Pernah tular bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menziarahi rumah Paksu Mid di Bukit Tembaga Kuala Nerang pada Februari tahun lalu. Dari gambar yang tular itu Paksu Mid kelihatan uzur namun masih menyambut mesra kedatangan pemimpin itu datang ziarah ke rumahnya.
Terkini, keadaan wali Allah ini sudah semakin uzur dan mampu terbaring sahaja di katilnya. Dari satu perkongsian dari Tengku Daeng Mawelle yang bertuah dapat menemui wali Allah ini, ada pesanannya yang boleh dijadikan panduan untuk kita semua.
Wali Allah adalah golongan yang bertakwa dan beramal soleh dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT akan diberikan ganjaran di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT:
لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۚ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar. (Surah Yunus, 64)
Bacalah perkongsian darinya. Moga Allah memelihara negara kita dan golongan beragama ini.
Bila berjumpa dan duduk dihadapan paksu mid ni , Hati secara tak langsung rasa gementar , timbul segala perasaan hormat , segan, malu dan rasa hina. Padahal Paksu Mid bukan orang besar.
Bukan Menteri, bukan orang gagah, bukan gangster, bukan kaki pukul, bukan orang berpengaruh. Tapi kenapa semua perasaan tu muncul. Tak payah tunggu duk berhadapan, Otw nak pergi rumah pun dah rasa gementar dah.
Paksu Mid ni tak pernah mengaku sebagai ulama besar. Tak pernah mengaku sebagai seorang Wali Allah. Tak pernah mengaku sebagai orang alim, orang terkenal, orang itu dan ini.
Dia hanya mengaku dirinya sebagai seorang yang tua dan uzur. Tapi mengapa kebanyakan orang segan pada beliau? Saya yakin bukan saya saja, mesti kalian juga rasa segan dan malu bila berhadapan dengan beliau. Betulkan? salah satu sebabnya sudah tentu hati kita kotor dan banyak dosa.
Kita rasa malu sebab kita sedang berhadapan dengan orang yang soleh, orang yang dari zaman mudanya khatam Al-Quran setiap 3 hari. Bila dah tua khatam dalam 5 hari. Kita rasa segan sebab tak mampu kalahkan orang yang tua ini dalam ibadah puasa.
Beliau berpuasa dah 40 tahun tanpa henti setiap hari kecuali hari aidiladha, aidilfitri, dan 3 hari tasyrik.
Kita malu tak dapat tundukkan nafsu kita seperti orang tua ini yang hanya sahur dan berbuka dengan secawan nasi dan sebijik telur. Kita rasa malu, hormat, segan, gementar sebab kita sedang berhadapan dengan hamba-Nya yang soleh lagilah pula bersih hatinya.
Bayangkan, kita baru berhadapan dengan para Hamba-Nya yang soleh dah jadi malu segan dan sebagainya. Bagaimana pula bila kita berhadapan dengan DIA (ALLAH) di akhirat kelak.
Mengapa kita tak rasa malu berbuat dosa dan maksiat ketika hidup sedangkan kita tahu Allah itu Maha Melihat, Mendengar dan Maha Tahu segala apa yang kita lakukan. Pasal ni kita pandai-pandailah fikir masing-masing.
Yang saya nak sampaikan kat sini. Perbanyakkanlah teman dengan sahabat-sahabat yang membawa kita mengingati Allah dan Rasul-Nya. Bersahabatlah dan dampingilah Ahli² ibadah, Ahli² Zikir , Ahli² Selawat dan segala Ahli yang istiqamah melakukan amal soleh.
Ingat, HATI kita ni adalah tempat di mana Allah memandang dan menilai kita. Berusahalah membersihkan hati, perbanyakkan selawat , zikir dan membaca Al-Quran. Moga kita semua di akhirat kelak dapat berkumpul dengan Rasulullah S.A.W dan para Hamba-Nya yang soleh².
Pesan Paksu Mid, "Kita ni manusia sebenarnya semacam pokok, pada pokok akar lah paling penting..segala apa yang terjadi hujan taufan ribut kemarau panas apapun akar lah penentu keadaan pokok.."
Kredit : Tulisan Tengku Daeng Mawelle