Pelihara anjing sebagai “teman” bermanja hukumnya haram, melainkan atas keperluan tertentu yang dibenarkan seperti untuk berburu atau menjaga keselamatan.
Zaman sekarang menjadi trend anak remaja yang menyentuh atau membelai anjing sesuka hati kerana beranggapan sama-sama kering tidak mendatangkan masalah.
Padahal menyentuh anjing tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Ikuti penjelasan Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan:
Ini Hukumnya Pegang Anjing Dalam Lakonan & Untuk Tujuan Peliharaan
Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pet) adalah haram melainkan untuk tujuan muktabar yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan.
Antaranya adalah untuk tujuan:
1. Perburuan yakni anjing yang digunakan bukanlah anjing “comel” dijadikan “teman” untuk bermanja, tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai dijadikan untuk berburu.
Walau bagaimanapun, Islam hanya membenarkan perburuan adalah untuk mendapatkan makanan, bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka.
2. Anjing pemandu jalan
Anjing yang dipelihara dengan tujuan untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu.
3. Keselamatan
Anjing dibela untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti polis dan kastam serta juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah.
4. Membantu penternakan haiwan.
Seterusnya, perbuatan memegang anjing secara sengaja, tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ianya bercanggah dengan pegangan mazhab dan uruf di Malaysia.
Menurut mazhab syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.
Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.
Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.
Perbuatan mana-mana orang Islam yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) akan disalah tafsir dan dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.
Oleh yang demikian, mereka perlu segera meninggalkan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada Allah.
Justeru, umat Islam dinasihatkan agar tidak menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Tak boleh ya sentuh anjing suka-suka dan tanpa sebab.
Sumber: Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.