‘Pelanggan Bayar Harga Yang Sama, Ambil Makanan Kuantiti Berbeza.’ Ini Hukum Jual Beli Bufet Ramadan

Share

‘Pelanggan bayar harga yang sama, ambil makanan kuantiti berbeza.’ Ini hukum jual beli bufet Ramadan, adakah dibenarkan kita berjual beli makanan buffet sedangkan ada yang makannya sedikit dan ada pula diambil makanan sebanyak-banyaknya.

Setiap kali menjelang Ramadan, kelihatan restoran dan hotel-hotel mula mempromosi hidangan bufet Ramadan dengan pelbagai tawaran. Ada yang mahal dan ada yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

Isu Tak Hormat Ramadan & Makan Di Khalayak, Peguam Syarie Kongsi Kesalahan Boleh Didenda RM2000 & Penjara Setahun

Pelanggan Bayar

Selalunya aktiviti berbuka dengan hidangan bufet menjadi pilihan syarikat-syarikat atau orang persendirian dalam memeriahkan suasana di bulan Ramadan.

Namun di sini timbul kemusykilan yang diutarakan kepada Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan:

Harga Yang Sama

Soalan:
Sebagaimana diketahui, bila tiba bulan Ramadan, kedai makan atau hotel banyak menyediakan hidangan berbentuk bufet. Persoalan di sini, apakah hukum menjual beli hidangan bufet sebegini?

Adakah jual beli secara hidangan bufet tidak dibenarkan kerana pelanggan membayar harga yang sama tetapi mengambil hidangan tersebut dengan kadar yang berbeza-beza? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan:

Jual beli hidangan bufet termasuk di dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit, di mana perbezaan kuantiti makanan yang diambil tersebut masih boleh diterima secara adat.

Para ulama bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.

Ambil Makanan

Jual beli hidangan bufet merupakan satu sistem penjualan menu di restoran atau kedai makan di mana pelanggan hanya membuat sekali bayaran untuk menikmati kesemua menu yang tersedia dalam tempoh waktu tertentu atau sebaliknya.

Pelanggan yang mengunjungi restoran berkonsepkan hidangan bufet dibenarkan mengambil dan memilih sendiri kesemua hidangan yang telah disediakan oleh pihak restoran.

Dalam membeli secara bufet begini sebahagian daripada pelanggan mengambil makanan dengan kuantiti yang sedikit dan sebahagian yang lain pula mengambil dengan kuantiti yang lebih banyak sedangkan bayaran yang ditetapkan adalah sama.

Kuantiti Berbeza

Adakah ia termasuk dalam kategori jual beli gharar (ketidakpastian) yang dilarang dalam Islam?

Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak.

Pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti al-gharar(ketidakpastian), al-maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan.

Ini Hukum

Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.

Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-Gharar.”
Riwayat Muslim (3881)

Ibn Taimiyah mendefinisikan gharar sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya. Beliau menjelaskan bahawa gharar dalam jual beli berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerima haknya.

Jual Beli

Di samping itu, gharar ditakrifkan di dalam kitab Qalyubi wa Umairah sebagai:

ما انطوت عنا عاقبته أو ما تردد بين أمرين أغلبهما أخوفهما

“Sesuatu yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.

Menurut Al-San’ani, gharar berlaku apabila:
Barang yang diniagakan tidak mampu diserahkan kepada pembeli,
menjual beli barang yang belum ada (ma’dum) dan tidak jelas sifatnya (majhul) atau; menjual barangan yang tidak dimiliki oleh penjual.

Ibn ‘Abidin, ulama mazhab al-Hanafi menyatakan bahawa syarat sah bagi jual beli ialah mengetahui jumlah barang dan harganya. Oleh itu, ketidakjelasan mengenai kadar dan harga barangan boleh membawa kepada gharar dalam jual beli.

Bufet Ramadan

Namun begitu, gharar boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
al-Gharar al-Yasir – ketidakjelasan yang kecil atau ringan
al-Gharar al-Fahish – ketidakjelasan yang besar

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa jual beli yang secara jelas mengandungi unsur gharar dan mampu untuk dielakkan adalah satu larangan yang besar.

Namun para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan gharar ringan yang sukar untuk dielakkan. Sebagai contoh, melakukan akad sewaan dengan menyatakan tempoh sewaan selama satu bulan, dimana di dalam satu bulan terdapat 29 hari, 30 hari atau 31 hari.

Begitu juga memasuki tandas awam dengan bayaran yang sama walaupun terdapat perbezaan dalam penggunaan air dan tempoh para pengguna menggunakan tandas tersebut.

Mempunyai Perbezaan

Berkenaan hal ini, realiti jual beli hidangan bufet yang mempunyai perbezaan dari segi kadar atau kuantiti makanan yang diambil tidak mengandungi unsur gharar yang besar.

Hal ini kerana penjual telah sedia maklum akan purata kadar untung rugi hidangan yang disediakan dan kadar perbezaan tersebut masih boleh diterima secara adat (uruf).

Adapun bagi mereka yang kadar pemakanannya melebihi adat kebiasaan, maka dia harus memaklumkannya kepada pemilik restoran untuk menghindari gharar fahisy yang menyebabkan kerugian kepada salah satu pihak.

Baca Di Sini:

Nasihat Untuk Peniaga Yang Asyik Kejar Duit Di Bulan Ramadan

Kesimpulan:

Jual beli hidangan bufet termasuk dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit.

Para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.

Kashoorga: Ramadan ini lebih meriah dapat luangkan masa berbuka bersama keluarga dan kawan-kawan terdekat, tak kiralah berbuka dengan bufet Ramadan atau di rumah saja.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat