Kerohanian

Pasar Tempat Dibenci Allah, Makruh Pergi. Ulamak Jelaskan Sebabnya

Share

Menjadi rutin atau satu kemestian buat kebanyakan kita pergi ke pasar mahu pun pasar raya bagi membeli keperluan rumah dan diri.

Namun satu perkara yang perlu diketahui bahawa pasar adalah termasuk dalam tempat yang sebenarnya dibenci oleh Allah SWT. Malah perkara ini terdapat dalam nas atau hadis yang sahih.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا

Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.”

Ulamak dalam menjelaskan hadis ini menyatakan masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh Allah SWT kerana ia merupakan tempat yang dilakukan ketaatan serta ia diasaskan di atas ketakwaan.

Pasar tempat menjauhkan kita dari mengingati Allah

Manakala tempat yang dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya kerana ia merupakan tempat penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah dan sebagainya.

Imam al- Qurtubhi menyatakan bahawa hadis ini di antara dalil menunjukkan kemakruhan memasuki pasar. Lebih-lebih lagi pasar ketia menjadi menjadi tempat percampuran di antara lelaki dan wanita.

Jelas ulamak ini lagi apabila banyaknya kebathilan serta terzahirnya kemungkaran di pasar, maka hukum memasukinya adalah makruh. Ini kerana tempat ini boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah SWT.

Selain itu ada juga ulamak yang mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimi pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan dirinya sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, hadis yang menyebutkan pasar sebagai tempat dibenci oleh Allah adalah sahih memandangkan memasuki pasar dianggap makruh kecuali jika ada keperluan mendesak.

Dalam pada itu, kita perlu menjaga adab dan tidak menghabiskan waktu dengan hal-hal yang tidak berguna sehingga mengabaikan kewajiban kita sebagai hamba Allah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Team Kashoorga