Buat solat tarawih dalam keadaan duduk disebabkan penat adakah dibolehkan?
Meski dalam keletihan pulang dari bekerja tapi pastinya ramai terasa sayang untuk meninggalkan solat ini.
Justeru mungkin ada yang memilih untuk solat tarawih secara duduk walaupun sebenarnya memang mampu berdiri.
Dalam hal ini ia sebenarnya lebih baik dari kita meninggalkan terus solat yang penuh dengan ganjaran ini.
Menurut Datuk Dr Zulkifli Muhammad Al Bakri, solat dalam keadaan duduk ketika melakukan solat sunat adalah diharuskan, termasuklah solat tarawih.
Bagaimanapun pahala yang diperoleh adalah separuh daripada pahala mereka yang mengerjakan solat dalam keadaan berdiri.
Ads
Diriwayatkan oleh Imran Bin Husain bahawa nabi SAW bersabda :
من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk.” Riwayat al-Bukhari (1065)
Ads
Hadis ini menunjukkan bahawa berdiri dalam solat salah satu rukun dari rukun-rukun solat fardhu(tidak termasuk solat-solat sunnah). Seorang Muslim diperbolehkan untuk mengerjakan solat sunnah dalam keadaan duduk, namun pahala yang diterima bergantung pada kesulitan yang dihadapi.
“Orang yang melakukan solat sunnah secara duduk dalam keadaanya yang mampu melaksanakan solat secara berdiri akan mendapat pahala yang lebih sedikit berbanding dengan orang yang mengerjakan solat dalam keadaan berdiri.
“Namun bagi orang yang tidak mampu berdiri, maka pahalanya tetap penuh,”katanya.
Ads
Menurut ulamak Al-Nawawi; berdiri merupakan kefardhuan dalam solat fardhu, adapun pada solat sunat ia tidak diwajibkan kerana Nabi SAW mengerjakan solat sunat dalam keadaan duduk ketika dalam kenderaan.
Selain itu solat sunat ini ada pelbagai sekiranya diwajibkan untuk berdiri maka ia akan menjadi sukar dan boleh jadi orang akan berhenti melakukannya.
Oleh itu sekiranya terlalu letih untuk berdiri maka boleh saja untuk solat tarawih secara duduk daripada kita meninggalkannya terus. Apatah lagi ia mempunyai sandaran yang kukuh daripada Nabi Muhammad SAW.
Namun mengerjakannya dalam keadaan berdiri adalah yang terbaik dan pahala ganjarannya lebih besar dari orang yang melaksanakannya dalam keadaan duduk.
Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri kala ini antara ujian Allah kepada hambanya.
Setiap bala, bencana dan musibah yang terjadi pada hari ini adalah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Biarpun diuji namun Allah SWT tidak akan sesekali membiarkan hambanya terus bersendirian dalam menghadapi sesuatu musibah.
Bagi mereka yang beriman dan bertakwa serta bertaubat selepas melalui ujian, akan diberikan jalan keluar yang lebih baik. Anggaplah setiap bencana dan musibah itu datang kerana Allah ingin menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik.
Namun di sebalik beberapa ujian menimpa, tidak terkecuali ada beberapa hal yang barang kali sebagai manusia biasa kita terlepas pandang. Sebagai contohnya dalam keadaan banjir melanda, kita mengambil hak yang bukan hak kita sekaligus boleh jatuh haram memakannya.
Umpamanya kita menjaring di tengah jalan yang kita ketahui ada kolam ternakan ikan di kawasan terjejas banjir.Biasanya ikan dibela ini kelihatan khusus seperti tilapia, keli atau sebagainya dan bukan ikan bercampur dari sungai.
Dalam satu ceramah oleh Ustaz Azhar Idrus, dirinya memaklumkan haram hukumnya kalau kita memancing di sangkar atau kolam yang pecah kerana ia masih hak milik pengusaha ternakan ikan itu yang dilanda musibah.
Jelasnya, sebagai contoh kalau ada kayu balak langgar sangkar dan pecah, haram kita memancing di situ.
“Begitu juga kalau orang tahan bubu dalam laut dan kita pergi ambil, itu hukumnya haram. Sebab itu usaha orang.
“Dan kalau orang letak uncam, kita pergi pukat situ. Hukumnya haram juga kalau tuan dia tak beri. Ikan memang rezeki Allah tapi itu usaha orang sebab dia yang bekerja. Kalau mengail tak apa jangan memukat sebab buat orang sakit hati. Dia kerja, kita senang-senang tebar jala. Kalau orang sakit hati, dalam islam haram jadinya. Beri mudarat pada orang.
Begitu juga pergi mengail dalam sangkar orang. Orang bela sangkar kita mengail, tak boleh boleh. Tapi luar dari sangkar halal.
“Manakala dalam bab sangkar sangkar pecah pula hukumnya haram walau pun luar. Tak boleh. Contoh ada kayu balak hanyut, sangkar pecah dan ikan tak main jauh. Main luar tu je. Kita pun pakat mengail ramai-ramai. Hukumnya haram kata ulama sebab ia masih hak orang.
“Walau ikan bukan dalam sangkar tapi ikan dibela itu akan berenang di sekitar situ saja. Bila sangkar pecah, tuannya akan rasa kecewa dan sakit hati. Jadi tuan dia sakit hati. Kalau kita jadi tuan ikan, sangkar pecah, dah la susah, orang dok pakat mancing ramai-ramai, geram tak rasa? Jadi haram kalau kita mengambilnya. Katanya dalam ceramah itu.
Namun jika tuan kolam niat menghalalkannya dan redha dengan musibah yang menimpanya, ia tiada masalah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Banyak kisah orang yang berhutang namun liat untuk membayarnya. Ada yang menyebabkan pemberi hutang terasa sakit hati apatah lagi bila melihat si pemiutang melancong ke sana sini.
Akibat geram, ada yang menuntut hutang dengan cara membuat hantaran di media sosial malah mengumumkan nama pemiutang. Dalam hal ini adakah ia dibolehkan?
Menurut pendakwah terkenal iaitu Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, dalam ilmu fekah, perbuatan ini sebenarnya termasuk dalam ghibah (umpat) Sebab telah memberitahu keburukan orang lain kepada khalayak ramai.
Meski demikian, Imam An Nawawi dalam Riyadlush Shalihin menyatakan ada beberapa jenis ghibah yang dibolehkan. Di antaranya untuk tujuan yang benar, tidak bertentangan dengan syariat, serta tujuan tersebut tidak boleh dicapai jika tanpa melalui ghibah.
Para ulama menyatakan terdapat enam ruksyah ghibah ; ghibah kerana jolokan, meminta fatwa, perbuatan fasik secara terang-terangan, kezaliman, mengingatkan orang lain atas perangai buruk seseorang dan menghilangkan kemungkaran.
Hukum orang mampu tapi suka menunda pelunasan hutang, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriayatkan Imam Bukhari,
“Menunda membayar hutang bagi orang kaya adalah kezaliman”
Dalam riwayat lain dari Imam Bukhari, Rasulullah membolehkan pemberi pinjaman membuka aib orang berhutang yang mampu namun enggan melunasinya.
Penundaan pembayaran hutang yang dilakukan oleh orang yang mampu menghalalkan kehormatan (untuk dighibah) dan hukumannya. Dalam keadaan ini, kita dibenarkan membuka aib pemiutang namun kalau dapat dielakkan cuba elakkan. Dalam erti kata lain, boleh dibuka aibnya, tapi lebih baik tidak.
Ibnu Hajar Al Haitami dalam Az Zawajir ‘an Iqtirafil Kabair menjelaskan kandungan dari hadis tersebut.
” Diperbolehkan menyebutkan di hadapan orang banyak, bahawa pemiutang telah enggan melakukan pembayaran hutang dan tidak konsisten dalam transaksi. Pemberi hutang tidak boleh menyebutkan aib lain yang ada pada diri orang yang berhutang, kerana orang yang terzalimi tidak boleh menyebutkan kezaliman seseorang, kecuali kezaliman yang telah dilakukan atas dirinya. Diperbolehkan pula menghukum orang yang zalim dengan cara memenjarakan, memukul atau yang lain.”
Kesimpulannya meskipun membuka aib pemiutang dibolehkan, akan lebih baik jika tidak dilakukan.
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta.
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Masuk masjid nampak soket plug terus kita cas telefon bimbit yang kebetulan hampir kehabisan bateri.Mungkin ramai yang biasa melakukan perkara ini tanpa memikirkan bahawa...