bumiputra yang boleh kita anggap sebagai majoritinya adalah beragama Islam.
Kalau % yang sama (69.6%) digunakan ke atas ahli KWSP = 10.36 juta ahli beragama Islam. Kalau kita anggap 1.12 juta ahli yang telah tukar Simpanan Shariah semuanya adalah beragama Islam, maka baki 9.24 juta (89.2%) masih dengan Simpanan Konvensional.
Itu belum kita bercakap pasal orang Islam yang masih menggunakan instrumen perbankan konvensional Akaun bank, pinjaman kereta dan rumah, kad kredit dan sebagainya.
5. Jumlah agihan dividen :moneybag: RM47.64b yang diagihkan kepada Simpanan Shariah sebanyak RM4.76b (10%) dan RM42.88b (90%) kepada Simpanan Konvensional.
Yang ini menarik, peratusan ahli Simpanan Shariah adalah 7.5% sahaja, tetapi peruntukan bagi bayaran dividen lebih tinggi iaitu 10% walaupun kadar dividen Simpanan Shariah lebih rendah. Ini mungkin menunjukkan purata simpanan ahli Simpanan Shariah adalah lebih tinggi berbanding ahli Simpanan Konvensional.
6. Ada yang bertanya bagaimana peratusan penyucian dividen Simpanan Konvensional ditentukan sebanyak 69%. Kalau dilihat gambarajah Model Operasi Simpanan Shariah, aset pelaburan KWSP diasingkan kepada portfolio konvensional dan portfolio syariah. Simpanan Shariah hanya melabur di dalam portfolio syariah, manakala Simpanan Konvensional melabur di dalam kedua-dua portfolio. Jadi 69% kadar penyucian dividen tersebut adalah pulangan daripada portfolio konvensional yang menyumbangkan kepada dividen Simpanan Konvensional.
Untuk makluman, apabila KWSP mewujudkan Simpanan Shariah, aset pelaburan KWSP diasingkan kepada dua portfolio di mana semua aset patuh syariah diletakkan di dalam portfolio syariah (~40%), manakala semua aset tidak patuh syariah diletakkan di bawah portfolio konvensional. (~60%).
Boleh baca lebih lanjut mengenai Simpanan Shariah di dalam Laporan Tahunan KWSP 2017 – 2019, dan rujuk bahagian Tadbir Urus – Penyataan Tadbir Urus Syariah Bagi Simpanan Shariah dan Laporan Jawatankuasa Penasihat Shariah. Kredit Penulisan : Penulis Bertugas di KWSP (Mo Amin)
Umat Islam wajib mencari yang fardu kerana makanan halal menjadi darah daging selamanya. Jika masih berkesempatan menukar ke pelaburan Shariah segeralah berbuat demikian.