Isu wakaf Al-Quran sering mendapat perhatian dari masyarakat. Ini kerana kita sering berfikir, selagi ianya dibaca, baik oleh pembacanya mahupun kita yang bersedekah pahalanya akan sama mengalir.
Tidak hairanlah banyak pihak menganjurkan wakaf quran dan kita juga tidak pernah berfikir bahawa Al-Quran yang kita sedekah itu ke mana akhirnya. Adakah digunakan atau tersimpan kemas dalam almari.
Dalam satu perkongsian dari Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim yang juga ahli panel Tanyalah Ustaz TV9, beberapa hari lalu di fbnya mengupas isu projek wakaf Al-Quran ini dan ia wajar diperhalusi oleh kita semua. Dan apa yang perlu kita fahami mengenainya agar tidak dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan.
1. Saya pernah sebutkan beberapa bulan yang lepas tentang hal ini.
2. Pelajar tahfiz hakikatnya hanya perlukan (1) sebuah Al-Quran sahaja sepanjang usia tahfiznya. Itulah yang mereka gunakan selagi tidak rosak. Bahkan kekal satu mushaf itulah kaedah terbaik untuk kekuatan ingatannya.
3. Jadi memang tiada tuntutan untuk berwakaf mushaf melainkan dipastikan memang benar-benar perlu.
4. Bahkan TIADA KEPERLUAN untuk wakaf mushaf di masjid2 yang kebanyakkannya mempunyai ratusan mushaf yang tersimpan elok tanpa disentuh dibaca.
5. Saya beberapa kali memerhati di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi juga sama halnya. Rak Al-Quran(berwarna kuning emas), hanya sekitar 1/3 mushaf sahaja yang diambil baca. Yang lain masih tersimpan kemas ditempatnya. (Ada yang sebarkan wakaf Quran di Mekah Madinah).
6. Saya tidak nafikan bahawa wakaf mushaf mendapat pahala, namun harus dipastikan ia memang akan DIGUNAKAN dan ia termasuk amal jariah.
7. Jadi harus berhati-hati tentang wakaf Al-Quran. Semoga ia tidak digunakan oleh pihak yang berkepentingan.