Peguam Kongsi 3 Institusi Ini Saja Kena Pergi Kalau Nak Tuntut Harta Pusaka, Urusan Mudah Tapi Ramai Keliru

Share

Rasanya ramai yang masih terkeliru dengan kaedah tuntutan harta pusaka milik arwah. Jika tiada ilmu yang cukup atau bertemu orang yang tepat, harta pusaka akan terbiar begitu saja hingga jumlahnya mencapai billion.

Sebenarnya untuk menuntut harta pusaka amat mudah, asal tahu cara menuntutnya. Peguam Roslina Sabiyah dari Tetuan Roslina Sabiyah & Co berkongsi ilmu ini untuk memudahkan kita membuat urusan menuntut harta pusaka.

Berikut perkongsiannya :-

Semalam saya didatangi seorang makcik berusia lingkungan umur 60-an. Kelihatan letih dan sugul wajahnya. Turun naik pejabat pentadbiran dan akhirnya dirujuk kepada saya untuk selesaikan urusan pusaka arwah ayahnya.

Harta yang ditinggal oleh arwah ayah makcik ni ialah tanah felda dan saham ASB. Sepatutnya senang sahaja urusannya. Makcik kata tanah felda dah diurus di pejabat felda. Makcik dah buat bayaran untuk kedua-dua geran felda (tanah dan kebun). Makcik kata urusan tanah felda dah selesai. Tinggal ASB yang makcik kena uruskan sendiri di ARB.

Makcik pergi ke ARB. Makcik dah bagitau yang si mati ada tanah felda dan pejabat felda dah uruskan. ARB kata tak apa, mereka akan uruskan akaun ASB sahaja. Mereka suruh makcik ke mahkamah syariah untuk buat sijil faraid. Tapi makcik ke pejabat agama sebab tak tau macamana nak berurusan di mahkamah syariah..

Saya kongsikan hasil dapatan saya daripada kes pusaka makcik ini dan juga beberapa salah faham yang berlaku sebagai panduan kepada orang lain yang akan dan sedang mengurus pusaka :-

1) Pejabat felda tidak menjalankan urusan bicara pusaka. Kena ingat ye, urusan permohonan pusaka hanya boleh dibuat di 3 tempat sahaja berdasarkan jenis dan nilai harta. Hanya 3 institusi ini sahaja yang boleh mengeluarkan Perintah Pusaka atau Surat Kuasa Mentadbir:-

i-Unit Pusaka Kecil
ii-Amanah Raya Berhad
iii-Mahkamah Tinggi Sivil

2) Mahkamah Syariah pun tak ada bidangkuasa untuk buat urusan pusaka. Tapi Mahkamah Syariah ada bidangkuasa untuk uruskan urusan-urusan yang boleh membantu memudahkan urusan pusaka sahaja sebagaimana berikut :-

i-Mengeluarkan Sijil Faraid untuk mengesahkan waris-waris yang berhak.
ii-Mengesahkan dokumen wasiat dan hibah jika ada pertikaian waris semasa proses mengurus pusaka.
iii-Mengeluarkan perintah Harta Sepencarian untuk pasangan yang nak menuntut dari harta si mati sebelum harta pusaka diagih mengikut faraid.

3) Rupa-rupanya makcik salah faham. Sebenarnya pegawai felda cuma tolong daftarkan permohonan pusaka secara online di unit pusaka kecil. Pegawai felda suruh makcik ke pejabat tanah untuk buat carian rasmi ke atas 2 geran felda (tanah dan kebun). Bayaran yang makcik kata dah buat untuk urusan pusaka tu sebenarnya ialah bayaran carian tanah rasmi di kaunter pejabat tanah. Carian rasmi itu diperlukan untuk proses permohonan pusaka di unit pusaka kecil.

4) Pegawai felda nak tolong mudahkan urusan peneroka felda dalam membuat permohonan pusaka dengan daftarkan secara online. Cuma silapnya, pegawai tersebut tak tanya jika peneroka ada harta-harta atau aset-aset lain yang perlu dimasukkan sekali dalam permohonan tersebut. Makcik pun tak faham. Dia ingat urusan pusaka tanah felda dah selesai di pejabat felda.

5) Makcik pun tak tau sebenarnya permohonan pusaka dah pun didaftarkan dengan unit pusaka kecil. Kami dah semak dengan pusaka kecil dan memang ada rekod pendaftaran tersebut cuma statusnya adalah masih menunggu tarikh bicara.

6) Isu berkenaan akaun ASB. Jika nilainya di bawah RM10,000 waris boleh mohon buat pengeluaran di cawangan ASB terus. Tapi jika nilainya lebih RM10,000 dan akaun tiada penama, pihak ASB akan memerlukan perintah pusaka. Akaun ASB adalah harta alih. Memang bidangkuasa ARB. Tapi jika dah ada permohonan pusaka yang dibuat di bawah nama si mati untuk harta tak alih yang lain, sepatutnya harta alih ini boleh dimohon sekali di bawah unit pusaka kecil tersebut.

7) Kalau si mati tak ada harta tak alih yang lain (rumah/tanah/bangunan) ya memang makcik tak ada pilihan kena buat permohonan pusaka di ARB juga sebab bidangkuasa ARB untuk uruskan harta alih sahaja. Tapi apa yang berlaku, makcik seolah terpaksa buat 2 urusan di 2 institusi yang berlainan. Sedangkan sepatutnya, makcik boleh sahaja buat urusan di 1 tempat sahaja. Tak perlu pun buat sijil faraid di mahkamah syariah kalau makcik mohon ASB tu di unit pusaka kecil sahaja.

8) Makcik tak faham. Tapi tak ada yang bagi makcik maklumat yang menyeluruh macamana perjalanan mengurus harta pusaka yang sepatutnya. Makcik penat dan rasa macam bola kena tendang ke sana sini. Satu pihak hanya fokus untuk urus harta tak alih sahaja. Satu pihak lagi hanya fokus untuk urus harta alih sahaja. Salah siapa? Salah makcik sebab tak tau atau salah undang2 sebab tak seragam dan ada banyak sangat institusi yang menguruskan pusaka hingga menyebabkan ramai orang keliru?

9) Kisah makcik ini bukan kes terpencil tapi sebenarnya banyak lagi kes-kes yang berlaku berpunca dari kekeliruan kat mana nak failkan permohonan pusaka. Apa nak buat dulu. Dengan siapa nak rujuk. Kemana nak pergi. Apa yang perlu tau sebelum nak buat urusan pusaka.

10)Usaha untuk ‘centralisedkan’ permohonan pusaka dah ada. Akta pun dah dipinda sejak 25/1/2022. Tapi perlaksanaannya? Kami masih menunggu.. menunggu dan menunggu hingga ke hari ini. Kami faham banyak yang perlu diperbaiki. Dan kerana itu, semua pihak perlulah telus berkongsi maklumat supaya tak ada pihak yang rasa teraniaya dan kejadian ‘ditendang’ ke sana sini seperti bola tidak sepatutnya berlaku lagi.

Alhamdulillah. Makcik tersenyum. Lega dengar penerangan panjang lebar yang diberi. Banyak persoalan yang selama ini membeban perasaan terjawab. Betullah ilmu itu pelita hidup. Nak buat apa-apa pun kena ada ilmu barulah lebih mudah terpandu dan tak sesat sebab ilmu itu macam peta yang menunjuk jalan. Siapa lagi yang perlukan peta untuk urus pusaka?
#celikpusaka
#rancanghartaelaksengketa
#peguammenulis

Published by
almaswa Haji Che Ros