Peliharalah Sifat Malu Biar Pun Terdesak Cari Jodoh, Tuhan Dah Tentukan Calon Terbaik

Share

Hari ini kita dapati semakin ramai anak-anak gadis yang tiada lagi segan silu memulakan langkah pertama untuk berkenalan dengan seorang lelaki yang menarik perhatiannya. Mereka tidak lagi terkongkong dengan kebimbangan digelar `perigi mencari timba’.

Apatah lagi jika timba yang dikejar adalah timba emas yang mahal harga serta tinggi nilaian komersilnya yang boleh menjanjikan jalan pintas kepada kesenangan material dan kedudukan sosial yang boleh dibanggakan.

Berlakulah satu paradigma baharu dalam budaya masyarakat Timur di kalangan kita hari pada ini.

Kemuliaan dan maruah

Perasaan malu dan sopan tidak lagi dinilai tinggi harganya. Malahan gaya hidup hedonistik yang menjadi anutan anak-anak muda hari ini menjadikan falsafah yang dipegang adalah `siapa cepat, dia yang dapat!’

Apa yang nyata, jika kita tidak melakukan sesuatu untuk membawa semula kompas masyarakat ke landasan yang benar, gerabak ketamadunan ini akan pasti tergelincir dan mengundang kebinasaan yang tidak murah harganya.

Persoalan jodoh memang di tangan Allah SWT. Namun kita sebagai manusia diberikan Allah kudrat untuk berusaha. Yang nyata peribahasa ‘perigi mencari timba’ itu adalah adat yang diwariskan kepada generasi kita.

Namun syariah dan ketetapan agama tidak melarang usaha proaktif untuk seorang wanita menyatakan hasrat dan pinangannya kepada seorang lelaki yang dirasainya sesuai untuk dijadikan teman hidup  dengan syarat kemuliaan serta maruah diri sentiasa terjaga.

Sekarang ini kita harus berusaha untuk mengadakan cara, strategi dan ruang yang cukup bagi `inovasi’ ini dijalankan dalam masyarakat kita dengan penuh sejahtera. Peranan ibu bapa membantu tentunya amat dihargai. Paling tidak, rakan-rakan senior atau sebaya di tempat kerja atau sepengajian. Dalam masa yang sama, pergaulan antara lelaki dan perempuan mestilah sentiasa dijaga.

Walau apa pun jangan sampai terlalu terdesak hendak berumah tangga dan berpacaran hingga anak-anak muda mengambil jalan mudah. Menjalinkan hubungan erat dan intim, berlaku perzinaan dan kehamilan akhirnya membawa kepada keruntuhan komuniti.

Masih banyak jalan keluar yang terhormat dan suci dari noda. Jangan lupa janji Allah SWT dalam Surah An-Nuur, ayat 26 yang mafhumnya:

”Wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik pula.’

Sumber: Dr Harlina Halizah Hj Siraj

Published by
Siti Zurina Mat Saman