Mahkamah Tinggi semalam memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.
Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.
Keputusan kes itu semalam, mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.
Terdahulu pada prosiding itu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.
Nor Bee dalam penghakimannya, membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang terlindung mengikut Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
"Satu deklarasi bahawa arahan kerajaan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dalam KDN (Kementerian Dalam Negeri) bertarikh 1986 adalah salah di sisi udang-undang dan tidak berperlembagaan.
"Selain itu, satu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan di sisi undang-undang dan dilindungi dari diskriminasi antara warga negara antara lain, atas alasan-alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang," katanya.
Nor Bee berkata, Kabinet pada 1986 tidak mengenakan sekatan penuh terhadap keempat-empat perkataan itu, namun KDN melangkaui kuasanya.
Katanya, penggunaan kalimah Allah ketika itu boleh digunakan oleh gereja dengan syarat penerbitan itu hanya untuk orang Kristian.
"Dalam kes ini, pihak kementerian bertindak secara tidak rasional, menyalahi undang-undang dan tidak wajar.
"Jill Ireland juga menyediakan afidavit daripada tiga orang Islam yang menyatakan bahawa mereka tidak terkeliru dengan penggunaan perkataan itu oleh orang Kristian," katanya.
Katanya, sudah dibuktikan bahawa apabila orang Kristian menggunakan Allah untuk tujuan keagamaan, ia tidak menimbulkan sebarang kekacauan kepada keselamatan awam.
"Masyarakat Kristian di Sarawak dan Sabah juga sudah menggunakan perkataan Allah hampir 400 tahun," katanya (sumber Berita Harian).
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Sains Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkongsi dari sudut pandangannya di fbnya mengenai isu ini.
Mengapa Kristian Bersungguh Ingin Menggunakan Kalimah Allah?
1. Sinar Harian melaporkan semalam keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu. Mereka juga dibenarkan untuk menggunakan perkataan Solat, Kaabah dan Baitullah.
2. Timbul persoalan di sini, mengapa sebahagian penerbitan Kristian bersungguh menterjemahkan perkataan God kepada Allah sedangkan ia di sisi umat Islam memberikan makna yang berbeza? Bukankah ia akan menimbulkan lebih keraguan? Mengapa Kristian ingin menggunakan perkataan Solat sedangkan kita tahu Prayer dan Solat mempunyai pemaknaan yang berbeza?
3. Perkara yang sama pernah diutarakan oleh Prof Syed Naquib al-Attas pada rombongan Kristian yang datang bertamu ke ISTAC. Prof al-Attas mengajukan soalan tentang mengapa kamu ingin menggunakan kalimah Allah setelah sekian lama menggunakan perkataan God atau Tuhan?
4. Mereka menjawab: “Kami ingin bersikap lebih patriotik dan kami akan berdoa menggunakan Bahasa Malaysia.” Anehnya perkataan Allah bukanlah berasal dari Bahasa Malaysia bahkan konsep ketuhanan dalam kedua agama ini sangat berbeza.
5. Umat Islam meyakini Allah itu satu melalui konsep Tauhid sedangkan Kristian percaya pada doktrin Trinity yang menampilkan tiga elemen dalam perkara ketuhanan. Kedua konsep ini amat jauh bertentangan.
6. Malah penggunaan Kalimah Allah pernah dibantah dperingkat antarabangsa oleh paderi Kristian sendiri kerana ia menimbulkan keraguan terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian sendiri. Sebagai contoh:-
[a] Rob Phillips iaitu Pengarah Komunikasi Missouri Baptist Convention dan mubaligh Gereja Baptis melalui artikelnya bertajuk “Yahweh (the God of the Bible) vs Allah (the God of the Koran)” menyatakan bahawa Allah bukanlah Tuhan yang dinyatakan dalam Al Kitab.
[b] Dr. R. Albert Mohler Jr. iaitu Presiden The Southern Baptist Theological Seminary mempertikaikan saranan penganut Kristian menggunakan nama Allah kerana al-Quran secara jelas menegaskan Allah tidak mempunyai anak dan menolak prinsip triniti yang dibawa oleh Kristian.
[c] Dave Armstrong tokoh dari Gereja Roman Katolik dalam artikelnya berjudul “Does the Catholic Church Equate Allah and Yahweh?” menegaskan bahawa Allah dan Tuhan yang dimaksudkan dalam Kristian adalah entiti yang tidak sama.
7. Biarpun sebahagian tokoh Kristian antarabangsa tidak bersetuju dalam isu terjemahan perkataan God kepada Allah, kesungguhan gerakan Kristian di Malaysia dalam memperjuangkan kalimah Allah ini menimbulkan pelbagai pertanyaan.
8. Dari aspek positifnya, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan Kristian membuka dimensi baharu dalam medan dakwah. Kita berpeluang memahamkan kepada pelajar atau sahabat Kristian kita tentang Allah dari perspektif Muslim.
9. Allah adalah Tuhan yang sama buat Muslim mahupun Kristian. Namun kita harus tegaskan kepada mereka bahawa ajaran Trinity yang dibawa oleh Kristian adalah bercanggah dengan konsep Tauhid yang jelas ditegaskan oleh al-Quran bahawa Tuhan itu satu, Dia tidak mempunyai anak dan Nabi Isa (Jesus) hanyalah seorang Nabi.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Sumber:
[1] Temubual Prof al-Attas: https://www.facebook.com/193058140711532/posts/571149779569031/
[2] Buku MAIS:
http://www.mais.gov.my/…/Buku-Kalimah-Allah-Full…